fbpx
Now Reading
Ketahui Punca & Cara Cegah Penyakit Jangkitan Saluran Kencing, UTI

Ketahui Punca & Cara Cegah Penyakit Jangkitan Saluran Kencing, UTI

Menurut Pakar Perunding Uroginekologi SMC, Dr Tan Gaik Imm, salah satu faktor mengapa UTI lebih lazim berlaku di kalangan wanita adalah disebabkan faktor anatomi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jangkitan saluran kencing (UTI) adalah penyakit paling lazim di seluruh dunia yang telah menjejaskan kehidupan jutaan manusia setiap tahun, khususnya kaum wanita.

Menurut kajian, satu daripada dua wanita dan satu daripada 20 lelaki berisiko untuk dijangkiti UTI sekali seumur hidup.

Walaupun kebanyakan kes UTI boleh dirawat dengan mudah melalui penggunaan antibiotik, jangkitan yang teruk boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih kronik, seperti urosepsis yang boleh mengancam nyawa.


Pakar Perunding Uroginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Tan Gaik Imm telah memberi pandangan pakar tentang punca, gejala dan langkah pencegahan UTI, berserta amalan yang boleh mengurangkan risiko jangkitan berulang untuk memahami penyakit ini dengan lebih baik.

Fahami UTI dan Tanda Amarannya

Menurut Dr Tan, sebagaimana namanya, UTI boleh menjejaskan mana-mana bahagian dalam sistem saluran kencing, termasuk buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra.

“Pundi kencing ialah organ yang paling kerap dijangkiti, sehingga menyebabkan sistitis. Ia sejenis UTI yang paling lazim, terutama sekali dalam kalangan wanita. Dalam kes yang teruk, jangkitan boleh merebak ke buah pinggang. Gejala biasa UTI adalah rasa panas dan perit sewaktu membuang air kecil, air kencing kelihatan keruh, berbau busuk atau berdarah.

“Ramai individu juga mengalami rangsangan yang kuat dan kerap untuk membuang air kecil, serta selalu merasa tidak dapat menahan air kencing mereka.”

Tambahnya lagi, dalam kes yang lebih teruk, jangkitan mungkin merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan rasa sakit di bahagian tepi belakang (iaitu kedudukan buah pinggang).

“Kesakitan ini mungkin berserta dengan demam, tubuh menggigil pada waktu malam atau hilang selera makan,” kata Dr Tan lagi.

Kenali faktor risiko utama dan bagaimana cegah UTI

Salah satu faktor mengapa UTI lebih lazim berlaku di kalangan wanita adalah disebabkan faktor anatomi.

“Wanita berisiko lebih tinggi kerana uretra mereka yang pendek dan juga jarak antara uretra dan dubur yang lebih dekat, menyebabkan bakteria dari usus lebih mudah merebak ke bahagian pundi kencing,” jelas Dr Tan.

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat jangkitan UTI, khususnya dalam kalangan wanita. Salah satu kesilapan yang sering dilakukan ialah amalan kebersihan yang kurang optimum.

Beliau dalam masa sama turut menunjukkan bahawa mengelap dari belakang ke depan sewaktu menggunakan tandas boleh menyebabkan bakteria tersebar ke dalam saluran kencing secara tidak sengaja.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa sesetengah kaedah kontraseptif, seperti kondom bersalut spermisid, mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan bakteria. Bagi mereka yang menghidap diabetes, mereka berisiko lebih tinggi kerana keupayaan tubuh mereka untuk melawan jangkitan telah terjejas.

“Wanita selepas menopaus khususnya, lebih mudah terdedah kepada jangkitan UTI. Ini kerana persekitaran kering pada saluran kencing dan faraj boleh mengganggu keseimbangan bakteria pelindung,” terang Dr Tan. Faktor-faktor ini, tegas beliau, adalah kunci dalam memahami mengapa sesetengah individu lebih terdedah kepada UTI berulang kali dan kesedaran adalah penting bagi langkah pencegahan.

Kerap terkena UTI? Amalkan pencegahan mudah

Bagi mereka yang terdedah kepada UTI berulang kali, Dr. Tan menasihati untuk mengamalkan langkah pencegahan yang mudah.

“Kencing sebelum dan selepas aktiviti seksual mungkin boleh mengurangkan kebarangkalian bakteria untuk memasuki saluran kencing.

“Kerap mendapat jangkitan faraj juga boleh meningkatkan risiko jangkitan UTI, maka ia sangat penting untuk mengendalikan kedua-dua isu ini secara serentak,” terang beliau lagi.

Tabiat Harian yang Memberi Perbezaan 

Pencegahan selalunya bermula dengan tabiat harian. Jelas Dr Tan lagi, mandi dari air mengalir lebih baik berbanding mandi secara berendam dalam tempoh waktu yang lama, Beliau turut menambah bahawa berendam dalam air bagi tempoh yang lama boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi.

Bagi mengelakkan semua ini, Tambahan beliau mengesyorkan:

Kekal terhidrat dengan minum air masak sebanyak 1.5 hingga 2 liter setiap hari untuk menyingkirkan bakteria dari sistem saluran kencing.

