fbpx
Now Reading
Kreativiti Untuk Kelestarian: Anak Muda Malaysia Sebagai Pencetus Perubahan

Kreativiti Untuk Kelestarian: Anak Muda Malaysia Sebagai Pencetus Perubahan

Penerapan kreativiti ke dalam cara kita menyampaikan konsep kelestarian adalah kunci untuk memupuk minat dan sifat ingin tahu kanak-kanak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kelestarian telah menjadi satu isu dunia yang kian penting. Oleh yang demikian, dalam membesarkan kanak-kanak di Malaysia hari ini, kita perlu membekalkan mereka dengan maklumat yang tepat tentang isu kelestarian.

Menurut satu kajian oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia, program pendidikan alam sekitar wajar diangkat sebagai satu proses sepanjang hayat, bermula dari peringkat pra-sekolah sehingga semua peringkat yang lain.

Justeru, Program Anugerah Artis Muda Faber-Castell telah diilhamkan untuk memperkasakan anak-anak muda mengorak langkah ke arah memelihara bumi kita serta mencetuskan perubahan.

Penerapan kreativiti ke dalam cara kita menyampaikan konsep kelestarian adalah kunci untuk memupuk minat dan sifat ingin tahu kanak-kanak.

Ia merupakan satu kemahiran abad ke-21 yang berperanan penting di sekolah, tidak kira di dalam mahupun luar persekitaran sekolah. Dalam usaha berterusan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak dalam tingkah laku kreatif dan kelestarian, Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 menggalakkan kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti mereka serta mendalami kelestarian menerusi seni.

Terkenal sebagai pertandingan mewarna yang paling berprestij dan terkemuka di negara, edisi kedua ini yang bertemakan “A Greener Nature, A Better Future”, telah menerima lebih 20,000 penyertaan dari pelajar antara 5 hingga 8 tahun (kategori A) serta 9 hingga 12 tahun (Kategori B).

Sepanjang program itu, para peserta telah dibimbing, diberikan inspirasi, dan dilengkapi dengan pengetahuan, tutorial, bahan, dan kemahiran kreatif yang penting seperti adunan, percikan, garis besar, dan sapuan berus − oleh pakar-pakar seni yang memberikan tunjuk ajar melalui silibus pembelajaran holistik dalam satu siri ‘masterclass’ mini.

Para finalis teratas turut berpeluang menyertai lawatan lapangan ke Aquaria KLCC bagi menyemarakkan inspirasi dan kreativiti mereka. Susulan itu, mereka telah mempamerkan teknik-teknik tersebut dalam pertandingan Anugerah Artis Muda merentasi pelbagai topik kelestarian.

Encik Andrew Woon, Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia berkata, “Masa depan kita terletak di tangan dan suara anak-anak permata kita. Kami akan terus memainkan peranan dan memberi ruang kepada golongan muda di Malaysia untuk mempamerkan kreativiti mereka dan menjadi pencetus perubahan.

“Dalam proses itu, kita perlu menerapkan kelestarian ke dalam kehidupan anak-anak kita dan menyokong minat kreatif mereka – dengan harapan mereka akan membesar dengan bahagia dan hidup secara lestari, serta wujudnya peneraju kelestarian dalam kalangan mereka pada masa depan.” 

Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia, Encik Andrew Woon

Apabila Kaden Yap Kai Tehn, 12 tahun, dari SJK (C) Yuk Chai diumumkan sebagai Pemenang Utama Kategori B, ibunya berkongsi, “Sepanjang perjalanan ini, Kaden berusaha dengan penuh kesungguhan dan tidak pernah berputus asa, tidak kira berapa kali dia perlu berlatih.

“Kami sentiasa menggalakkan dan melatihnya supaya dia dapat menyelesaikan masalah secara kreatif. Kami turut menyambut baik tema kelestarian, yang bukan sahaja selaras dengan sukatan pelajaran sekolahnya, tetapi juga mendekatkannya dengan topik pemuliharaan hidupan liar, flora & fauna dan lautan. Kini, dia seorang pencinta alam yang mengambil serius tentang kitar semula di rumah, serta komited untuk tidak makan sebarang sup sirip ikan yu.”

Peserta Anugerah Seniman Muda kali kedua, Lee Hao Xuan dari SJK (C) Chio Min A telah dinobatkan sebagai Pemenang Utama Kategori A. Lee telah menghabiskan banyak masa meneliti hidupan lautan dan menzahirkan ideanya melalui karya seninya.

“Tahun lepas, saya memenangi tempat ketiga dan tahun ini, saya telah berusaha lebih keras. Saya telah berlatih dengan gigih untuk pertandingan ini dengan lebih 20 lukisan. Saya telah meminati seni sejak berusia empat tahun lagi, dan saya teruja kerana boleh menggunakan pengetahuan saya untuk sesuatu yang berunsurkan pendidikan dan bermakna,” katanya.

Selain peluang untuk mempamerkan kemahiran serta karya seni mereka sambil mendalami kelestarian alam sekitar, pemenang utama dan 10 pelajar terbaik bagi kedua-dua kategori umur telah menerima hadiah lumayan, termasuk wang tunai, trofi, hamper produk dan sijil penyertaan. Untuk senarai penuh pemenang, layari https://youngartistaward.my/

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.