fbpx
Now Reading
Tolak Tawaran Berlakon Filem Marvel, Raja Ilya Dapat Tawaran Lain

Tolak Tawaran Berlakon Filem Marvel, Raja Ilya Dapat Tawaran Lain

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Raja Ilya mendapat tawaran berlakon daripada sebuah syarikat produksi di Amerika Syarikat (AS) ketika berkunjung ke negara itu selama dua minggu awal bulan ini.

Raja Ilya berkata, tawaran itu hadir ketika dia menjalani sesi uji bakat di sebuah studio penerbitan filem adiwira terkenal di Hollywood.

“Buat masa ini, saya belum dapat berkongsi perincian lanjut mengenai tawaran itu. Ini kerana saya sudah menandatangani perjanjian rahsia dan diminta ‘mengunci’ mulut.

“Saya minta semua peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji apabila sampai masanya, saya akan umumkan,” katanya.

Sebelum ini Raja Ilya turut ditawarkan membintangi sebuah filem berkonsep adiwira di Hollywood, namun terpaksa melupakan hasratnya itu kerana beberapa syarat yang dikenakan pihak penerbit dirasakan tidak sesuai dengannya.

“Saya terima dengan hati terbuka walaupun terpaksa melepaskan peluang yang besar. Ini kerana saya fikir ia tidak sesuai dengan kita. Saya tidak boleh ulas panjang tapi percaya semua pihak akan faham.

“Orang boleh buat apa saja andaian, tapi keputusan itu diambil demi kebaikan saya dan masa depan kerjaya,” katanya.

Enggan memanjangkan kisah yang berlaku, Ilya yang kini berada di Malaysia mahu terus fokus dengan karier seninya dan menyelesaikan penggambaran beberapa drama antaranya Syurgaku Tak Sempurna 2 dan dua filem.

“Sebaik semua kerja selesai, saya akan ke AS bagi memulakan projek yang dipersetujui. Syarikat produksi terbabit bersetuju menunggu saya,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya ketika berkunjung ke AS, Raja Ilya berkata, banyak pengalaman yang diperoleh hingga membuka matanya terutama ketika menjalani beberapa sesi uji bakat.

“Saya bertuah dipertemukan dengan ramai pengarah, pelakon dan penerbit filem yang sangat komited dengan kerjaya. Mereka juga tidak lokek berkongsi pengalaman berlakon.

“Saya juga berpeluang pergi ke acara parti selepas majlis Oscars baru-baru ini,” katanya yang sentiasa optimis mengembangkan kerjaya lakonan hingga ke Hollywood.

Sumber : Harian Metro

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.