ASEAN Travel Passes: AirAsia VS Malaysia Airlines Flypass. Mana Satu Pilihan Anda?
BK Bijak Kewangan adalah siri terbaharu kami yang akan membandingkan perkhidmatan atau produk yang mempunyai nilai terbaik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali nak travel, perkara pertama yang akan penggembara lakukan adalah check tiket penerbangan, cek waktu, cek berapa kilogram bagasi yang boleh check-in (harga termasuk tiket), dan akhir sekali harga tiket.
Dan tak dapat dinafikan, harga murah memang akan membuatkan ramai orang tak senang duduk. Rasa macam terus nak pergi bercuti. Sebab tiket murah tak masuk akal. Tapi kita lihat juga apa manfaat yang diterima dan tidak termasuk.
Sesetengah orang memilih untuk membayar lebih dengan setiap kemudahan yang telah tersedia. Namun, ada juga yang mungkin hanya menginginkan tiket penerbangan murah, dan yang lain-lain boleh “add-on” sahaja nanti.
Lain orang, lain caranya.
ASEAN Travel Passes: AirAsia VS Malaysia Airlines
AirAsia
Untuk anda yang mungkin tidak tahu, AirAsia baru-baru ini telah melancarkan pas perjalanan baharu yang dikenali sebagai “ASEAN Explorer Pass”. Ia merupakan langganan tahunan yang menawarkan pelanggan jumlah penerbangan tanpa had di dalam rantau Asean dalam masa setahun.
Tawaran baru ini juga bertujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk melancong dengan harga tiket penerbangan yang agak berpatutan.
Malaysia Airlines
Namun sekitar 2022, Malaysia Airlines telah pun melancarkan MHflypass ASEAN. Untuk harga, MHflypass ASEAN sedikit mahal tetapi menawarkan kelebihan serta manfaat tertentu yang kami yakin anda sendiri tidak mampu menolaknya.
Tapi persoalannya, yang mana satu lebih berbaloi dari segi keseluruhan, sama ada MHflypass ASEAN atau ASEAN Explorer Pass?
Jangan risau, kami akan menyenaraikan beberapa ‘pros’ dan ‘cons’ kedua-dua pas ke negara Asean ini untuk memudahkan anda membuat keputusan yang lebih tepat.
#1 Harga
Bab harga, memang kena transparent. Tak nak ada banyak sangat ‘kos tersembunyi’.
Secara ringkasnya, ASEAN Explorer Pass oleh AirAsia jauh lebih murah jika dibandingkan dengan MHflypass ASEAN. Part ni kami rasa ramai yang tahu bukan? Sesuailah dengan tagline “Now Everyone Can Fly”. 😅
ASEAN Explorer Pass berharga RM1,188 setahun dan jika dibahagikan kepada 12 bulan ansuran bulanan, anda seolah-olah membayar RM106.92 sahaja. Jadi jika matlamat utama anda adalah untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah, AirAsia adalah jawapannya.
Manakala MHflypass ASEAN pula menawarkan tiga (3) pilihan dengan harga permulaan pada RM1,499 untuk Zon 1 dan RM 2,099 untuk Zon 2 – di mana ia menawarkan lebih banyak destinasi. Pilihan ketiga adalah Zon 3 yang berharga RM2,699 (tentunya lebih banyak manfaat dan juga destinasi).
Jadi kalau anda seorang ‘wanderlust’, kami sarankan untuk membeli MHflypass ASEAN sebab merangkumi lebih banyak tawaran dan destinasi dalam sesebuah negara.
#2 Destinasi Penerbangan
AirAsia menawarkan penerbangan tanpa had untuk 10 destinasi di bawah:
- Malaysia.
- Thailand.
- Filipina.
- Indonesia.
- Singapura.
- Brunei.
- Kemboja.
- Laos.
- Myanmar.
- Vietnam.
Walau bagaimanapun, penambahan yang tidak tersedia dalam Unlimited ASEAN Pass adalah tawaran mengembara di dalam negara seperti di Malaysia, Thailand, dan Filipina.
Ini bermaksud, rakyat Malaysia (memiliki pasport Malaysia) tidak boleh menggunakannya untuk penerbangan domestik (contohnya, pelanggan tidak layak melancong antara Kuala Lumpur dan Langkawi). Sama juga seperti pemegang pasport Thailand yang tidak boleh menggunakannya untuk melancong antara Bangkok dan Krabi.
Pakej MHflypass ASEAN yang hadir dengan tiga pilihan pula (Zon 1, 2 dan 3) membolehkan orang ramai memilih pas yang paling sesuai dengan perancangan mereka, sesuatu yang pastinya berbaloi.
Jadi, ketiga-tiga zon ini terbahagi seperti berikut:
- Zon 1 MHflypass ASEAN: Hanya boleh melancong ke dan dari Kuala Lumpur (tak boleh terbang dari Bangkok ke Jakarta). Destinasi lain yang turut ditawarkan adalah Jakarta, Medan, Surabaya, Kertajati, Singapura, Bangkok, Phuket, Chiang Mai, Ho Chi Minh, Da Nang, Phnom Penh, dan Yangon.
- Zon 2 MHflypass ASEAN: Destinasi sama seperti Zon 1 tetapi ditambah dengan Manila, Hanoi dan Bali.
