Syarikat animasi tempatan, Les’ Copaque Productions yang menghasilkan siri Upin & Ipin kini bakal hadir dengan permainan konsol tersendiri yang boleh dimainkan di Sony Playstation PS4 dan Switch.
Pengarah Urusan Les’ Copaque Productions, Burhanudin Md Radzi menerusi hantaran di Facebook miliknya pada semalam (10 Jun) berkata, permainan video tersebut berdasarkan siri animasi Upin & Ipin.
Streamline Inc dari AS ditugaskan untuk hasilkan permainan Upin & Ipin
Menurutnya, penghasilan permainan konsol itu telah ditugaskan kepada sebuah syarikat pembangun permainan terkenal, Streamline Inc yang berpangkalan di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu.
Jelas Burhanudin, permainan Upin & Ipin yang bakal dilancarkan ini sesuai dimainkan oleh semua peringkat umur.
“Ia adalah permainan mesra keluarga tanpa keganasan dan sesuai untuk semua peringkat umur. Semua kakitangan Streamline yang terlibat dalam projek ini berpangkalan di Malaysia dan mereka bekerja rapat dengan pasukan kami,” katanya.
Permainan Upin & Ipin akan dilancarkan pada suku pertama 2025
Menurutnya lagi, projek permainan konsol itu dijangka akan siap bulan Oktober hadapan dan bakal dilancarkan pada suku pertama 2025.
“Projek ini adalah satu usaha yang menarik dalam dunia permainan video, kerana ia berdasarkan siri TV yang popular.
“Kami berharap bahawa permainan ini akan meletakkan Malaysia di peta dunia permainan video. Kami optimis bahawa projek ini akan berjaya dan akan menjadi sumber kebanggaan Malaysia,” katanya lagi.
Game Upin & Ipin dengan konsep open world macam GTA!
Berkongsi lanjut, Burhanudin berkata permainan konsol Upin & Ipin ini adalah berkonsepkan ‘open world’ seperti Grand Thief Auto (GTA), Cyberpunk dan banyak lagi.
Mesti ramai tak sabar nak main game Upin & Ipin ni kan, boleh ronda tengok suasana Kampung Durian Runtuh sambil tangkap katak.