fbpx

10 Daripada 100 Rakyat Malaysia Beli Rumah Tak Sepadan Dengan Gaji

10 daripada 100 rakyat Malaysia menghadapi kesukaran membuat bayaran bulanan perumahan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’ seringkali digunakan bagi menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan komitmen bulanan yang membebankan.

Namun, kebanyakan daripada kita mengabaikan maksud daripada peribahasa ini dan sering bertindak mengikut nafsu asalkan apa yang dikehendakinya tercapai.

Selain daripada memiliki barangan mewah dan juga kereta untuk bergaya, ramai antara kita sebenarnya terbeban dengan komitmen bulanan perumahan yang melebihi daripada kemampuan sebenar.

Peminjam Terbeban Dengan Bayaran Bulanan Pinjaman Perumahan

Menurut Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Lelongan, Fakulti Perniagaan, Universiti Malaya-Wales (IUMW), Prof. Dr. Noor Rosly Hanif, 10% rakyat Malaysia sukar bayar balik pinjaman rumah.

Ujarnya, perkara ini terjadi kerana harga rumah yang dibeli tidak sepadan dengan gaji bulanan individu sehingga menyebabkan komitmen bulanan semakin meningkat.

“Individu yang berdepan dengan kesukaran menjelaskan komitmen bulanan ini kebanyakannya membeli rumah atau kediaman residen yang melebihi daripada nisbah kemampuan bulanan mereka,” katanya.

Ujar beliau lagi, kebanyakan pembeli menanggung hutang pinjaman perumahan untuk tempoh yang panjang iaitu 15 hingga 25 tahun dengan jumlah pinjaman 60 hingga 100%.

“Tambah memburukkan keadaan, pinjaman yang dibuat adalah 100% maka nilai pembayaran balik adalah sangat tinggi setiap bulan,” ujarnya.

Bayaran Tertunggak, Rumah Boleh Dilelong

Rumah akan dilelong sekiranya peminjam gagal mematuhi syarat pinjaman contohnya bayaran bulanan telah tertunggak melebihi tiga hingga enam bulan.

Menurut beliau, untuk permulaan, bank akan memberikan notis peringatan kepada peminjam agar peminjam menjelaskan bayaran hutang bulanan yang tertunggak dan lain-lain tuntutan seperti mana tercatat dalam perjanjian pinjaman.

Namun, sekiranya peminjam gagal membuat bayaran seperti yang diminta, bank akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk menjual semula rumah dalam pasaran bagi mendapat semula jumlah pinjaman yang terhutang kepada bank.

“Oleh itu, bank melalui perintah yang diperolehi daripada mahkamah tinggi boleh mengambil tindakan melupuskan rumah yang tergadai itu dengan cara lelongan awam,” katanya.

Guna Kaedah Pengiraan 35% Daripada Pendapatan dan Prinsip ‘Rule of 200’ Untuk Ukur Kemampuan

Beliau menyarankan agar pengguna membuat pengiraan tahap kemampuan sebelum membeli rumah menggunakan kaedah 35% dan prinsip Rule of 200.

“Sebagai contoh pendapatan kasar isi rumah RM4,000 sebulan, 35% daripadanya ialah RM1,400. Jumlah itu adalah jumlah bayaran ansuran bulanan pinjaman bank yang dibayar,” katanya.

Daripada jumlah itu, peminjam boleh menggunakan prinsip Rule of 200 bagi mengetahui harga rumah yang layak dan sesuai dengan pendapatan bulanan.

“Berdasarkan bayaran RM1,400 sebulan dan didarabkan dengan faktor 200, harga rumah yang boleh dibeli ialah anggaran RM280,000 saja,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pengiraan tahap kemampuan membeli rumah perlu mengambil kira gabungan pendapatan suami dan isteri sebagai pendapatan kasar isi rumah.

Kenaikan OPR & Tiada Kenaikan Gaji Antara Faktor Utama Peminjam Gagal Buat Bayaran Pinjaman Bulanan

Dalam temubual berasingan, menurut Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim, kenaikan OPR dan tiada kenaikan pendapatan bulanan merupakan antara dua faktor utama yang dikenal pasti sebagai punca peminjam gagal membuat bayaran pinjaman bulanan.

“Wujud juga kes di mana berlaku ketidaksepadanan antara pembelian aset dengan pendapatan bulanan, apabila berlaku kenaikan OPR, mereka akan terbeban memandangkan punca pendapatan masih pada takuk yang sama,” katanya.

“Masalah pembeli rumah yang terpaksa melelong kediaman mereka biasanya berpunca daripada dua faktor ini dan bagi mereka, jalan keluar adalah melelong kediaman,” katanya lagi.

Tambah beliau, sesetengah daripada pembeli menganggap pendapatan bulanan akan naik tahun ke tahun hingga ada yang sanggup mengambil keputusan membeli rumah yang harganya di luar kemampuan.

“Ini kebanyakan masalah yang berlaku, sepatutnya kita perlu nilai komitmen bulanan berdasarkan pendapatan pada hari ini sama ada mampu atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan agar pembeli berfikir dan merancang dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah.

“Saya ingin menasihatkan pembeli hartanah supaya merancang perbelanjaan mereka dengan rapi serta terperinci supaya tidak terjebak dengan beban hutang dalam tempoh yang panjang,” ujarnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Rumah Lebih Rendah Tanpa SST

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Kat Hong Kong Dah” – Bilik Sewa Sempit Tepi Balkoni Dengan Harga RM600 Curi Perhatian Ramai

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.