95% Kes HIV Di Malaysia Disebabkan Seks Terlarang
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, cadangan menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun adalah langkah terbaik untuk mencegah penularannya pada peringat usia muda.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
HIV atau ‘Human Immunodeficiency Virus’ merupakan virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit‘ (AIDS).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, di Malaysia sebanyak 95% kes HIV yang dikesan setiap tahun adalah berpunca daripada amalan seks tidak selamat terutamanya dalam kalangan golongan homoseksual.
Selebihnya adalah disebabkan penggunaan jarum suntikan dan jangkitan daripada ibu kepada anaknya.
“Hanya 3% melibatkan penggunaan jarum suntikan dan 2% lagi adalah jangkitan daripada ibu kepada anak,” katanya dipetik Sinar Harian.
Cadangan turunkan had usia saringan HIV adalah langkah terbaik
Menurutnya lagi, cadangan menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun merupakan langkah terbaik untuk mencegah penularannya pada peringat usia muda.
Ujarnya, kaedah pengesanan awal membolehkan statistik terkini direkod bagi menambah baik program pencegahan HIV dari masa ke masa.
“Namun sebelum saringan dibuat sesi kaunseling perlu diberi kepada pelajar dan ibu bapa terlibat agar jiwa mereka tidak terkesan sekiranya mengetahui mereka dijangkiti kerana ia boleh memberi kesan kepada psikologi dan masa depan mereka,” katanya.
Zainal berkata demikian bagi mengulas cadangan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Dr Dinesh Mahalingam yang berpendapat kaedah itu dapat meningkatkan kualiti kesihatan dan menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV termasuk pelajar universiti.
32% rakyat Malaysia hidap HIV tidak dapatkan rawatan kerana malu
Berkongsi lanjut, beliau berkata kira-kira 32% daripada 70,000 rakyat Malaysia yang menghidap virus itu tidak mendapatkan rawatan.
Jelasnya, golongan terbabit tidak tampil menjalani rawatan berkemungkinan kerana malu dengan pandangan serong masyarakat terhadap HIV.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, analisis awal projek perintis penggunaan ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) yang digunakan untuk pencegahan HIV menunjukkan penurunan drastik kes baharu.
Ujar Dzulkefly, dapatan itu berdasarkan 3,451 individu yang menerima PrEP sejak projek perintis dimulakan pada Januari 2023 hingga 11 Januari lalu.
Terdapat trend peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, terdapat trend peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar berusia 18 tahun sehingga 25 tahun yang berada di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
Menurut laporan KPT, terdapat 214 kes HIV membabitkan pelajar pengajian tinggi pada 2020, diikuti dengan sedikit penurunan sebanyak 186 kes pada 2021.
Pun begitu, ia kembali meningkat pada 2022 dengan jumlah 221 kes dan 224 kes pada tahun 2023.