fbpx
Now Reading
Mulianya Hati Mark Adam

Mulianya Hati Mark Adam

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pengumuman juara Bintang Bersama Bintang 2018, Mark Adam yang bersedia berkongsi wang tunai RM100,000 yang dimenangi ternyata mengejutkan penonton yang pada mulanya menyangka ia hanyalah gurauan semata.

Mark yang ditemui ketika majlis sidang media selepas program berakhir memberitahu pengumuman itu sebenarnya telah dirancang dan bukanlah berlaku secara spontan.

“Sebenarnya, sebelum ini lagi saya dan rakan-rakan telah berbincang sesama sendiri untuk berkongsi wang tunai yang dimenangi tidak kiralah siapa pun yang bergelar juara.

“Jumlah RM60,000 daripada RM100,000 yang dimenangi akan dikongsi dengan empat finalis lain di mana masing-masing akan dapat RM15,000 seorang.

“Walaupun perbincangan ini dilakukan secara santai dan tidak rasmi, namun saya sendiri telah berazam untuk menjadikan ia satu kenyataan sekiranya saya diumumkan sebagai pemenang, jadi itulah yang saya lakukan malam ini,” akuinya yang turut bergelar pemenang mingguan pada minggu kedua .

Menurutnya lagi, tindakan itu didorong keinginannya untuk berkongsi rezeki bersama rakan-rakan yang lain sebagaimana mereka turut berkongsi idea dan saling membantu sepanjang program ini berlangsung.

“Bagi saya rezeki itu perlu dikongsi. Selama tujuh minggu ini, saya sebenarnya banyak belajar daripada rakan-rakan lain dalam program ini.

“Saya percaya kemenangan ini bukan semata-mata kerana usaha saya sahaja, tetapi juga kerana bantuan mereka semua yang sentiasa membantu dan memberikan idea untuk mencantikkan persembahan saya.

“Kalau di belakang tabir, kami sebenarnya seperti keluarga dan bukan bertanding kerana semua orang saling bekerjasama untuk memastikan persembahan kami dapat menghiburkan penonton,” katanya mengharapkan agar rakan-rakannya juga turut berkongsi hadiah mereka dengan golongan yang memerlukan.

Sumber : Sinar Harian

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.