Ikrar Derma Organ Satu Tindakan Murni Dan Mampu Selamatkan Nyawa
Sebagai sebuah negara pelbagai budaya dan agama, kita perlu memahami bahawa pendermaan dan pemindahan organ diterima dan dibolehkan dalam semua agama yang diamalkan di negara ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Artikel Oleh :
Dr Hasdy Haron
Pengurus Kanan Klinikal Pendermaan Organ
Pusat Sumber Transplan Nasional
Hospital Kuala Lumpur
Menderma organ, sama ada dengan berikrar sama ada ia digunakan selepas anda meninggal dunia atau mendermakannya semasa anda masih hidup, adalah satu tindakan terpuji.
Ini bermakna anda dapat menyelamatkan nyawa penerima kerana mereka berdepan risiko kematian dek kerana organ yang terjejas sudah berada dalam peringkat akhir kegagalan fungsi.
Namun, apa yang menyedihkan adalah majoriti pesakit dalam senarai pemindahan organ meninggal dunia semasa sedang menunggu dan berharap untuk mendapat organ baharu.
Keadaan ini berlaku kerana kerana jumlah penderma sebenar tidak mencukupi. Diringkaskan, permintaan untuk organ jauh melebihi bekalannya.
2,641 pemindahan organ telah dijalankan sejak 1997
Sejak tahun 1997 hingga April 2022, sejumlah 2,641 pemindahan organ pejal telah dijalankan di Malaysia – organ pejal adalah organ yang mempunyai konsistensi tisu yang pejal dan tidak kosong (contoh : perut dan usus) atau cecair (contoh: darah).
Sebahagian besar darinya adalah pemindahan buah pinggang, di mana 2,403 prosedur telah dijalankan dalam masa 25 tahun ini. Pemindahan organ lain melibatkan hati (198) dan sistem kardiotorasik (jantung dan paru-paru) (40).
Dua Jenis Penderma Organ : Yang Masih Hidup & Yang Telah Meninggal Dunia
Kebanyakan organ ini didermakan oleh penderma hidup iaitu 1,752 untuk buah pinggang dan 92 untuk hati. Selebihnya adalah organ yang didermakan oleh penderma yang telah meninggal dunia, iaitu sebanyak 767.
Seperti semua bidang penjagaan kesihatan lain, pandemik Covid-19 telah mendatangkan impak yang besar kepada pemindahan organ di negara kita. Bukan sahaja pemindahan dari penderma masih hidup yang tergendala kerana bimbang berlakunya jangkitan virus SARS-CoV-2 kepada pihak-pihak yang terlibat, jumlah penderma organ yang telah meninggal dunia juga turun mendadak.
Sebagai contoh, terdapat hanya tujuh penderma organ yang telah meninggal dunia sepanjang tahun 2021. Ini kemungkinan besar disebabkan oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kebanyakan penderma organ yang sudah meninggal dunia biasanya merupakan mangsa kemalangan jalan raya.
69 pemindahan organ dilakukan dari Januari – April 2022
Namun begitu, jumlah pemindahan organ tahun ini telah pun melebihi jumlah tahun lalu, dan ini merupakan berita baik untuk para pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ.
Dari Januari hingga April tahun ini, 69 pemindahan organ telah dijalankan, di mana 59 darinya melibatkan buah pinggang dan 10 lagi pemindahan hati. Kebanyakan penderma masih hidup, dengan 41 orang mendermakan buah pinggang dan seorang mendermakan sebahagian hati. Baki 12 penderma pula adalah yang sudah meninggal dunia.
Walau bagaimanapun, setakat April 2022, masih terdapat lebih 10,455 pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ di Malaysia. Ini membuktikan betapa mustahaknya untuk lebih ramai rakyat Malaysia berikrar mendermakan organ. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat dua jenis penderma organ: yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.
Orang dewasa sihat boleh derma kepada pasangan atau saudara peringkat 1 dan 2
Di Malaysia, orang dewasa yang sihat boleh mendermakan salah satu buah pinggang atau satu lobus hati mereka kepada suami/isteri, atau saudara peringkat satu atau dua.
Saudara peringkat satu merujuk kepada ibu bapa, anak-anak atau adik beradik sebenar manakala saudara peringkat dua adalah datuk/nenek, cucu, ibu/bapa saudara, anak saudara, sepupu dan adik beradik tiri.
Dalam sesetengah kes, penderma boleh mendermakan kepada saudara yang lebih jauh atau seseorang yang bukan ahli keluarga; namun, ini tertakluk kepada penilaian dan kelulusan oleh jawatankuasa bebas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan.
Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak sihat antara tidak dibenarkan menderma semasa hidup
Bagi kanak-kanak, orang dewasa yang tidak sihat dari segi mental dan/atau fizikal, dan banduan pula, mereka tidak dibenarkan menderma semasa masih hidup.
Pengecualian bagaimanapun diberikan kepada banduan yang ingin mendermakan organ kepada saudara dekat yang menghadapi situasi mengancam nyawa akibat kegagalan fungsi organ.
Penderma yang sudah meninggal dunia adalah mereka yang telah meninggal dunia dan kebenaran untuk menderma didapati daripada waris yang berdekatan untuk mendermakan organ selepas meninggal dunia.
Penderma seperti ini biasanya telah mengalami mati otak, namun bahagian tubuh lain masih berfungsi, atau bertahan melalui kaedah buatan untuk membolehkan organ mereka diambil bagi tujuan transplantasi.
Penderma ini boleh menderma kepada beberapa orang penerima kerana mereka berpotensi dapat mendermakan banyak organ. Contohnya seperti jantung, paru-paru, hati, pankreas, usus, buah pinggang dan lain-lain.
Kebanyakan penderma yang sudah meninggal dunia di Malaysia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu, kebolehan menderma organ untuk mereka juga bergantung kepada keadaan tubuh mereka semasa diisytiharkan mati otak.
Hanya organ yang masih utuh dan berfungsi dengan baik akan dipindahkan kepada seseorang penerima.
Lebih 50% penderma yang berikar terdiri dari umur 18 hingga 40 tahun
Kira-kira 50-60% penderma yang telah berikrar berada dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun. Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kesedaran dan penerimaan terhadap pendermaan organ dalam kalangan peringkat umur ini.
Salah satu mitos yang paling banyak diperkatakan adalah prosedur tersebut akan merosakkan jasad penderma yang telah meninggal dunia. Selain itu, ada juga mitos yang mengatakan pengambilan organ dari penderma yang mati otak akan melambatkan proses pengebumian.
Namun begitu, pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan pengeluaran organ dari penderma yang mati otak sentiasa melakukannya dengan penuh cermat supaya jasad penderma tidak rosak.
Prosedur ini juga dijalankan dengan cepat supaya keluarga penderma boleh menuntut dan menyediakan jasad orang yang tersayang untuk dikebumikan dalam tempoh masa yang sewajarnya.
Sebagai sebuah negara pelbagai budaya dan agama, kita perlu memahami bahawa pendermaan dan pemindahan organ diterima dan dibolehkan dalam semua agama yang diamalkan di negara ini.
Menurut agama Islam, agama yang paling ramai penganutnya di Malaysia, hukum pendermaan dan pemindahan organ adalah “harus” (dibolehkan), menurut Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970.
Impak yang dibawa oleh penderma organ dalam kehidupan seseorang pesakit tiada tolok bandingan kerana ia biasanya membantu menyelamatkan nyawa pesakit dan memberi kualiti hidup yang jauh lebih baik kepada mereka.
Ia juga memberi impak yang positif terhadap keluarga dan rakan-rakan penerima kerana mereka dapat meluangkan masa dengan orang yang tersayang untuk jangka masa yang lebih lama.
Begitu juga dengan keluarga penderma organ yang sudah meninggal dunia, mereka akan berasa lebih tenang apabila mengetahui orang yang mereka sayangi dapat menyelamatkan nyawa seseorang, dan ini merupakan amal kebajikan terakhir mereka di dunia ini.
Penderma akan terima manfaat tertentu oleh KKM
Walaupun penderma organ dilarang sama sekali menerima ganjaran atau pampasan untuk pendermaan organ – sama ada dalam bentuk wang tunai atau penggalak lain seperti rumah, kereta, saham atau kenaikan pangkat/kerjaya dan lain-lain – mereka tetap akan diberikan manfaat tertentu oleh Kementerian Kesihatan anataranya termasuklah :
1. Rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.
2. Rawatan susulan percuma berkaitan pendermaan organ tersebut. Prosedur pendermaan juga sudah tentunya percuma.
3. Kakitangan awam juga dibenarkan mengambil cuti tidak direkod sehingga 42 hari semasa tempoh pemulihan.
Peranan anda
Sebagai sebuah masyarakat, adalah penting untuk kita menormalkan pendermaan organ. Keputusan untuk menjadi penderma organ mungkin menjadi salah satu tindakan yang paling bermakna dalam hidup anda.
Anda tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk mendaftarkan diri menjadi penderma organ selepas meninggal dunia. Oleh itu, berikrarlah untuk mendermakan organ anda.
Anda juga perlu memberitahu ahli keluarga tentang hasrat anda yang ingin mendermakan organ selepas meninggal dunia kerana pasukan perubatan juga memerlukan kebenaran mereka untuk mengambil organ anda kelak.