
Guru Tahfiz Di Indonesia Rogol Murid Perempuan 10 Kali, Siap Pesan ‘Jangan Lupa Mandi Wajib’
Guru tahfiz berkenaan turut memesan kepada mangsa berusia 13 tahun untuk mandi wajib selepas dirogol dan merahsiakan perbuatannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Guru merupakan insan yang sering disayangi dan sepatutnya mendidik serta menjadi tempat berlindung untuk anak muridnya selain ibu bapa.
Namun terdapat segelintir individu yang bergelar guru menyalahgunakan perkara tersebut untuk kepentingan dan nafsu sendiri.
Malah tindakan individu yang melakukan perkara tersebut turut mencalarkan imej seorang pendidik.
Guru tahfiz rogol pelajar perempuan 10 kali
Terbaharu, seorang guru tahfiz di Indonesia telah ditahan selepas didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun sebanyak 10 kali.
Guru yang dikenali sebagai ARG berusia 45 tahun merupakan pendidik di Kecamatan Mangkubumi, Kota Tasikmalaya, Jawa Barat.
Suspek dipercayai merogol pelajar berkenaan di kediamannya yang terletak berdekatan dengan Pusat Tahfiz Darul Ilmi miliknya.
Guru tahfiz tipu pelajar sebelum rogol mangsa di rumah
Ketua Polis Daerah Tasikmalaya, Faruk Rozi memaklumkan kejadian rogol membabitkan pelajar perempuan berkenaan dipercayai telah berlaku sebanyak 10 kali sejak tahun 2023 sehingga Disember 2024.
“Berdasarkan hasil pemeriksaan polis, suspek melakukan perbuatan itu dengan cara menipu mangsa,” ujarnya, lapor Harapan Rakyat.
Guru itu dipercayai menipu mangsa sewaktu berada di tahfiz berkenaan dengan memanggilnya untuk membersihkan rumahnya.
“Suspek kemudian datang ke rumahnya dan kemudian mendukung mangsa untuk membawanya ke bilik sebelum merogol mangsa.”
Siap pesan pada mangsa untuk mandi wajib
Selepas merogol mangsa, guru itu turut memesan kepada mangsa untuk melakukan mandi wajib serta merahsiakan perkara yang dilakukannya.
“Suspek memberitahu kepada mangsa, habis ni mandi wajib ya, jangan beritahu kepada sesiapa. Ini rahsia kita,” katanya lagi.
Ibu bapa buat laporan polis selepas perasan perubahan anak
Sebelum ini Metro Tv News melaporkan, pihak polis memaklumkan telah menerima laporan mengenai kes dari ibu bapa pelajar yang berasal dari Kecamatan Gunung Tanjung.
“Polis melakukan pemeriksaan berkaitan dengan kes terhadap pelajar di bawah umur. Dalam siasatan, suspek mengakui telah menyetubuhi sebanyak empat kali sejak akhir tahun 2023 hingga November 2024,” ujar Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bandaraya Tasikmalaya, Herman Saputra.
Jelasnya lagi, pihaknya juga sudah mempunyai cukup bukti dan proses siasatan seterusnya akan melengkapkan pelbagai perkara yang diperlukan untuk membawa kepada proses perundangan.
Kes disiasat mengikut Perkara 81 atau pasal 82 Undang-Undang Republik Indonesia No 35 tahun 2014 tentang jenayah persetubuhan atau jenayah perlindungan kanak-kanak dengan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, ibu bapa kepada mangsa yang dikenali sebagai IS berusia 41 tahun memaklumkan dia awalnya rasa curiga dengan perubahan fizikal anaknya yang tidak seperti biasa selepas pulang dari pusat tafhiz berkenaan.
Selepas ditanya, mangsa kemudian menceritakan perkara yang berlaku di pusat tahfiz terbabit dan membuatkannya berasa takut.
“Kami terkejut apabila anak perempuan saya menjawab dan berkata pimpinan Pusat Tahfiz Daarul Ilmi dikenali sebagai AR, telah menyetubuhinya sejak tahun 2023 hingga bulan November 2024 lebih dari 10 kali dilakukan secara paksa.
“Atas kejadian itu, keluarga membuat laporan polis agar kes boleh disiasat.”