Dari Protes Mahasiswa Menjadi Rusuhan, Apa Sebenarnya Yang Berlaku Di Bangladesh?
Protes yang sedang berlaku di Bangladesh itu bermula selepas kerajaan mereka mengembalikan semula Akta Kuota Penjawat Awam 1971.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bangladesh kini berdepan situasi mencemaskan apabila berlaku protes sehingga ia mengakibatkan lebih daripada 105 kematian.
Oleh kerana ia juga menyebabkan banyak kecederaan, kerajaan Bangladesh juga telah mengenakan perintah berkurung di negara berkenaan pada Sabtu lalu (20 Julai) dan menyekat siaran televisyen.
Keputusan itu dibuat selepas berlaku peningkatan dalam keganasan dan demonstrasi di negara tersebut.
Apa Sebenarnya Yang Berlaku Di Bangladesh?
Seorang pengguna di laman X (@Marchfoward) telah berkongsi tentang situasi di Bangladesh yang sedang berlaku oleh kerana ketidakpuasan hati para pelajar universiti tentang Akta Kuota Penjawat Awam 1971.
Difahamkan, mahasiswa di sana telah membantah akta berkenaan yang digubal oleh Bapa Pengasas Bangladesh iaitu Sheikh Mujibur Rahman.
Berdasarkan akta itu juga, separuh daripada dua juta penjawat awam di Bangladesh akan diberikan kepada wanita dan penduduk di kawasan kurang membangun tanpa mengira kelayakan mereka.
Ketidakpuasan hati mahasiswa semakin membuak-buak apabila 30% jawatan itu juga akan diberikan kepada anak serta cucu individu yang berjuang memerdekakan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.
Secara ringkasnya, Akta Kuota Penjawat Awam 1971 ini akan bersifat korupsi kerana dikatakan akan menyebelahi Parti Pemerintah Bangladesh, iaitu Liga Awami.
Selain itu, mahasiswa Bangladesh juga meminta agar kuota tersebut dikhaskan untuk etnik minoriti dan Orang Kurang Upaya (OKU) sahaja selain ia dihadkan kepada 6% sahaja berbanding separuh daripada kuota.
Akta ini pada mulanya sudah dimansuhkan pada tahun 2018. Namun kerajaan telah memasukkan semula undang-undang tersebut dalam perlembangaan pada Jun lalu.
Bagaimana Rusuhan Ini Mula Terjadi?
Oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang memasukkan semula Akta Kuota Penjawat Awam 1971, satu rusuhan telah berlaku di Universiti Dhaka yang dipercayai sebuah institusi pengajian tinggi terkenal di Bangladesh.
Rusuhan itu semakin menjadi-jadi selepas penyokong Liga Awami dikatakan telah menyerang mahasiswa universiti yang membantah akta tersebut.
Tindakan penyokong Liga Awami kemudiannya telah menaikkan amarah pelajar-pelajar universiti di Bangladesh sebelum bertindakan menyertai protes berkenaan.
Sehingga kini, kesemua universiti di Bangladesh telah ditutup oleh kerana protes yang berlaku.
Ini ialah penerangan kenapa Mahasiswa Bangladesh protes besar besaran lawan kerajaan mereka ketika ini
— Irfan_newboys🇲🇾🇵🇸🏳️🏴 (@Marchfoward) July 20, 2024
Sekarang ni di Bangladesh Mahasiswa membantah Akta Kuota Penjawat Awam 1971. Akta ni digubal oleh Sheikh Mujibur Rahman iaitu Bapa Pengasas Bangladesh bahawa separuh dari 2… https://t.co/DtIxVL6wpD pic.twitter.com/A8jTZwVBFF
Pelajar Malaysia Di Bangladesh Dipindahkan Ke Bangunan Suruhanjaya Tinggi
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa pelajar-pelajar Malaysia di sana telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.
“Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli-ahli keluarga mereka di Bangladesh.
“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” jelas Kementerian Luar.
Wisma Putra turut meminta agar semua pelajar Malaysia untuk menghubungi dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
“Rakyat Malaysia juga digesa agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh. Lakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi,” menurut kenyataan.
Bagi pelajar-pelajar yang mahu mendapatkan kesahihan tentang sebarang bantuan, boleh menghubungi Bilik Operasi di kementerian melalui talian +603-8887 4570 atau emel taskforcebangladesh@kln.gov.my.
Pelajar Malaysia Di Bangladesh Dakwa Masih Terperangkap Di Bangladesh
Menerusi beberapa ciapan dimuat naik di laman X, wujud pihak yang mendakwa bahawa pelajar-pelajar Malaysia masih terperangkap di Bangladesh.
Malah, mereka juga dikatakan perlu menggunakan wang sendiri sekiranya mahu pulang ke Malaysia kerana mendakwa kedutaan tidak memiliki dana mencukupi.
Korang, tadi kawan I yang belajar di Bangladesh called. Dia cakap keadaan dekat sana makin memburuk dan ada lebih kurang 100 orang pelajar Malaysia yang stranded there.
— Shakila schön (@markonahajis) July 20, 2024
Dah minta bantuan ke embassy tapi embassy kata tak duit nak bawa pulang semua pelajar.
Guys tolong
Ini yang berlaku pada 20 pelajar perempuan dari Dhaka Dental College. Pelajar dari kolej lain semua masih ada di kediaman / hostel masing masing. Sangat merisaukan https://t.co/e1J8vKa9J4 pic.twitter.com/HyK9wDPnkU
— Akmal Azizan (@akmalazizan8) July 21, 2024
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Gesa Kerajaan Bawa Pulang Pelajar Malaysia
Memetik laporan Harian Metro, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menggesa kerajaan agar membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh.
Naib Presiden Siswa GPMS Muhammad Danial Alimin berkata ia termasuklah dari segi penyediaan penerbangan khas atau sebarang pengangkutan yang bersesuaian, bantuan logistik dan kewangan untuk kembali ke Malaysia.
“Kerajaan perlu pertimbang penyediaan dana kecemasan atau sokongan kewangan lain sebagai bantuan kepada mereka.
“Komunikasi jelas dan terperinci perlu diberi kepada pelajar dan keluarga mereka mengenai langkah yang diambil kerajaan termasuk maklumat mengenai tarikh, waktu pemindahan serta prosedur keselamatan perlu diikuti,” kata Muhammad Danial Alimin.
Tambahnya lagi, GPMS turut menyeru kedutaan Malaysia di Bangladesh agar memantau dan menguruskan keadaan pelajar-pelajar di sana bagi memastikan proses pemindahan berlaku dengan lancar.