fbpx
Now Reading
Teks Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan 8 November: Kasih Keluarga Jiwa Madani

Teks Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan 8 November: Kasih Keluarga Jiwa Madani

Konsep KASIH Keluarga diambil daripada nilai-nilai murni seperti Kasih Sayang, BerAkhlak, Sihat, berIlmu dan Harmoni yang menjadi tunjang dalam membina ketamadunan negara Madani.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Terbitan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Bertakwalah kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Pada hari ini, saya akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “KASIH Keluarga Jiwa MADANI”.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Memiliki keluarga yang sejahtera merupakan impian setiap insan. Tidak ada manusia waras yang ingin hidup dalam keluarga yang porak-peranda, susah dan sentiasa kusut serta diselubungi banyak masalah. Maka, bagaimana kita hendak mendapatkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah?

Sudah tentu, Islam yang sempurna memiliki jalan dan panduannya. Al-Quran turut menekankan tentang perihal sebuah keluarga yang baik dan beriman akan dikumpulkan bersama-sama di syurga-Nya yang indah. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tur ayat 21 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI SEKALIAN,

KASIH Keluarga, Jiwa MADANI menggariskan kepentingan nilai-nilai kasih sayang dalam keluarga sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang berteraskan prinsip MADANI. Keutuhan pembinaan nilai-nilai KASIH iaitu

Konsep KASIH Keluarga diambil daripada nilai-nilai murni seperti Kasih Sayang, BerAkhlak, Sihat, berIlmu dan Harmoni yang menjadi tunjang dalam membina ketamadunan negara Madani. Nilai-nilai ini juga merupakan elemen utama yang perlu disemai dalam keluarga untuk melahirkan individu yang berakhlak mulia dan berwawasan.

Keluarga juga menjadi nadi kepada masyarakat MADANI, iaitu kasih sayang memperkukuh hubungan, akhlak menjadi panduan etika, kesihatan menjamin kesejahteraan, ilmu meluaskan pemikiran dan harmoni memupuk persefahaman.

Oleh sebab itu, ada beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam sesebuah institusi keluarga bagi mendapat keluarga yang diredhai Allah SWT.

Pertama: Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas setiap pemberian-Nya baik yang banyak mahupun yang sedikit. Rasa syukur juga hendaklah dipanjatkan kepada Allah SWT sungguhpun ketika dalam keadaan diuji. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

Kedua: Tetap amanah, sabar dan ikhlas menjalani tanggungjawab masing-masing sama ada suami, isteri mahupun anak-anak. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap kamu adalah orang yang bertanggungjawab. Setiap kamu akan dipertanggungjawabkan. Seorang pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab dan akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang isteri bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan akan diminta pertanggungjawabannya”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga: Sentiasa menyeru untuk melakukan kebaikan dan bersama-sama mencegah kemungkaran dalam keluarga. Termasuk juga seruan kepada mengisi rumah dengan bacaan al-Quran, berzikir dan solat berjemaah. Allah SWT menekankan hal ini melalui firmanNya dalam surah At-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam menyantuni keluarga Baginda. Dalam hadis yang diriwayatkan dari Sayyidah A’isyah radiallahu ‘anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْركُمُْ ل أَِهْلهِِ وَأَناَ خَيْرُكُمْ ل أَِهْلىِ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku”. (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)

Maka, para suami khususnya hendaklah melayani keluarga dengan baik sama ada melalui tutur kata dan tingkah lakunya. Amat malang jika ada segelintir orang yang menjadikan keluarganya sebagai tempat melepaskan amarah sedangkan keluarganya itulah yang sepatutnya tempat dia mencurahkan kasih sayang. Begitu juga, kepada para isteri agar sentiasa menjaga aib suami dan keluarganya, serta menjaga amanah yang terdapat di rumahnya. Manakala bagi anak-anak pula, sudah semestinya perlu berlaku baik dan sopan terhadap ibu bapa mereka barulah sebuah keluarga itu akan terus sejahtera dan mendapat keredhaan Allah SWT.

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, saya ingin tinggalkan beberapa pesanan penting buat semua:

Pertama: Urusan kekeluargaan merupakan urusan penting yang mempengaruhi kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Kedua: Islam menggariskan betapa pentingnya bagi setiap isi keluarga untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha mencapai keluarga yang diredhai Allah SWT.Ketiga: Rasulullah SAW merupakan model terbaik kepada kita untuk mewujudkan sebuah model keluarga yang sakinah, mawadah dan rahmah.

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 1:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang

kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”.

KHUTBAH KEDUA

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa supaya kita mendapat keredhaan-Nya. Saya ingin menyeru kepada saudara-saudara sekalian, untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan yang dinikmati ketika ini. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan dan menghargai segala pengorbanan anggota keselamatan negara yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain lagi. Seluruh masyarakat juga bertanggungjawab menggembeleng seluruh tenaga dan peranan masing-masing dalam sama-sama memelihara keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara tercinta ini.

Pada hari yang mulia ini juga, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagaimana perintah Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.