fbpx
Now Reading
Kolej Komuniti Chenderoh Perak Buktikan Bidang Kulinari Malaysia Bertaraf Dunia

Kolej Komuniti Chenderoh Perak Buktikan Bidang Kulinari Malaysia Bertaraf Dunia

KKCP pada Jun lalu berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa apabila merangkul 8 pingat dan 3 diploma di Seoul Food & Hotel Culinary Challenge 2024, Korea Selatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kulinari merupakan antara bidang pengajian yang tidak asing lagi di Malaysia. Ia merupakan bidang yang semakin mendapat tempat di kalangan mahasiswa seiring dengan perkembangan industri semasa khususnya sektor makanan dan pelancongan negara.

Ini dapat dilihat apabila banyak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta yang menawarkan kursus pengajian dalam bidang kulinari.

Namun, setiap institusi mempunyai keunikan dan cara tersendiri dalam mempersiapkan graduan dengan kemahiran tertentu menerusi bidang tersebut.

Beri Pengalaman Berbeza Kepada Pelajar, Dedah Dengan Pengalaman Peringkat Antarabangsa

Berbeza dengan IPT lain, Kolej Komuniti Chenderoh Perak (KKCP) memberi kelainan apabila menawarkan pengalaman berbeza kepada pelajar yang mengikuti kursus Diploma Seni Kulinari.

Selain diberi pembelajaran berasaskan kerja (WBL), pelajar akan diberi pendedahan dengan menyertai pertandingan sama ada di peringkat tempatan mahupun luar negara.

Rangkul Pingat Dalam Beberapa Kategori Di SFH Culinary Challenge 2024

Lebih mengagumkan, mereka juga sudah banyak menggondol pingat dan anugerah dalam pertandingan seni kulinari dengan yang terbaharu, Seoul Food & Hotel (SFH) Culinary Challenge 2024 yang diadakan di Korea International Exhibition Centre (KINTEX), Gyeonggi.

Menerusi satu temu bual BuzzKini bersama Pensyarah Utama Program Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh Perak Khairul Ashikhin Abdullah Suhami, KKCP sudah lama menyertai pelbagai pertandingan namun mereka menjadi semakin aktif sejak penglibatannya pada tahun 2005.

Malah, dia percaya penyertaan itu disifatkan sebagai satu pengalaman yang mengajar pelajar KKCP.

“Saya suka dengar maklum balas dan komen juri setiap kali pertandingan, sebab komen itu akan buat kita untuk perbaiki diri. Kadang kita rasa makanan kita dah okay, bila juri komen macam ni, ooo patut tak boleh buat macam ni. Jadi, kita perbaiki untuk pertandingan seterusnya. Jadi bila kita tak henti sertai pertandingan, kita pergi banyak tempat, dengan pengalaman yang kita ada dan gabungkan sekali semua, itu yang membezakan kita punya pencapaian dengan lain.” katanya.

Pensyarah Utama Program Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh Perak Khairul Ashikhin Abdullah Suhami

Walaupun telah merangkul pelbagai anugerah, dia tidak terus berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana baginya ia merupakan satu bentuk pembelajaran.

“Walaupun kita dah masuk banyak pertandingan dan telah menang banyak anugerah, saya rasa kita masih kena belajar.

“Saya tengok industri makanan ini, trend dia sering berubah, jadi saya rasa masih banyak kena belajar,” kata Ashikhin yang baru sahaja dinobat sebagai Most Outstanding Live Cooking Master Chef Award dalam Battle of The Chefs di Pulau Pinang baru-baru ini.

Lakar Kejayaan Di Korea, Dari 11 Kategori Berjaya Rangkul 2 Emas & 2 Perak

Berkongsi kisah kemenangan KKCP dalam pertandingan SFH Culinary Challenge 2024 baru-baru ini, Ashikhin mendedahkan kolejnya itu telah memenangi beberapa kategori dalam pertandingan yang berlangsung selama empat hari iaitu dari 11 hingga 14 Jun lalu.

