Pesawat Azerbaijan Airlines Terhempas Di Kazakhstan, 39 Terkorban & 28 Selamat [Video]
Pesawat Azerbaijan Airlines yang dalam perjalanan ke Grozny, Rusia itu dilaporkan mengubah haluan disebabkan oleh kabus sebelum terhempas di Kazakhstan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masyarakat dunia sedang sibuk meraikan Hari Natal apabila dikejutkan dengan berita kapal terbang terhempas di Kazakhstan semalam (25 Disember).
Pesawat Azerbaijan Airlines J2-8243 yang membawa 69 penumpang termasuk lima anak kapal dilaporkan cuba melakukan pendaratan cemas berhampiran bandar Aktau sebelum terhempas.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Rusia itu dilaporkan mengubah haluan disebabkan oleh kabus.
38 Penumpang Terkorban, 28 Dilaporkan Selamat
Memetik laporan BBC, pihak berkuasa Kazakhstan menyatakan 38 penumpang terkorban dalam nahas tersebut.
Di samping itu, Kementerian Kecemasan Kazakhstan pada mulanya melaporkan sebanyak 25 penumpang terselamat, tetapi jumlah itu meningkat kepada 28 sementara operasi mencari dan menyelamat berlangsung. Kesemua mereka telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, dapat dilihat pesawat tersebut menjunam ke bawah dalam keadaan bersedia untuk mendarat, sebelum meletup sebaik sahaja terhempas.
Menurut syarikat penerbangan, pesawat itu “melakukan pendaratan cemas” kira-kira 3 kilometer dari bandar Aktau.
Pesawat Mungkin Terhempas Akibat Berlanggar Dengan Burung
Data dari laman web pengesanan penerbangan, Flightradar24, menunjukkan pesawat terbabit berlepas pada jam 3.55 GMT semalam dan terhempas kira-kira jam 6.28 GMT, lapor BBC.
Dalam pada itu, laporan tidak rasmi oleh media Rusia menyatakan pesawat tersebut mungkin telah berlanggar dengan sekumpulan burung sebelum terhempas.
Sehubungan itu, Azerbaijan Airlines berkata penerbangan antara Baku dengan Grozny dan Makhachkala di Rusia akan dibatalkan sementara menunggu siasatan diselesaikan.
Pihak berkuasa melaporkan mereka telah mendapatkan kotak hitam dari pesawat itu.
Majoriti Penumpang Pesawat Warganegara Azerbaijan
Laporan oleh BBC mendedahkan Azerbaijan Airlines melaporkan pesawat terbabit membawa 37 rakyat Azerbaijan dengan selebihnya penumpang dari Rusia (16), Kazakhstan (6) dan Kyrgyzstan (3).
Satu video tular menunjukkan saat penumpang yang terselamat keluar dari bangkai kapal terbang yang terhempas itu.
Antara yang terkorban dalam nahas terbabit termasuk seorang wanita yang sedang dalam perjalanan untuk melawat anak-anaknya di Chechnya.
Seorang ibu yang membawa bersama ujian perubatan bagi anaknya yang sakit masih dilaporkan hilang.
Sementara itu, seorang lelaki yang menaiki pesawat itu bersama anaknya juga masih belum ditemui, lapor BBC.
Kedua-dua pihak Azerbaijan dan Kazakhstan telah memulakan siasatan ke atas insiden terbabit. Syarikat aeroangkasa Embraer memaklumkan ia bersedia untuk membantu kesemua pihak berkuasa terlibat.
Tular Rakaman Penumpang Ucap Kalimah Syahadah Sebelum Pesawat Terhempas
Susulan insiden terbabit, banyak rakaman video berkaitan nahas tersebut telah dikongsi di media sosial.
Salah satu video menyaksikan seorang penumpang lelaki yang tenang mengucapkan dua kalimah syahadah dan bertakbir saat pesawat itu bersedia untuk melakukan pendaratan cemas.
Dia dipercayai terselamat menerusi satu video lain yang dirakamkan olehnya sendiri di lokasi pesawat terhempas.
‘Bird Strike’ Boleh Ganggu Kawalan Pesawat Sehingga Terhempas
Menerusi video di TikTok @abangcaptain, dia yang merupakan seorang juruterbang telah berkongsi beberapa perkara yang boleh menjadi punca pesawat tersebut terhempas.
Menurutnya, siasatan secara tidak rasmi berkata pesawat tersebut telah bertembung dengan sekumpulan burung, dikenali sebagai ‘bird strike’, yang boleh merosakkan tubuh badan pesawat.
Melihat pada gerakan pesawat di radar, dia berpendapat ia mungkin disebabkan oleh ‘bird strike’ pada bahagian enjin dan kawalan pesawat seperti sayap.
Keadaan ini boleh menyebabkan pesawat sukar untuk dikawal sehingga mengganggu sistem hidraulik dan sebagainya, seterusnya menyebabkan pesawat menjunam.
Tambahnya lagi, pesawat perlu dibawa melintasi Lautan Caspian ke Kazakhstan memandangkan kebanyakan lapangan terbang lain di Rusia ditutup akibat berlakunya satu serangan dron di sebuah bangunan sebelum ini.
Malah, Rusia turut menyekat frekuensi GPS (GPS jamming). Perkara ini menyebabkan maklumat pada radar penerbangan menjadi kurang tepat.