Tidur Nyenyak, Membesar Sihat: Ruang Tidur Mesra Kanak-Kanak
Menurut Laporan Kehidupan di Rumah 2023 oleh IKEA, lebih satu pertiga rakyat Malaysia menganggap tidur sebagai kunci kesejahteraan mental di rumah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kanak-kanak memerlukan pelbagai keperluan asas demi menyokong perkembangan dan pertumbuhan mereka, termasuk makanan, penjagaan kesihatan, tempat berteduh, keselamatan emosi, dan dorongan positif. Di samping itu, rutin sehari-hari turut memainkan peranan penting. Kajian menunjukkan, kanak-kanak yang mempunyai rutin teratur lebih mampu mengenal pasti dan mengawal emosi mereka, serta menyesuaikan diri dengan cabaran dan faktor tekanan baharu.
Bagi kanak-kanak, antara elemen penting dalam rutin yang baik adalah jaminan tidur yang mencukupi.
Kepentingan Tidur
Menurut Pakar Pediatrik, Dr Ng Kexin, tidur bukan sekadar waktu berehat tetapi juga aktiviti penting yang menyokong perkembangan otak.
“Kanak-kanak kecil memerlukan 12 hingga 14 jam tidur sehari, manakala kanak-kanak usia sekolah memerlukan 9 hingga 12 jam. Kanak-kanak yang mendapat tidur mencukupi secara konsisten biasanya lebih sihat dan bertenaga. Mereka juga lebih mudah bekerjasama, ceria, dan responsif, sekali gus menyumbang kepada hubungan ibu bapa-anak yang lebih baik,” jelasnya.
“Tidur yang mencukupi turut membantu kanak-kanak meningkatkan fokus, menyokong prestasi akademik, serta memperkukuh ingatan, pembelajaran, pengawalan emosi, dan pertumbuhan fizikal.”
Walau bagaimanapun, masalah tidur semakin membimbangkan di Malaysia. Kajian oleh Jurnal Perubatan dan Sains Kesihatan Asia mendapati 9 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia. Malah, Kajian Trend Tidur Dunia 2023 turut melaporkan Malaysia tergolong dalam kalangan 10 negara dengan kadar individu terendah yang mencapai tidur yang disarankan (53.79%) serta bilangan terendah individu yang mampu tidur lama (2.97%).
Menurut Laporan Kehidupan di Rumah 2023 oleh IKEA, lebih satu pertiga rakyat Malaysia menganggap tidur sebagai kunci kesejahteraan mental di rumah.
Fokus pada Ruang Tidur
Cabaran yang sering dihadapi ibu bapa adalah kanak-kanak yang susah tidur. Hal ini sering disebabkan oleh jadual sekolah dan aktiviti kokurikulum yang padat serta masa skrin yang berlebihan akibat penggunaan peranti elektronik seperti telefon dan tablet.
Namun, satu faktor penting yang sering terlepas pandang ialah persekitaran tidur.
Rumah di Malaysia mendatangkan pelbagai cabaran unik. Misalnya, keluarga pelbagai generasi dan keluarga yang tinggal di pangsapuri dengan ruang terhad sering menghadapi cabaran untuk mewujudkan ruang tidur yang tenang untuk kanak-kanak. Malah, dengan majoriti rakyat Malaysia (78%) tinggal di kawasan bandar, rangsangan serta aktiviti bandar yang tidak berkesudahan boleh menyukarkan lagi kanak-kanak untuk berehat dan melelapkan mata.
Mewujudkan ruang yang memenuhi keperluan kanak-kanak untuk bermain dan berehat sambil memberikan rasa berdikari dan keseronokan dapat memberikan kesan positif terhadap perkembangan dan kesejahteraan mereka.
“Bilik tidur yang direka bentuk dengan baik mampu meningkatkan kualiti tidur kanak-kanak secara ketara,” kata Dr Kexin.
“Ini terutamanya penting bagi kanak-kanak yang sedang belajar tidur sendiri, kerana mereka perlu berasa selamat dan selesa untuk tidur semula jika terjaga pada waktu malam.”
Beliau menambah lagi: “Ruang yang direka bentuk dengan teliti juga perlu bersesuaian mengikut keperluan kanak-kanak yang dinamik, memupuk pola tidur yang sihat, sambil menyediakan ruang untuk kreativiti dan bermain.”
Penyelesaian Praktis untuk Ruang Mesra Tidur
Berdasarkan falsafah ‘Reka Bentuk Demokratik’ yang mengutamakan lima dimensi, iaitu reka bentuk, bentuk, fungsi, mampu milik, kelestarian dan kualiti – IKEA menawarkan penyelesaian yang mudah diakses kepada ibu bapa untuk membantu kanak-kanak mendapatkan tidur berkualiti.
Bagi keluarga yang tinggal di ruang terhad, perabot pelbagai fungsi seperti katil boleh dipanjangkan dan tilam, atau katil dengan laci bersepadu menawarkan bentuk dan juga fungsian. Katil bertingkat atau katil loteng, misalnya, bukan sahaja menjimatkan ruang tetapi juga menyediakan kawasan lantai tambahan untuk belajar atau bermain.
“Jika bilik tidur yang bersepah boleh menimbulkan tekanan kepada orang dewasa, ia juga boleh menjejaskan perhatian kanak-kanak,” kata Dr Kexin.
“Bilik yang kemas dan teratur bukan sahaja dapat mewujudkan suasana yang tenang dan santai tetapi juga mengurangkan gangguan, bagi mempersiapkan kanak-kanak untuk tidur nyenyak. Selain itu, penerapan aktiviti mengemas ke dalam rutin sebelum tidur boleh memberikan isyarat kepada kanak-kanak bahawa sudah tibanya waktu tidur.”
Di samping itu, ibu bapa boleh mengurangkan pencemaran bunyi daripada lalu lintas atau kerja pembinaan yang boleh mengganggu tidur anak-anak mereka. Kelengkapan seperti ambal atau panel penyerapan bunyi boleh mengurangkan bunyi yang tidak diingini dan menjadikan bilik lebih selesa.
Menginspirasikan Rehat dan Bermain
Bagi memperbaiki suasana bilik tidur, ibu bapa boleh mengoptimumkan elemen-elemen berikut untuk mewujudkan ruang yang menyeronokkan, selamat, dan selesa untuk anak-anak mereka:
- Keselesaan: Pilihlah tilam dan katil yang selesa serta mesra kanak-kanak. Bantal atau sokongan tilam yang sesuai memainkan peranan penting dalam memastikan tidur yang nyenyak. Selain itu, mainan lembut dapat menghiburkan anak-anak sambil memberikan rasa selamat. Ini menjadikan waktu tidur lebih menarik dan membantu kanak-kanak beralih secara lancar daripada waktu bermain kepada tidur nyenyak.
- Pencahayaan: Cahaya terang boleh mengurangkan pengeluaran melatonin, seterusnya menyukarkan kanak-kanak untuk tidur. Langsir penghalang cahaya boleh digunakan untuk menghalang gangguan dari luar, manakala lampu yang boleh dimalapkan atau lampu tidur dapat membantu merehatkan tubuh dan menyokong pola tidur yang baik.
- Suhu: Bahan peralatan tempat tidur yang ringan dan lut udara dapat membantu kanak-kanak tidur dengan selesa dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap.
Udara: Bulu haiwan peliharaan, debunga, habuk, dan alergen lain boleh menjejaskan kualiti tidur dan kesihatan. Melabur dalam penapis udara boleh membantu mengekalkan udara bersih dan segar di bilik tidur, sekali gus membantu kanak-kanak tidur dengan lebih mudah.
Tidur untuk Kehidupan Sehari-hari yang Sihat
Selain faktor kekemasan dan kawalan bunyi, semua elemen tersebut membentuk enam aspek penting bagi memastikan tidur yang nyenyak.
Sungguhpun kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia yang terhubung secara digital, namun keperluan asas mereka terhadap hubungan, kreativiti, dan ruang yang selesa tetap tidak berubah.
Mewujudkan ruang yang mesra tidur bukan sekadar soal estetik atau fungsian; ia juga bermaksud mewujudkan persekitaran tempat untuk kanak-kanak berasa selamat, disokong, dan bersedia untuk membesar.
Ibu bapa boleh memupuk ruang sedemikian untuk menginspirasikan rehat dan bermain, sambil memberikan asas yang diperlukan kanak-kanak untuk menghadapi cabaran hidup dengan penuh semangat dan keyakinan. Paling penting, mereka boleh memimpin melalui teladan, dengan menjadikan tidur dan rehat sebagai satu keutamaan yang dikongsi bersama-sama, demi mewujudkan kehidupan di rumah yang lebih baik bagi seluruh keluarga.