TikTok Shop Summit Perkukuh Inisiatif #JomLokal, Wujud Peluang Pertumbuhan Baharu Buat PMKS
Bagi TikTok Shop Summit tahun ini, jenama tempatan berpeluang menyerta sesi pemadanan bersama pencipta kandungan terkemuka seperti Khairul Aming & Pinn Yang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
TikTok Shop Summit, iaitu acara tahunan yang memperkasakan komuniti penjual, akan kembali tahun 2024 ini bagi mentakrifkan semula masa depan beli-belah dalam talian di Malaysia.
Menerusi acara ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dijangka akan meraih manfaat terbesar, selari dengan usaha TikTok Shop untuk memperkukuh sokongan terhadap #JomLokal dan berkongsi pelbagai cerapan penting menjelang musim jualan hujung tahun yang bakal tiba.
Pada TikTok Shop Summit tahun ini, jenama-jenama tempatan akan meneroka peluang pertumbuhan baharu untuk memaksimumkan potensi perniagaan mereka melalui sesi pemadanan dengan pencipta terkemuka seperti Khairul Aming, Pinn Yang, Dear Carynn, Almiyaz, TulipPetals dan sebagainya.
Selain itu, komuniti usahawan tempatan berpeluang belajar daripada pakar dan penjual terbaik semasa sesi perkongsian pengetahuan tentang strategi ‘shoppertainment’ yang memanfaatkan perkembangan tingkah laku pengguna. Ini termasuk amalan terbaik tentang kandungan, penglibatan komuniti, penstriman langsung, penyelesaian iklan dan pengoptimuman prestasi kedai. Bukan itu sahaja, sokongan baharu juga akan diperkenalkan bagi membantu PMKS tempatan membina dan mengembangkan asas pelanggan yang aktif sambil menjana pendapatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Yang Berhormat Datuk Armizan bin Mohd Ali menekankan: “Sebagai sebahagian daripada tonggak strategik KPDN, kami komited memacu sumbangan perdagangan dalam negeri terhadap pendapatan negara kasar, memupuk ekonomi berasaskan inovasi, dan mewujudkan persekitaran pasaran kondusif yang memperkasakan rakyat untuk mengurus kos sara hidup dengan cekap.
“E-dagang telah terbukti sebagai pemangkin penting ke arah mencapai aspirasi ini, memandangkan ekonomi digital Malaysia kini menyumbang hampir satu perempat daripada KDNK negara. Jadi, platform terkemuka seperti TikTok Shop merupakan rakan kongsi penting bagi kerajaan dalam menyokong dan meningkatkan kemahiran PMKS tempatan bagi menggalakkan penyertaan inklusif daripada segenap lapisan masyarakat.
“Saya menggalakkan usahawan tempatan di seluruh negara untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber dan peluang yang ditawarkan pada TikTok Shop Summit akan datang, bagi mencapai transformasi digital dan membina sumber pendapatan alternatif, sekali gus merealisasikan visi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.”
Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzil turut berkongosi pandangan yang sama: “Kami komited sepenuhnya untuk menyokong usaha kerajaan melalui kerjasama awam-swasta yang berterusan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. Ekosistem komprehensif TikTok Shop memberikan PMKS peluang unik untuk bukan hanya menjual dalam talian, malah memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan. Dengan menawarkan alatan dan latihan diperlukan untuk membina komuniti melalui kandungan, rakan pencipta konten dan penyelesaian saluran penuh, TikTok Malaysia berada di kedudukan unik bagi membantu jenama tempatan berkembang bukan hanya di seluruh negara, tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa. Bersama-sama, marilah kita merintis jalan bagi transformasi Malaysia ke arah negara yang inklusif, berkuasakan digital, dipacu teknologi, dan berpendapatan tinggi.”
Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkongsi: “Inisiatif #JomLokal kami adalah tunjang aspirasi TikTok Shop untuk memperkasakan usahawan Malaysia. Pada tahun ini sahaja, setakat ini, kami telah melatih lebih 100,000 PMKS tempatan dengan kerjasama kerajaan. Bagaimanapun, ini hanya permulaan. Pada TikTok Shop Summit yang akan datang, kami teruja untuk mengumumkan pengukuhan sokongan terhadap inisiatif #JomLokal serta membantu PMKS mencapai peluang pertumbuhan baharu. Sesi pencarian rakan pencipta konten dan perkongsian pengetahuan direka khas untuk memberi maklumat praktikal dan menjana hubungan yang mampu memberi inspirasi kepada jenama tempatan. Semoga TikTok Shop Summit ini akan memupuk kejayaan lebih ramai jaguh tempatan seperti Khairul Aming, Amir Mohsin, Shiffa Enterprise, Empat Beranak, HYGR, dan sebagainya.”
TikTok Shop Summit bakal berlangsung pada 26 September 2024 dari jam 8 pagi hingga 7 malam di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Kehadiran atas jemputan sahaja. Bakal usahawan, PMKS dan jenama tempatan boleh melancarkan perjalanan e-dagang mereka dengan mendaftar di Pusat Penjual TikTok Shop (https://seller-my.tiktok.com/account/register) dan meneroka kursus tutorial yang sistematik di Akademi TikTok Shop (https://seller-my.tiktok.com/university/home).