KL Wellness City Bangunkan Hospital 624 Katil, Umum Sumbangan RM2 Juta Bantu B40
Fasa pertama KLIH dijangka siap pada suku kedua 2026, dan bakal dibuka pada suku ketiga tahun yang sama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
KL Wellness City (KLWC), bandar pertama di Asia Tenggara yang dibina khusus untuk kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, telah melancarkan kemudahan perubatan utamanya iaitu hospital taraf antarabangsa menerusi KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH).
Fasa pertama KLIH dijangka siap pada suku kedua 2026, dengan nilai pembangunan kira-kira RM1 bilion.
Hospital ini bakal dibuka pada suku ketiga tahun yang sama. Buat masa ini, kerja penstrukturan telah siap dan pembinaan bangunan utama kini sedang giat dijalankan.
KLIH akan dibina sebagai sebuah hospital penjagaan tertiari dengan 624 katil, yang sedia untuk diperluaskan kepada 1,000 katil.
Ia juga dilengkapi dengan kemudahan canggih yang terkini untuk menyediakan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh dan bersepadu yang menyokong perancangan dan konsep penjagaan kesihatan dan kesejahteraan di KL Wellness City.
KLIH mendukung usaha kerajaan jadikan Malaysia pusat sehenti perubatan
Semasa berucap di majlis tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek ini menepati dan mendukung wawasan dan usaha Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat sehenti perubatan dan penjagaan kesihatan yang terkemuka di dunia.
“Saya sukacita melihat komitmen kukuh untuk memanfaatkan dan membuat pelaburan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di hospital, sebagai sebahagian daripada usaha untuk melengkapkan kemudahan ini dengan inovasi dan teknologi perintis yang pertama dan terbaik di Malaysia, termasuk peralatan robotik.”
“Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH) atas sumbangan RM2 juta yang dijanjikan bagi membantu golongan B40 yang ingin mendapatkan rawatan perubatan.”
Jelas beliau, sumbangan besar ini mengukuhkan usaha KKM untuk menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang termampu kepada golongan memerlukan, menekankan komitmen bersama demi mencapai kesaksamaan kesihatan di Malaysia.
“Kami juga menyambut baik usaha berterusan KL Wellness City untuk menceriakan pelbagai komuniti sempena sambutan Raya ini, termasuk kanak-kanak. Komitmen yang diberikan sesungguhnya akan menambah baik kehidupan masyarakat,” kata Dr Dzulkefly.
Sumbang RM2 juta bantu keperluan perubatan B40
Ikrar KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH) untuk menyumbang RM2 juta bagi menyokong keperluan perubatan golongan B40 di Malaysia sejajar dengan misi syarikat tersebut untuk meningkatkan kesejahteraan dan membina masyarakat yang terangkum, sambil menyokong matlamat KKM memenuhi keperluan penjagaan kesihatan golongan yang kurang mampu di Malaysia.
Sokongan ini tepat pada masanya dan menyusuli pelancaran program Health Equity For Affordable and Rapid Treatment (HEART) baru-baru ini yang menawarkan rawatan percuma kepada pesakit dari hospital-hospital kerajaan.
Tambah beliau lagi, langkah ini akan terus mengukuhkan komitmen Kementerian Kesihatan untuk meluaskan penyediaan khidmat penjagaan kesihatan termampu menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta.
KLIH dilengkapi kemudahan dan ekosistem penjagaan kesihatan tercanggih
Menurut Pengarah Urusan KL Wellness City Sdn Bhd Datuk Dr. Colin Lee, dengan pelancaran hospital tertiari di KL Wellness City, mereka bukan sahaja bakal membina kemudahan canggih yang terkini, tetapi juga dilengkapi dengan ekosistem penjagaan kesihatan paling canggih.
“Pembangunan ini mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan taraf hidup menerusi kesejahteraan dan penjagaan kesihatan bersepadu, menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan perubatan di Malaysia dan juga Asia Tenggara.
“Tujuan kami adalah jelas, untuk mentakrif semula sempadan penjagaan kesihatan, menarik bakat terbaik dan menyediakan khidmat penjagaan pesakit yang tiada tandingan,” katanya.
Dilengkapi 22 bilik pembedahan termasuk kelengkapan robotik
KLIH yang terletak secara strategik di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan laluan lancar ke lapangan terbang antarabangsa, bakal menyediakan 22 bilik pembedahan, termasuk kelengkapan pembedahan robotik dan dua bilik pembedahan hibrid.
Dengan menawarkan pilihan perkhidmatan perubatan yang luas, daripada pembedahan rumit kepada khidmat penjagaan sekunder dan tertiari, hospital ini berusaha untuk menarik pakar-pakar terkemuka untuk meningkatkan tahap rawatan dan menggunakan Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan untuk mengurangkan masa menunggu bagi pesakit.
Di samping itu, hospital ini juga sedang berusaha mendapatkan pensijilan Indeks Bangunan Hijau, membuktikan dedikasinya kepada pembangunan lestari dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan global yang disediakan.