Demi Tampung Kos Rawatan Ibu, Achey Sanggup Jual Motosikal Kesayangan
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pelawak dan penyanyi, Achey Bocey sanggup buat apa sahaja untuk menampung kos perubatan ibunya yang telah dikejarkan ke pusat perubatan di Johor Bahru disebabkan oleh beberapa komplikasi kesihatan.
Ibunya Ngaisah Hassan, 70 sebelum ini dirawat di Hospital Pakar Putra, Batu Pahat sebelum dipindahkan.
Menerusi laporan Harian Metro, dia bersedia menjual barang kesayangannya termasuklah motosikal sebagai wang tambahan untuk membayar kos rawatan ibunya walaupun masih mempunyai wang simpanan.
“Dalam keadaan sekarang, cabarannya lebih besar. Saya tidak boleh nak guna wang simpanan saja tanpa berusaha mencari jalan lain.
“Jadi, saya memang sudah sedia nak jual harta kesayangan yang saya ada. Apa yang boleh dijual nanti termasuk motosikal, saya sanggup menjualnya. Jika ada rakan-rakan yang berminat nak beli, bersedia saja kerana saya mungkin akan melakukannya.”
Ujarnya lagi, dia terharu dengan usaha murni rakan-rakannya di kampung untuk membantu dengan mewujudkan tabung bantuan bagi mengumpul dana rawatan ibunya. Difahamkan tujuh atau lapan tabung bantuan telah diusahakan buatnya.
Berbicara lebih lanjut, sewaktu ibunya dikejarkan ke Hospital Pakar Putra Batu Pahat, ujian ‘ultrasound’ dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) telah dilakukan sebelum masalah ‘blocking’ (tersumbat) dikesan di antara salur hempedu dengan pankreas.
Namun begitu, penyakit sebenar ibunya masih tidak dikenalpasti. Sejurus selepas dipindahkan ke Johor Bahru, rawatan kolonoskopi (memasukkan kamera dalam perut) telah dijalankan dan keputusan akan dikeluarkan dalam masa seminggu.
Pelawak berusia 30 tahun itu menjelaskan masalah kesihatan ibunya mula dikesan dua bulan selepas ayahnya, Hamzah Salam meninggal dunia.
“Waktu itu dia mengalami masalah sebu perut. Sejak kebelakangan ini berat badannya juga turun mendadak hampir 20 kilogram. Saya bersama adik-beradik lain bimbang memikirkan apa sebenarnya penyakit emak.
“Kami bawa emak buat pemeriksaan doktor. Awalnya dimaklumkan emak mungkin mengalami gastrik kerana dia pun ada sejarah penyakit itu. Tapi, saya tak puas hati dan pujuk emak untuk bawa dia buat pemeriksaan dengan pakar.
“Semalam, apabila berjumpa pakar, rupa-rupanya dah ada macam-macam. Emak yang tak pernah ada kencing manis, tiba-tiba sudah ada dan bacaannya tinggi iaitu 30.
“Begitu juga dengan kandungan gula dan garam dalam badannya tak cantik. Jadi memang kena buat ujian darah dan didapati ada masalah.”
Sebelum ini, Achey telah berkongsi video di Instagram menemani ibunya dalam ambulans untuk berpindah ke pusat perubatan di Johor Bahru