Menukar pad atau pelapik seluar dalam dengan kerap semasa haid untuk mengurangkan pembiakan bakteria. Bagi pengguna cawan haid, mencuci tangan dan cawan sebelum dan selepas memasukkan atau mengeluarkannya membantu mengurangkan risiko jangkitan.

Kebersihan tangan yang betul termasuk mencuci tangan sebelum dan selepas menggunakan tandas, kerana tangan boleh membawa bakteria dari permukaan yang disentuh sepanjang hari.

Pakai seluar dalam yang memberi pengudaraan baik seperti kapas untuk mengekalkan kebersihan yang lebih baik dan mengurangkan risiko jangkitan.

Bagi wanita yang gemar berenang tetapi sering mendapat jangkitan UTI, cuba tukar pakaian mandi yang basah tersebut sejurus selepas berenang kerana keadaan yang lembap menyokong pembiakan bakteria, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan UTI.

Seandainya cara ini tidak berkesan, cuba tukar lokasi kolam renang atau elakkan diri daripada menggunakan kolam renang selama beberapa minggu walaupun kolam renang tersebut berklorin bagi menentukan sekiranya ada penambahbaikan pada gejala yang dialami.

Pendekatan Pencegahan UTI melalui Kaedah Cuba dan Ralat

Terdapat minat yang semakin meningkat terhadap suplemen kranberi untuk dijadikan sebagai ubat semula jadi bagi mencegah jangkitan UTI. Walau bagaimanapun, Dr. Tan mencadangkan untuk mengamalkan kaedah ini dengan berhati-hati. “Kadang-kadang, kapsul kranberi boleh membantu, tetapi keberkesanannya berbeza-beza, dengan kadar kejayaan berada di sekitar 50 hingga 60% . Tidak semua produk kranberi dihasilkan dengan sama. Sesetengah jus kranberi di pasaran mungkin mempunyai kandungan kranberi yang tidak mencukupi dan sarat dengan gula, seterusnya boleh menjejaskan penghidap diabetes.

Kunci pencegahan UTI berulang mungkin adalah dengan menggabungkan pendekatan yang diperibadikan, termasuk kaedah cuba dan ralat dengan pengambilan suplemen dan mengamalkan rutin kebersihan yang lebih baik.

Beliau turut berkongsi bahawa satu salah tanggapan tentang UTI adalah separa mencangkung di tandas boleh membantu mencegahnya. “Amalan ini tidak baik. Perlu diketahui bahawa duduk dengan betul atau mencangkung sepenuhnya di tandas cangkung penting bagi merehatkan otot pelvis dan memastikan pundi kencing dikosongkan sepenuhnya,” jelas Dr Tan.

Boleh dikesan dengan ujian air kencing

Pengesanan awal adalah penting untuk jangkitan saluran kencing (UTI). Menurut Dr Tan, diagnosis tepat pada masanya boleh membezakan sama ada mencegah jangkitan ringan atau menjadi masalah kesihatan yang serius.

“Ujian air kencing adalah kaedah utama yang digunakan untuk mengesan jangkitan. Jika hasil keputusan tidak jelas atau gejala masih berterusan, pengkulturan air kencing akan dilakukan untuk mengenal pasti bakteria khusus yang terlibat.”

Langkah ini penting, kerana ia membantu doktor dalam menentukan sekiranya antibiotik diperlukan dan juga membantu mereka dalam memilih rawatan yang paling berkesan.

Beliau menekankan bahawa merawat jangkitan UTI adalah perlumbaan melawan masa; semakin lama masa menunggu, semakin besar risiko jangkitan merebak ke bahagian sistem saluran kencing yang lain atau lebih teruk, ke dalam saluran darah.

“Selalunya, apabila pesakit mula-mula mengalami gejala seperti rasa perit semasa kencing, mereka cuba untuk merawat diri sendiri dengan minum lebih banyak air atau mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor,” kata Dr Tan. Walaupun rawatan ini mungkin memberi kelegaan sementara, tetapi ia mungkin tidak selalunya merawat punca penyakit, seterusnya jangkitan tidak dapat dirawat sepenuhnya.

Dr. Tan menekankan kepentingan untuk mendapatkan rawatan hospital sekiranya gejala masih berterusan melebihi 2 hingga 3 hari. Mengabaikan gejala-gejala ini atau menangguhkan rawatan boleh membawa kepada komplikasi yang lebih teruk, seperti jangkitan merebak ke buah pinggang atau saluran darah — keadaan yang boleh mengancam nyawa. Dr Tan menambah, “Diagnosis awal dan rawatan tepat pada masanya adalah pertahanan terbaik terhadap jangkitan UTI yang boleh bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih berbahaya.”

Memetik laman Hello Doktor, selalunya, doktor akan memberikan antibiotik sebagai rawatan kencing kotor. 

Jenis ubat yang akan dibekalkan pula mungkin berbeza mengikut jenis bakteria yang menyebabkan UTI dan keadaan kesihatan anda ketika menerima rawatan.

Selain itu pesakit yang kerap mengalami UTI mungkin perlu melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup untuk mengurangkan risiko jangkitan yang sama pada masa hadapan. 

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.