
Pangkalan Tentera Amerika Syarikat Di Syria & Iraq Diserang Dron
Difahamkan, serangan yang menyebabkan lebih 20 askar AS cedera itu berlaku akibat ketengangan yang melanda di kawasan berkenaan berikutan konflik di Israel.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sekurang-kurangnya lebih 20 askar Amerika Syarikat (AS) mengalami kecederaan selepas beberapa pangkalan tentera AS di Iraq dan Syria diserang dron pada minggu lalu, kata U.S. Central Command (CENTCOM) kepada NBC News semalam (24 Oktober).
Jurucakap Pentagon turut mengesahkan tentang serangan-serangan itu yang berlaku pada 18 Oktober lalu, namun tidak mengumumkan bilangan tentera yang cedera sebelum ini.
20 anggota tentera AS cedera di pangkalan al-Tanf
Menurut CENTCOM, 20 anggota tentera AS hanya mengalami kecederaan ringan dalam serangan dua dron secara satu hala di pangkalan al-Tanf di selatan Syria.
“Salah satu dron telah ditembak jatuh dan semua anggota tentera yang cedera telah kembali bertugas selain tiada kerosakan kepada mana-mana instalasi tentera,” katanya.
4 anggota tentera AS cedera dalam serangan dron di pangkalan al-Asad
Menurutnya lagi, pada hari yang sama, pangkalan al-Asad di barat Iraq juga diserang dua dron menyebabkan empat anggota tentera mengalami kecederaan ringan.
Meskipun pihak tentera berjaya menimbak jatuh dron serangan satu hala itu, namun serpihan daripada dron yang dihancurkan telah merosakkan sebuah hangar yang menyimpan pesawat kecil.
Selain itu, seorang kontraktor awam AS dilaporkan meninggal dunia akibat masalah jantung semasa mendapat perintah berlindung.
Serangan berlaku akibat ketegangan di kawasan itu berikutan konflik di Israel
Difahamkan, serangan-serangan itu berlaku akibat ketengangan yang melanda di kawasan berkenaan berikutan konflik di Israel.
Setiausaha Pentagon, Brig. Gen. Pat Ryder berkata, dalam tempoh seminggu yang lepas, tentera AS dan pasukan gabungan diserang sekurang-kurangnya 10 kali secara berasingan di Iraq dan tiga kali di Syria melalui gabungan dron serangan satu hala dan roket.
Ryder mendakwa kumpulan-kumpulan yang menjalankan serangan itu disokong oleh Iran dan Islamic Revolutionary Guard Corps.