fbpx
Now Reading
Dah Jadi Kebiasaan, Kumaran Tak Lepas Peluang Berpuasa Di Bulan Ramadan

Dah Jadi Kebiasaan, Kumaran Tak Lepas Peluang Berpuasa Di Bulan Ramadan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dapatkan isu trending, tips, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !

Kepelbagaian kaum merupakan sebuah kebanggaan dan faktor kekuatan Malaysia untuk kekal membangun dan sentiasa bersatu padu dan rakyatnya hidup dalam suasana aman dan harmoni. 

Dalam masa yang sama, rasa hormat dengan kepercayaan agama orang lain juga boleh mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri.

Hal ini boleh dikaitkan dengan seorang wartawan penyiaran TV3, Kumaran Rajamoney yang tidak pernah melepaskan peluang untuk berpuasa di bulan Ramadan sejak 20 tahun lalu.

Foto: IG Kumaran Rajamoney

Berpuasa di bulan Ramadan dah jadi kebiasaan

Menurut laporan Getaran, walaupun bukan beragama Islam, tetapi amalan berpuasa telah menjadi kebiasaan kepada dirinya tatkala tibanya bulan penuh berkah itu. Dia juga akan rasa janggal sekiranya tidak dapat melakukan amalan itu yang disebabkan oleh faktor tertentu seperti jatuh sakit atau sebagainya.

Ramadan pada tahun ini nyata memberikan kelainan kepada dirinya kerana hari pertama berpuasa jatuh pada tarikh hari lahirnya iaitu pada 13 April.

“Saya mula berpuasa sejak umur 16 tahun ketika bekerja secara sambilan di sebuah butik pengantin. Pada waktu itu, majikan saya sememangnya menyediakan sarapan dan makan tengah hari buat semua petugas.

“Ketika tiba bulan puasa, majikan saya itu menyediakan juadah berbuka pula kepada kakitangan yang rata-ratanya Melayu. Bermula dari situ, saya mula belajar dan berjaya berpuasa selama seminggu.”

Foto: Getaran

Sejak itu, dia telah berusaha untuk meningkatkan jumlah hari berpuasa sehingga berjaya berpuasa penuh sewaktu zaman bujang dari tahun 2005 sehingga 2008.

Menceritakan pengalamannya berpuasa, pada ketika itu dia tinggal bersama rakan serumah berbangsa Melayu. Jadi setibanya bulan Ramadan, mereka akan mengejutnya sekali untuk bersahur dan berbuka puasa bersama-sama.

“Kini apabila sudah berkerjaya dan berkeluarga, kadang-kadang saya terpaksa ponteng puasa kerana terdapat kenduri saudara-mara dan sebagainya. Tetapi jika tiada aral, saya tetap akan berpuasa dan tahun lalu, saya berpuasa selama 28 hari.”

Ibu juga pernah berpuasa pada bulan Ramadan

Ujar bapa kepada seorang puteri itu, ibunya sama sekali tidak menghalang hasratnya untuk mengerjakan amalan itu kerana kerap juga berpuasa mengikut tuntutan agama mereka.

“Selain itu, ibu juga pernah berpuasa pada bulan Ramadan sewaktu bekerja di sebuah kilang, satu ketika dulu.

“Cuma isteri, S. Kanjana, 36, yang merasa pelik ketika kami mula-mula berkahwin pada 2014 dulu. Namun akhirnya, dia faham akan apa yang saya lakukan malah turut membeli kurma untuk saya berbuka puasa.”

Foto: IG Kumaran Rajamoney

Berkenaan menu sahur, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertahan sehingga waktu maghrib walaupun hanya mengalas perut dengan kurma dan air masak.

Kumaran turut menceritakan pengalaman diminta untuk membantu membelikan makanan oleh individu tertentu buat mereka yang tidak berpuasa.

“Saya kemudiannya menyatakan kepada individu berkenaan yang saya sendiri pun berpuasa dan perbuatan itu agak tidak manis untuk dilakukan. Individu itu kemudiannya menjadi malu alah dengan apa yang berlaku dan membatalkan permintaan tersebut.”

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.