Aliph, Jenama Kasut Buatan Malaysia Yang Pernah Jadi Kegilaan Anak Muda Suatu Masa Dahulu
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dapatkan isu trending, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !
Bila bercerita tentang fesyen, kasut memainkan peranan penting untuk imej seseorang. Malah dikalangan anak muda jenama kasut juga kerap dikaitkan dengan ‘subculture’ atau budaya yang menjadi ikutan mereka.
Antara yang menjadi kegilaan pastinya kenama kasut sukan dan streetwear seperti Vans, Converse, Adidas, Yeezy, Nike, Puma, Supreme, Dr Martens dan pelbagai lagi.
Namun tahukah anda di sebalik semua jenama besar dari luar ini, negara kita juga pernah mempunyai satu jenama kasut yang menjadi fenomena dan digilai ramai. Kasut yang kami maksudkan tidak lain dan tidak bukan iaitu Kasut Aliph.
Mungkin kurang dikenali untuk generasi masa kini, namun pengaruh jenama Aliph di era 80-an bukan biasa-biasa. Buktinya anda boleh lihat ianya digunakan oleh anak muda dimana-mana sahaja.
Bunyi macam Alif minyak masak pula kan?
Keluaran Sime Darby
Jangan gelak dulu kerana ia memang ada kaitan walaupun secara tidak langsung. Ini kerana kasut Aliph pada masa dahulu merupakan jenama kasut keluaran Sime Darby Footwear Sdn Bhd (kini sudah tidak wujud) manakala minyak Alif adalah keluaran anak syarikat Sime Darby Plantation Bhd iaitu Sime Darby Oil.
Mesti ramai tak percaya Sime Darby pun pernah buat kasut bukan??
Bagaimana Aliph boleh menjadi fenomena?
Secara ringkasnya Sime Darby Footwear mensasarkan kasut Aliph untuk golongan muda khususnya kaum lelaki.
Di era tersebut pula, majoriti anak muda begitu menggilai muzik rock kapak. Menggunakan peluang yang ada, Sime Darby Footwear kemudian bertindak menaja ikon-ikon muzik seperti kumpulan Search, Wings, Lefthanded dan SY.
Lebih unik apabila mereka turut berkolaborasi menghasilkan model khas mengikut kesesuaian kumpulan tersebut sehingga terhasilnya beberapa model seperti Aliph Search, Aliph Wings, Aliph Lefthanded dan Aliph SYJ.
Kejayaan strategi pemasaran mereka menyebabab Aliph sehingga kini turut dikaitkan sebagai lambang zaman kegemilangan Rock Kapak di Malaysia.
Bahkan siapa yang menggunakan kasut Aliph akan dianggap sebagai seorang yang ‘hypebeast’.
Turut taja filem tempatan
Selain itu mereka turut menaja beberapa filem tempatan antaranya Rozana Cinta ’87 (1987), Jejaka Perasan (1986) dan Ragam Pemandu (1989) sekaligus meluaskan lagi target market mereka.
Selain model kolaborasi bersama kumpulan rock band, Aliph juga mempunyai beberapa model lain seperti Aliph Marathon, Aliph International, Gold Smith, Troopers dan banyak lagi.
Hadapi masalah dengan barangan ‘cap ayam’
Namun resmi perniagan, bila mula mendapat permintaan yang tinggi, barang menjadi mahal. Apabila barang jadi mahal dan semakin mendapat tempat, muncullah pula produk tiruan.
Meskipun tidak dapat dibuktikan kesahihannya, ada yang mengeluarkan teori bahawa kekuatan jenama Aliph yang begitu pesat menyebabkan semakin banyak kasut tiruan jenama itu dikeluarkan pada penghujung 80-an.
Keadaan ini menyebabkan Aliph terpaksa bersaing dengan produk tiruan yang menawarkan harga yang jauh begitu murah. Meskipun kualiti kasut Aliph pada awalnya begitu bermutu tinggi, atas faktor persaingan mereka kemudian mula memilih untuk berkompromi dari segi kualiti.
Tindakan tersebut akhirnya memakan diri dimana kasut Aliph mula dikaitkan dengan kualiti yang rendah.
Anak muda generasi seterusnya berubah minat aliran muzik.
Selain itu minat anak muda 90an yang mula beralih dari aliran Rock Kapak ke aliran muzik lainnya juga menyebabkan populariti Aliph terus menjunam. Aliph yang gagal berevolusi seiring dengan trend muzik menyebabkan popularati mereka terus merosot dan akhirnya hampir tenggelam dek zaman.
Malah ada juga yang berpendapat faktor kemelesetan ekonomi dan penurunan harga getah turut menyumbang kepada kejatuhan mereka,
Sime Darby Footwear Sdn. Bhd. pula kemudiannya terpaksa menjual saham mereka kepada syarikat Dunlop Malaysia Industries Sdn. Bhd dan difahamkan telah berpindah ke Kulim, Kedah.
Namun usaha untuk mengankat kembali nama mereka dilihat sukar apatah lagi terpaksa bersaing dengam enama antarabangsa seperti Puma, Asics, Nike, Adidas akhirnya menyebabkan jenama mereka ‘terkubur’
Menerusi laporan Harian Metro, Jenama Aliph difahamkan hanya mampu bertahan sehingga awal 1990-an sebelum menghentikan produksinya.
Kini digilai kembali sebagai kasut vintaj
Namun nama mereka tidak 100% hilang dan dilupakan rakyat Malaysia, status mereka yang sudah oldskool dan vintaj selain dipopularkan kembali menerusi Filem Rock (2005) dan Filem Rock Oo! (2013) bagaikan memberi satu nafas baru kepada jenama kasut Aliph.
Ini menyebabkan mereka kini menjadi buruan peminat kasut oldskool dan serpihan peminat aliran muzik Rock kapak yang masih ramai.
Situasi ini juga membuatkan kasut Aliph kini boleh dikategorikan sebagai kasut buatan Malaysia yang paling mahal yang pernah dijual di pasaran.
Tidak percaya? cuba lakukan carian di mana-mana laman E-dagang seperti Mudah.my dan Carousell, Anda akan mendapati kasut ini dijual dengan harga melebihi RM 300. Malah ada yang mencecah RM 3,000.
Selain itu terdapat beberapa komuniti pengumpul kasut Aliph di laman media sosial seperti Facebook yang masih aktif menjual dan membeli kasut jenama ini, antaranya Group Kasut Aliph.
Dengan likes sebanyak 15,000 orang dan pengikut sebanyak 16,312, group ini membuktikan kasut Aliph masih mempunyai pengikut mereka tersendiri.