
Rita Rudaini Ingin Bersara Dari Dunia Lakonan, Bakal Hantar Anak Ke Sekolah Tahfiz
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Aktres Rita Rudaini telah meluahkan hasratnya untuk bersara dari dunia lakonan sebelum mencecah usia 50 tahun.
Menurut sebuah kenyataan, keputusan itu dibuat bukan kerana takut populariti menjunam pada usia mencecah golongan emas, tetapi dia mahu menjaga hati kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10 yang bakal dihantar mengikuti pengajian tahfiz, seperti dipetik BH Online.

“Saya hanya mempunyai tempoh antara tiga hingga empat tahun sebelum bersara. Pada usia 50 tahun, saya mahu berhenti bergelar pelakon.
“Saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan belajar ilmu agama. Sebenarnya, saya merancang menghantar Rayyan dan Arjuna mengikuti pengajian di sekolah tahfiz.
“Saya tak mahu anak-anak melihat saya gigih berlakon ketika itu. Saya kena jaga hati anak-anak.”

Ingin mencuba bidang perniagaan
Pelakon berusia 45 tahun ini berkata dia ingin bertukar angin ke dunia perniagaan jika tiada aral melintang.
Tambahnya lagi, dia tidak mengharapkan kehidupan yang serba serbi mewah dan bersyukur kerana dapat mengusahakan perniagaan minyak wangi secara kecil-kecilan.
“Saya ingin menikmati hidup dengan melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

“Sejujurnya, saya seronok duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Saya dapat meluangkan banyak masa dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama.”
Tidak berhasrat kembali berumahtangga
Beralih kepada hasrat kembali berumahtangga, Rita yang telah bergelar ibu tunggal selama lapan tahun ini sama sekali tidak mempunyai keinginan itu. Namun sekiranya dikurniakan jodoh, dia akan menerima dengan hati yang terbuka.