NOTA: Kedua-dua pas ini membenarkan anda terbang antara Singapura dan Subang menggunakan Firefly.
- Zon 3 MHflypass ASEAN:
Untuk membolehkan anda mengembara dari/ke banyak lagi destinasi, dapatkan Zon 3 MHflypass ASEAN.
Dengan pas ini anda boleh mengembara ke dan dari mana-mana destinasi di Asia Tenggara, bahkan boleh terbang dari luar negara ke mana-mana destinasi di Malaysia berbanding Zon 1 dan Zon 2 yang hanya mendarat di Kuala Lumpur dan Subang.
Bagi kami, Zon 3 yang merangkumi 8 negara dengan pelbagai destinasi ini memang berbaloi dengan harganya. Jimat masa walaupun kena bayar lebih sedikit berbanding pas Zon 1 dan 2.
#3 Kos & Caj Lain
Team BuzzKini telah membuat pencarian sendiri berkenaan dengan kos-kos seperti tax dan caj lain yang perlu dibayar oleh pelanggan untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Singapura.
Untuk AirAsia, base fare adalah RM69 sahaja. Manakala caj dan yuran lain setelah ditambah akan menjadikan kos sebenar berjumlah RM129. Memang mesra poket!
Namun ini tidak termasuk kos untuk check-in bagasi, yang sememangnya penting jika mengembara untuk tempoh masa yang lama atau Inflight Meal yang merupakan satu pilihan tambahan.
Untuk Malaysia Airlines pula, base fare adalah RM157. Setelah ditambah dengan caj dan yuran lain iaitu RM74, ia menjadikan kos sebenar berjumlah RM231 untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Singapura.
Kelebihan pas AirAsia di sini adalah bilangan penerbangan yang ‘unlimited’ sepanjang tempoh sah laku (yang penting, anda tidak membuat penempahan penerbangan lebih daripada tiga (3) dalam satu masa).
Malaysia Airlines pula menawarkan enam (6) penerbangan sehala ataupun tiga (3) penerbangan pergi dan pulang.
#4 Fleksibiliti
Fleksibiliti dan keterjaminan adalah penting untuk setiap orang. Namun bila mengembara, ada yang sanggup berjimat asalkan sampai ke tempat yang dituju sebagai contoh backpacker. Ada juga yang mementingkan fleksibiliti atas faktor keselesaan dan lain-lain lagi seperti golongan usahawan serta pengembara korporat.
Bagi usahawan dan pengembara korporat pasti akan memilih untuk terbang bersama dengan MHflypass sebab mereka boleh membuat tempahan penerbangan yang tersedia pada bila-bila masa. Boleh ‘plan’ seawal mungkin, ataupun di saat akhir. Malah mereka juga boleh melakukan pertukaran penerbangan tanpa had.
Manakala AirAsia pula memerlukan pelanggan untuk menempah penerbangan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum jika anda menggunakan pas ini. Jadi, jika anda sukakan sesuatu yang menjimatkan, boleh pilih AirAsia. Tapi kalau inginkan fleksibiliti, MHflypass memang sangat sesuai untuk anda.
Perbandingan Kelebihan MHflypass VS ASEAN Explorer Pass AirAsia
MHflypass ASEAN:
- Diberi keutamaan semasa check-in.
- Diberi keutamaan semasa naik penerbangan
- Tiada tempoh embargo.
- Raih 1x poin Enrich untuk setiap RM yang dibelanjakan mengikut Zon.
- Pertukaran penerbangan PERCUMA tanpa had.
- Boleh menaiki penerbangan yang lebih awal tersedia pada hari yang sama.
- Bagasi check-in 35kg semasa mendaftar masuk, diikuti dengan 7kg untuk bagasi kabin.
- Makanan dan minuman disediakan.
ASEAN Explorer Pass oleh AirAsia:
- Baucar diskaun 30% (dihadkan kepada RM50) untuk tempahan hotel.
- Raih 1,000 poin AirAsia.
- Satu (1) perkhidmatan pengangkutan lapangan terbang percuma ke/dari KLIA/KLIA2 dan banyak lagi.
Kesimpulan
Pendek kata, anda yang memilih jenis percutian yang anda mahukan.
Jika inginkan yang mesra poket dan ada penjimatan tentunya ASEAN Explorer Pass oleh AirAsia menjadi pilihan. Namun jika mahukan fleksibiliti, keselesaan dan keistimewaan tambahan pastinya MHflypass ASEAN lebih ideal.
Walaupun harganya sedikit mahal, namun banyak kelebihan yang anda miliki baik dari kepelbagaian destinasi penerbangan, proses mengurus tempahan, dan mendapat keutamaan semasa daftar masuk dan naik pesawat.
Bukan itu sahaja, dengan pas MHflypass ASEAN tiada caj tambahan untuk makanan dan minuman dalam kapal terbang, fi memilih kerusi dan yang paling penting bagasi terdaftar.
Jadi, sebagai pengguna, percutian yang macam mana yang anda sukakan? Nak lebih banyak manfaat dan destinasi, ataupun yang murah tetapi tidak merangkumi kesemuanya.
‘Tepuk dada, tanya selera’. 🙂🧳✈️
Jom kongsi dengan kami apa pilihan anda dan sebab kenapa pilih pas tersebut.