fbpx
Now Reading
Tak Perlu Travel Jauh-jauh, Ini 7 Tempat Menarik Yang Ada Di Selangor

Tak Perlu Travel Jauh-jauh, Ini 7 Tempat Menarik Yang Ada Di Selangor

Selangor sememangnya merupakan antara negeri di Malaysia yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan yang menarik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Percutian merupakan salah satu cara terbaik untuk kita meluangkan waktu bersama keluarga tersayang atau rakan-rakan selain dapat menghilangkan segala tekanan di tempat kerja/belajar.

Tidak dinafikan, ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit dan menempuh perjalanan yang jauh hanya untuk percutian impian.

Tetapi ada kalanya seseorang itu hanya ingin bercuti di kawasan yang dekat sahaja dan tidak perlu menelan belanja yang terlalu tinggi.

Bersempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025, mari kami kongsikan kepada anda tujuh kawasan percutian yang menarik yang ada di sekitar negeri ini. Orang di Lembah Klang tak perlu travel jauh-jauh!

#1 Sky Mirror, Kuala Selangor

Sky Mirror merupakan sebuah fenomena alam yang menakjubkan dan unik yang terjadi di pantai Kuala Selangor.

Terletak kira-kira 1.74 batu nautika dari pantai perkampungan nelayan Jeram, Sky Mirror adalah dataran pasir yang muncul di tengah Selat Melaka pada waktu air surut tertentu sekali gus menghasilkan bentuk seakan cermin gergasi.

Foto: Instagram/skymirrormalaysia

Lawatan ke Sky Mirror hanya boleh dibuat melalui bot, dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit dari daratan.

Bagaimanapun, fenomena ini hanya boleh dilihat pada tarikh-tarikh tertentu sahaja mengikut kalendar lunar Cina iaitu pada hari ke-1, 2, 14, 15, 16 dan 30 setiap bulan, biasanya pada awal pagi selama 3-4 jam sahaja.

Foto: Instagram/skymirrormalaysia

#2 Taman Alam, Kuala Selangor

Terletak berdekatan Bukit Melawati, Taman Alam di Kuala Selangor merupakan salah satu destinasi eko pelancongan yang menarik yang ada di negeri ini.

Ia menawarkan pengalaman unik untuk pengunjung menghayati keindahan alam semulajadi dan mempelajari tentang ekosistem paya bakau.

Para pengunjung yang hadir boleh meneroka kawasan ini melalui laluan pejalan kaki yang dibina di atas air untuk melihat pelbagai spesis flora dan fauna.

Bagi mereka yang meminati burung pula, terdapat menara pemerhati khas yang disediakan untuk aktiviti memerhati burung.

Foto: Instagram/theintrepidlearnerworldwide

#3 Kuala Selangor Firefly Park

Kelip-kelip merupakan antara spesies serangga yang paling sukar untuk ditemui terutamanya di kawasan bandar.

Namun di Firefly Park Resort Kuala Selangor, terdapat ribuan kelip-kelip yang mendiami pokok-pokok bakau di sepanjang Sungai Selangor.

Para pelancong boleh menikmati pemandangan menakjubkan ribuan kelip-kelip yang berkelipan pada waktu malam. Lawatan ke taman kelip-kelip ini biasanya melibatkan perjalanan bot selama 30-45 minit.

Foto: Kuala Selangor
Foto: Selangor Travel

#4 Sekinchan

Bagi yang gemar melihat pemandangan sawah padi yang luas terpendang namun tidak mahu menempuh perjalanan ratusan kilometer, anda boleh berkunjung ke Sekinchan.

Sekinchan merupakan sebuah kampung yang terletak di daerah Sabak Bernam, Selangor. Ia telah menjadi destinasi popular untuk pelancong tempatan yang ingin melarikan diri dari kesibukan bandar dan menikmati suasana desa yang tenang.

Selain sawah padi, pengunjung juga boleh melawat kilang pemprosesan padi, membeli hasil pertanian segar dan menikmati makanan laut di restoran-restoran tempatan.

Foto: Instagram/sekichanpaddy

#5 Taman Botani Negara Shah Alam

Jika anda ingin meluangkan masa melakukan aktiviti riadah dan rekreasi bersama keluarga mahupun orang tersayang, Taman Botani Negara Shah Alam adalah pilihan yang tepat.

Taman ini merupakan taman botani terbesar di Malaysia Ia menempatkan lebih 15,000 spesies tumbuhan tempatan dan eksotik dalam kawasan seluas 817 hektar.

Foto: Taman Botani Negara Shah Alam

Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti seperti berjalan kaki, berbasikal, memancing, berkhemah, memanah, mendaki serta melihat rumah tradisional dari pelbagai negeri di Malaysia.

Selain itu, di taman ini terdapat juga rumah tropika, taman orkid, taman herba, taman haiwan dan banyak lagi.

Foto: Taman Botani Negara Shah Alam

#6 Selangor Fruit Valley

Selangor Fruit Valley adalah ladang buah-buahan yang terletak di Rawang. Ia menempatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, mangga, jambu dan banyak lagi.

Foto: Instagram/selangorfruitvalley

Pengunjung boleh menikmati lawatan berpandu untuk mengenali jenis-jenis buah tempatan, membeli buah-buahan segar dan menyertai aktiviti seperti memetik buah di ladang buah-buahan ini.

Sekiranya anda tidak pernah merasai pengalaman berada di ladang buah-buahan, Selangor Fruit Valley adalah destinasi ideal untuk anda kunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan.

Foto: Instagram/selangorfruitvalley

#7 Kuala Kubu Bharu

Kuala Kubu Bharu, atau lebih dikenali sebagai KKB, merupakan sebuah ‘hidden gems’ di Selangor yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Terletak kira-kira 60 kilometer dari utara Kuala Lumpur, bandar bersejarah ini mempunyai kisah menarik di sebalik kewujudannya.

Dikelilingi oleh keindahan alam semula jadi Banjaran Titiwangsa, KKB menjadi pintu masuk ke destinasi popular seperti Bukit Fraser.

Foto: Malaysia Truly Asia

Penggemar aktiviti luar pasti akan teruja dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan di sini.

Anda boleh mendaki Bukit Kutu yang mencabar, meneroka Air Terjun Sungai Chilling yang menakjubkan, atau mencuba aktiviti menarik seperti paragliding dan white water rafting.

Foto: Malaysia Truly Asia

Akhir kata, Selangor sememangnya merupakan antara negeri di Malaysia yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan yang menarik.

Sama ada anda ingin menikmati keindahan alam, menerokai sejarah dan budaya, atau sekadar berhibur bersama keluarga, Selangor mempunyai banyak tarikan untuk diterokai.

Baca Artikel Berkaitan: Sempena Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor Anjur Travel Fair Dari 1 – 3 November

Baca Artikel Berkaitan: Tourism Selangor Lancar Logo & Lagu Tahun Melawat Selangor 2025

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.