fbpx
Now Reading
Tidur Yang Cukup Rahsia Kecantikan Song Ji Hyo

Tidur Yang Cukup Rahsia Kecantikan Song Ji Hyo

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bintang Korea Selatan yang juga pelakon program popular Running Man, Song Ji Hyo tetap jelita dan awet muda walaupun sudah berusia 36 tahun.

Tetap bersemangat untuk terus mengekalkan momentum dalam bidang seni, wanita yang mesra disapa sebagai Ji Hyo itu mengakui masih banyak watak belum pernah dilakonkannya.

Menurut Ji Hyo, sebagai pelakon dia ingin membawa pelbagai watak. Dia masih memburu watak yang tidak pernah dilakonkan sebelum ini.

“Ramai yang tanya, apa watak yang ingin saya lakonkan. Sebenarnya saya tidak ada jawapan untuk pertanyaan itu. Sebagai pelakon, sudah tentulah saya ingin mencuba semua jenis watak.

“Saya hanya akan gembira jika diberi peluang untuk melakonkan watak baru yang tidak pernah saya bawa sebelum ini. Saya rasa sampai bila-bila pun saya tidak akan pernah puas,” katanya.

Ji Hyo yang lebih mementingkan waktu rehat berkata, dia akan memendekkan masa untuk bersolek supaya fizikal dan mentalnya sentiasa segar.

Dengan cara itu, Ji Hyo dapat memberikan lakonan yang terbaik kerana tidur dalam waktu singkat mampu menghilangkan keletihan.

“Sesiapa pun termasuk saya ingin kelihatan cantik depan kamera tetapi yang paling penting adalah lakonan ditampilkan.

“Solekan dan dandanan sebenarnya mengambil waktu yang lama. Kadang-kadang saya sampai tertidur menunggu jurusolek dan jurugaya rambut siapkan saya.

“Kadang-kadang saya akan minta mereka solek sederhana saja. Saya mahu gunakan lebih masa untuk tidur. Itu adalah salah satu cara untuk kekal segar sepanjang penggambaran,” katanya.

Sibuk dengan penggambaran dan acara membabitkan seni, pastinya ramai yang tertanya-tanya cara Ji Hyo mengisi masa lapang.

Wanita itu mengakui lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Dia lebih selesa menggunakan masa senggang dengan mengemas dan membaca buku.

“Apabila ada waktu terluang, saya suka duduk di rumah. Saya boleh gunakan waktu itu untuk mengemas, membaca buku dan menonton drama kegemaran.

“Selain itu, saya akan tidur. Apabila saya berada di rumah, masa berlalu pantas. Sebab itulah saya memilih untuk berehat di rumah dan bukannya bersiar-siar,” katanya.

Bercerita mengenai program Running Man, pelakon ini berkata, rakannya, Yoo Jae-suk banyak mengubah personalitinya.

Kini, dia lebih yakin untuk muncul dalam mana-mana program sedemikian.

“Saya seorang yang ‘introvert’. Saya akan kaku dan berpeluh dengan banyak apabila seseorang memberikan perhatian kepada saya. Pada peringkat awal, pembabitan dalam Running Man membuatkan saya sangat letih.

“Namun, Jae-suk banyak memberikan nasihat supaya saya selesa de­ngan diri sendiri ketika penggambaran Running Man. Sekarang, saya lebih yakin. Saya banyak berubah kerana Jae-suk,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.