Daripada 11 kategori yang dipertandingkan, KKCP berjaya merangkul lapan pingat iaitu dua pingat emas dan dua perak serta empat gangsa bagi lapan kategori antaranya seperti Top Asian Noodles, Main Course Fish or Seafood, Modern Asian Main Course dan Nestle Professional Chef Challenge.

Tempoh Singkat Tak Halang KKCP Berjaya Dalam SFH Culinary Challenge 2024

Ashikhin turut mendedahkan, dia dan wakil KKCP hanya mempunyai tempoh yang singkat bagi mempersiapkan diri ke pertandingan tersebut.

Namun, tempoh yang singkat itu tidak menghalang pasukannya untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan antarabangsa itu.

“Kami hanya sempat membuat persiapan untuk pertandingan SFH Culinary Challenge 2024 di Seoul dalam masa dua minggu sahaja,” kata Ashikhin.

Jelas Ashikhin lagi, pencapaian yang dicapai dalam KKCP merupakan kejayaan terbesar yang dirangkul oleh wakil Malaysia yang lain yang menyertai SFH Culinary Challenge 2024 itu.

Selain Ashikhin sebagai ketua, KKCP turut diwakili oleh empat orang pelajar Diploma Seni Kulinari iaitu Muhammad Nabil Hadzrin Hasanudin, Muhamad Fikri kamaruzaman, Muhammad Amirul Hakim Rahimudin dan Mohd Afiq Shauky Amil.

Kejayaan Beri Impak Positif Kepada KKCP, Terima Banyak Permohonan Sertai Seni Kulinari

Jelas Ashikhin, kejayaan yang dicapai oleh KKCP dalam pertandingan khususnya di peringkat antarabangsa sememangnya memberi impak kepada institusi pendidikan itu sendiri.

“Permohonan terhadap program ini terlampau ramai. Untuk diploma sahaja, tahun ini kita hanya perlukan 25 orang tetapi permohonan sebanyak 1,999. Kita hanya temuduga 499.

“Saya rasa kejayaan ini sememangnya memberi impak kepada program pengajian ini,” katanya.

Malah, pelajar KKCP sama ada yang mengikuti program pengajian ini kebanyakannya berjaya mendapatkan pekerjaan dan ada juga yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ada yang sambung pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang perguruan, jadi Chef di hotel terkemuka, ada seorang ini dia sambung belajar kemudian dia dapat kerja di Hospital Orang Asli bahagian makanan.

“Boleh dikatakan 90% pelajar yang menceburi bidang pengajian ini berjaya mendapat kerja,” jelasnya.

Selain pingat yang diperolehi di SFH Culinary Challenge 2024, KKCP sebelum ini juga pernah merangkul beberapa anugerah di peringkat antarabangsa antaranya Best Culinary Establishment di 2023 Hanoi Salon Cuisine dan tempat kedua di Busan Marina Chef Challenge 2023.

Ubah Persepsi & Tanggapan Setengah Pihak Tentang Kulinari

Ketika ditanya tentang tanggapan setengah pihak yang menganggap kulinari bukan pengajian pilihan utama, dia yang juga merupakan Duta Malaysia Lambassador 2023 menjelaskan bahawa bidang kulinari bukanlah pilihan ketiga seperti persepsi segelintir pihak.

Jelasnya, kulinari kini dilihat setanding dengan bidang-bidang utama yang lain.

“Nak jadi tukang masak bukan setakat memasak. Kalau macam chef, dia boleh jadi sama seperti seorang doktor dan jurutera. Dia boleh jadi semua.

“Dalam makanan, dia kena kalori, nutrisi, dia pun ada belajar akaun juga, bukan hanya setakat duduk dapur 24 jam sahaja,” katanya.

Sehingga kini, KKCP masih lagi aktif menyertai pertandingan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Malah, untuk tempoh terdekat ini, KKCP akan mewakili Malaysia dalam pertandingan kulinari peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Busan, Korea Selatan pada 3 hingga 6 Oktober 2024 dan Jakarta, Indonesia pada hujung tahun ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.