ICC Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Netanyahu, Ini Antara Reaksi Negara Luar
Waran tangkap dari ICC terhadap Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant itu adalah berikutan dakwaan jenayah perang di Gaza yang dilakukan sejak 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sehingga ke hari ini (22 November), kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dilihat seperti tiada kesudahan.
Serangan besar-besaran Israel di Gaza dan negara itu telah mengorbankan 44,000 nyawa yang kebanyakannya daripada golongan wanita dan kanak-kanak. Mangsa yang tercedera pula dilaporkan melebihi 103,000 orang.
Walaupun masyarakat serata dunia telah menentang kelakuan terkutuk ini, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu masih berkeras untuk meneruskan peperangan selain menolak seruan gencatan senjata.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Tidak Akan Berlaku” – Netanyahu Tolak Seruan Gencatan Senjata Di Gaza
ICC Keluarkan Waran Tangkap Netanyahu
Semalam (21 November), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
“ICC mengeluarkan waran tangkap untuk dua individu, Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant, atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024, hari pendakwaan memfailkan permohonan waran tangkap,” menurut satu kenyataan.
Dalam masa sama, mahkamah turut menolak hujah Israel mengenai kekurangan bidang kuasa ke atas waran tangkap Netanyahu dan Gallant.
“Berkenaan dengan jenayah, mahkamah mendapati alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu yang dilahirkan pada 21 Oktober 1949, Perdana Menteri Israel pada masa perlakuan yang berkaitan dan Gallant, yang dilahirkan pada 8 November 1958, Menteri Pertahanan Israel pada masa perlakuan yang didakwa, masing-masing memikul tanggungjawab jenayah untuk jenayah berikut sebagai pelaku bersama untuk melakukan perbuatan itu bersama dengan orang lain.
“Jenayah perang kebuluran sebagai kaedah peperangan serta jenayah terhadap kemanusiaan seperti pembunuhan, penganiayaan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan yang lain.
“Mahkamah juga mendapati alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant masing-masing memikul tanggungjawab jenayah sebagai ketua awam atas jenayah perang dengan sengaja mengarahkan serangan terhadap penduduk awam,” tambah kenyataan itu memetik Berita Harian.
Waran Tangkap Dikeluarkan Demi Kepentingan Mangsa Perang
Sementara itu, waran tangkap tersebut juga diklasifikasikan sebagai ‘sulit’ bagi melindungi saksi dan proses siasatan.
“ICC memutuskan untuk mengumumkan perkara tersebut berikutan jenayah dilakukan mereka masih berterusan. Waran tangkap ini dikeluarkan demi kepentingan mangsa dan keluarga mereka,” jelas tribunal berpusat di The Hague itu, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan telah membuat permohonan waran tangkap ke atas Netanyahu dan Gallant pada Mei lalu.
Amerika Syarikat Tolak Waran Tangkap Terhadap Netanyahu
Waran tangkap yang dikeluarkan oleh ICC ini bagaimanapun ditolak oleh Amerika Syarikat (AS), menurut White House.
“AS secara asasnya menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai kanan Israel. Kami amat bimbang dengan sikap tergesa-gesa pendakwa raya untuk mendapatkan waran tangkap dan kesilapan proses yang membawa kepada keputusan ini.
“Amerika Syarikat sangat jelas bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini. Dalam penyelarasan dengan rakan kami termasuk Israel, kami sedang membincangkan langkah seterusnya,” ujar jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, lapor media antarabangsa.
Duta Palestin Ke UK Sambut Baik Waran Tangkap Terhadap Netanyahu
Dalam pada itu, Duta Palestin ke United Kingdom (UK) Husam Zomot menyambut baik waran tangkap ICC itu selain menyifatkan ia sebagai langkah ke arah keadilan buat rakyat Palestin.
Beliau juga menuntut agar menuntut agar ‘kuasa penuh undang-undang’ dikenakan sama rata terhadap penjenayah perang Israel.
Memetik Al-Jazeera, kumpulan Hamas juga mengalukan keluaran waran tangkap ini selain menyifatkan ia sebagai satu langkah penting ke arah mendapatkan keadilan buat mangsa.
The ICC arrest warrants against Netanyahu and Gallant is not only a step towards accountability and justice in #Palestine but also a step to restore the credibility of the rules based international order and its judicial system. It is now incumbent upon all parties who say they…
— Husam Zomlot (@hzomlot) November 21, 2024
Maklum Balas Negara Luar Terhadap Waran Tangkap Netanyahu
Pengumuman waran tangkap ini sekaligus telah mendapat perhatian pemimpin serata dunia. Menteri Luar Negeri Jordan, Ayman Safadi berkata keputusan ICC perlulah dihormati dan dilaksanakan.
Perdana Menteri Kanada juga memberikan maklum balas yang mana beliau menjelaskan bahawa negara tersebut akan mematuhi undang-undang antarabangsa terbabit.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell berkata waran ICC tidak berunsur politik dan harus dihormati serta dilaksanakan.
Menteri Luar Negeri Netherlands Caspar Veldkamp pula berkata bahawa negara itu ‘menghormati kemerdekaan ICC’.
“Kami tidak akan melibatkan diri dalam hubungan yang tidak penting dan kami akan bertindak mengikut waran tangkap. Kami mematuhi sepenuhnya Statut Rom ICC,” tambah beliau.
Antara negara lain yang akan melaksanakan waran tangkap terhadap Netanyahu sekiranya dia datang berkunjung adalah seperti Perancis dan Switzerland.
Baca Artikel Berkaitan: Israel Sebar Propaganda Dakwa Utara Gaza Sudah ‘Kosong’, Tapi Masih Giat Bom Lagi 9,000 Penduduk Di Sana
Baca Artikel Berkaitan: Israel Dakwa Sudah Bunuh Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar