‘Kalau Dah Jodoh’, Pasangan Warga Emas Bernikah Semula Setelah 44 Tahun Berpisah
Pasangan ini dikatakan pernah berkahwin pada tahun 1976, namun bercerai setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ajal, maut, rezeki dan jodoh semuanya terletak di tangan tuhan. Siapalah kita sebagai manusia untuk menidakkan takdir yang ditetapkan tuhan untuk kita.
Bercakap mengenai soal jodoh, biarlah berpisah lama sekalipun, jika benar dia adalah jodoh kita, satu hari nanti pasti bersatu jua.
Mustafa Mohd Akhir yang berusia 70 tahun selamat diijabkabulkan semula dengan pasangannya, Zainon Mohd Yusof, 60 tahun dalam majlis akad nikah di rumah mereka di Kampung Parit Lima, Sekinchan, Selangor pada 29 April yang lalu.
Berkahwin Semula Setelah 44 Tahun Bercerai
Menurut Mustafa, dia berkahwin buat kali pertama dengan Zainon semasa dia berusia 23 tahun dan Zainon berusia 13 tahun.
Namun, rumah tangga mereka hanya bertahan bagi tempoh tiga tahun sahaja dan semasa berpisah, mereka belum dikurniakan anak.
“Kami tak bergaduh dan berpisah dulu pun secara baik, malah redha kerana jodoh setakat itu saja,” kata Mustafa.
Setelah membawa haluan masing-masing, Mustafa dan Zainon berkahwin lagi dan dikurniakan anak hasil perkahwinan yang baharu.
“Selepas berpisah, kami tak berhubung dan saya berkahwin lagi pada tahun 1980 kemudian dikurniakan 13 anak namun ditakdirkan isteri meninggal sembilan tahun lalu (2014),” ujarnya.
“Jadi sejak itu, saya menduda manakala isteri sekarang pernah berkahwin pada 1978 dan dikurniakan enam anak sebelum suaminya meninggal dunia, Ogos tahun lalu,” tambahnya lagi.
Jumpa Di Kedai Makan, Titik Permulaan Kasih Bertaut Semula
Titik permulaan kasih bertaut kembali bermula apabila mereka bertemu secara tidak sengaja pada Disember 2022 di sebuah kedai makan di Jitra, Kedah.
Mustafa berkata, dia memberanikan diri meminta nombor Zainon melalui ibu saudara Zainon yang pada ketika itu ada bersamanya di kedai makan tersebut.
Pada asalnya, mereka berhubung hanya untuk tujuan bertanya khabar, namun timbul rasa sayang sepanjang tempoh berhubungan lalu dia mengambil keputusan untuk melamar semula Zainon.
“Oleh kerana kerap berhubung, timbul rasa sayang dan akhirnya saya luahkan perasaan kemudian beritahu hasrat untuk melamarnya,” ujarnya.
Tidak Sangka Akan Dijodohkan Semula
Menurut Mustafa, dia turut memohon pandangan dan pendapat dari anak-anak berkaitan hasrat untuk melamar Zainon dan anak-anak menyambut baik hasratnya untuk berkahwin semula.
“Kami tak berbincang sesama kami saja, tetapi tanya juga pandangan anak-anak dan Alhamdulillah, tiada halangan daripada kedua belah pihak malah mereka gembira,” katanya.
Ujarnya lagi, dia tidak berniat untuk berkahwin lagi memandangkan umurnya yang telah lanjut. Namun, dia tidak menolak takdir Allah sekiranya ini yang ditetapkan untuknya.
Kisah pasangan ini tular di media sosial selepas salah seorang anak Zainon, Suzana Sueb, membuat satu hantaran video di Tik Tok.
Rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan mendoakan perkahwinan mereka berkekalan hingga syurga.
Baca Artikel Berkaitan: Kasih Bertaut Kembali, Pasangan Disatukan Semula Selepas 10 Tahun Berpisah
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Nekad Kahwini Semula Bekas Isteri Lepas Tahu Wanita Itu Sakit Tenat