
Ratu Elizabeth II Mangkat Pada Usia 96 Tahun, Raja Charles III Ambil Alih Takhta Britain
Susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II itu, Putera Charles akan mengambil takhta monarki Britain dengan gelaran Raja Charles III.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ratu Elizabeth II yang memerintah paling lama dalam sejarah dunia moden telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Menurut kenyataan jurucakap Istana Buckingham, Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland.
Bendera di UK dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang
Sejurus pengumuman dibuat, bendera di United Kingdom (UK) dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati pemergian baginda.
A statement from His Majesty The King: pic.twitter.com/AnBiyZCher
— The Royal Family (@RoyalFamily) September 8, 2022
Raja Charles III ambil alih takhta Britain
Susulan itu, Putera Charles, 73, akan mengambil takhta monarki Britain dengan gelaran Raja Charles III selepas mangkatnya Ratu Elizabeth II semalam.
Berikutan itu, anakanda baginda iaitu Putera William dan isteri, Kate Middleton secara rasmi akan menggunakan gelaran Duke dan Duchess of Cornwell, Cambridge.
Manakala, Isteri Raja Charles III iaitu Camilla pula akan dikenali Queen Consort.
Bakal rasmi naik takhta pada Sabtu ini
Lapor portal BBC News, Raja Charles III secara rasmi akan naik takhta Sabtu ini di Istana St James, London.
Terdahulu, jurucakap Istana Bukingham mengeluarkan kenyataan mengenai tahap kesihatan Ratu Elizabeth pada sekitar tengah hari waktu tempatan.
Kenyataan itu menyebut baginda dalam pemantauan kesihatan.
Susulan kenyataan itu, anggota kerabat diraja, antaranya Putera Charles (kini Raja Charles) dan Puteri Anne, dilapor berangkat ke Istana Balmoral, untuk bersama-sama baginda.
Untuk info, Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926.
Baginda juga memerintah 15 negara termasuk UK, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, St Lucia, St Vincent dan Grenadines dan Tuvalu.