fbpx
Now Reading
Jom Ikuti 6 Tips Latih Anak-Anak Yang Baru Hendak Mula Belajar Berpuasa

Jom Ikuti 6 Tips Latih Anak-Anak Yang Baru Hendak Mula Belajar Berpuasa

Ibu bapa perlu jadikan berpuasa sebagai satu pengalaman yang menarik untuk anak-anak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pejam celik, pejak celik kita sudah pun menghampiri bulan mulia iaitu bulan Ramadan.

Apabila tibanya bulan mulia ini, kita semua pasti sedang sibuk membuat persiapan seperti ibadah yang hendak dilakukan, menu masakan dan tidak kurang juga para ibu bapa yang baru hendak mengajar dan melatih anak mereka untuk berpuasa.

Berpuasa ini adalah satu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap umat islam, jadi sebagai ibu bapa kita pasti hendak melatih anak-anak terutama apabila mereka sudah bersedia.

Tapi bagaimana nak ajar anak berpuasa? Kadang-kadang telatah mereka yang baru berpuasa ini membuatkan ibu bapa tak sampai hati untuk biarkan mereka berlapar sepanjang hari.

Jangan risau, kami ada beberapa tips yang boleh dilakukan oleh para ibu bapa di luar sana.

#1 Ketahui kemampuan anak anda

Foto: Pexel

Sebagai ibu bapa kita juga tak sabar nak melihat mereka menjalankan salah satu daripada rukun islam ini, tetapi kita haruslah tahu tahap kemampuan mereka untuk berpuasa.

Apa yang lebih penting adalah ibu bapa cuba untuk beri mereka faham apa yang dimaksudkan dengan puasa.

Selain itu, ibu bapa juga boleh libatkan mereka dalam ibadah-ibadah yang kita lakukan seperti solat, mengaji dan lain-lain.

Perkara yang paling penting adalah jangan membuat perbandingan mereka dengan orang lain, kerana setiap anak mempunyai tahap kemampuan yang berbeza.

#2 Cerita berkenaan puasa

Foto : RawPixel

Bercerita secara langsung dapat menarik minat mereka untuk berpuasa.

Oleh itu, ibu bapa boleh bercerita, berbual, dan bermacam-macam lagi aktiviti yang boleh dilakukan untuk berkongsi kisah tentang puasa.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak cerita animasi atau drama yang mengisahkan tentang kanak-kanak berpuasa sebagai contoh kartun animasi Upin & Ipin.

Ini secara tidak langsung membantu anak-anak untuk memahami lebih dalam tentang ibadah berpuasa.

#3 Latih anak-anak secara berperingkat

Foto: Pexel

Lakukan jadual secara berkala dari masa ke semasa. Ini kerana, anak-anak yang baru sahaja belajar untuk berpuasa tidak mungkin mampu untuk melakukan puasa penuh dalam masa sehari.

Sebaliknya cuba lakukan mengikut jam, sebagai contoh untuk hari pertama mungkin ibu bapa boleh melakukan 4 jam sahaja kemudian naikkan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan anak-anak.

Yang penting jangan memaksa mereka sehingga boleh mengakibatkan kemudaratan kepada kesihatan.

#4 Lakukan aktiviti

Foto: Pexel

Ketika berpuasa pastinya anak-anak kelihatan lemah dan lesu, keadaan ini secara tidak langsung membuatkan mereka berfikir untuk berbuka puasa.

Oleh itu, cuba sediakan beberapa aktiviti yang boleh mereka lakukan seperti mewarna, melukis atau apa-apa permainan yang boleh mengalihkan perhatian mereka dari memikirkan tentang makanan atau puasa.

Akan tetapi, jangan pula ajak mereka bermain masak-masak atau permainan yang berkaitan dengan makanan, sebab ini mengundang untuk mereka berbuka lebih awal dari waktunya.

#5 Hidangkan makanan kegemaran

Foto: Freepik

Setelah seharian penat berpuasa adalah lebih baik ibu bapa untuk mengambil hati anak-anak dengan cara menghidangkan makanan kegemaran mereka.

Hidangan makanan yang sedap juga boleh dijadikan sebagai salah satu cara kita menghargai usaha keras mereka untuk menahan diri dengan berpuasa.

Disini ibu bapa perlulah kreatif untuk menarik minat anak-anak, malah dengan cara memasak makanan kegemaran mereka ini juga boleh memberikan mereka semangat untuk meneruskan puasa pada hari esok.

#6 Berikan kata positif

Foto: Pexel

Memberi kata-kata yang positif secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk terus bersemangat.

Walaupun mereka tidak dapat berpuasa penuh tapi puji sahaja setiap tindakan baik yang dilakukan sebagai contoh ‘Good Job, you’re doing great today’ ayat ini nampak mudah bukan?

Namun ia memberi makna yang besar kepada seorang anak dan secara tidak langsung memberi mereka inspirasi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Elakkan daripada memarahi mereka sekiranya mereka tidak mampu untuk menghabiskan puasa seperti yang telah ditetapkan kerana ini akan membuatkan mereka hilang minat dan rasa puasa ini sesuatu yang membebankan.

Walau bagaimanapun, ibu bapa juga tidak boleh berputus asa jika anak-anak anda tidak mahu berpuasa atau mengambil masa yang lama.

Sebagai ibu bapa anda harus memberi mereka masa untuk mengadaptasi keadaan baru ini, yang penting kekal konsisten dan sabar.

Semoga tips yang diberikan ini dapat membantu ibu bapa diluar sana untuk memberi pengalaman yang menarik buat anak mereka ketika berpuasa.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.