Seorang warga emas berdepan dengan detik cemas apabila barang kemasnya diragut seorang individu yang tidak diketahui identitinya.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku di hadapan kediamannya di Kampung Batu Hitam Dalam, Tanah Merah, Kelantan, pada petang kelmarin (9 Ogos).
Warga emas cedera di tangan kiri
Menerusi laporan Utusan Malaysia, susulan dengan insiden yang berlaku lebih kurang jam 5.30 petang itu, mangsa yang berumur 77 tahun mengalami kecederaan iaitu lebam di bahagian tangan kiri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli memaklumkan, siasatan awal mendapati sebelum insiden, mangsa ditanya oleh seorang lelaki berumur lebih kurang 40-an yang berdiri di hadapan pagar jeriji kediamannya sambil bertanya adakah dia mengenali suspek atau tidak.
Tarik tudung mangsa sebelum ragut barang kemas, sebelum melarikan diri
Jelasnya, suspek lalu bertindak untuk menarik tudung warga emas terbabit dan meragut barang kemas kepunyaan mangsa iaitu rantai leher dan rantai tangannya.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja berwarna perak. Bagaimanapun mangsa tidak sempat melihat nombor pendaftarannya,” ulasnya.
Menurut beliau, cucu mangsa turut berada di dalam rumah, namun dia tidak menyedari insiden itu.
Tambahnya lagi, mangsa kemudian hadir ke Balai Polis Tanah Merah untuk membuat laporan berhubung insiden berkenaan.
Siasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan
“Sebaik menerima laporan melancarkan gerakan mengesan suspek untuk siasatan lanjut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelas Mohd.Razi.