
Zarina Zainuddin ‘Terduduk’, RM10,000 Hilang Sekelip Mata Anak Beli Online Game
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Permainan video dalam talian atau online game telah mendapat sambutan dan digemari ramai. Menariknya, minat gamers yang tiada tandingan terhadap online game ini menyebabkan eSports semakin menempa nama sebagai sebuah sukan.
Namun, ada juga segelintir individu yang sanggup menghabiskan duit dalam jumlah yang besar semata-mata untuk membuat upgrade dan sebagainya.
Perkara ini boleh menjadi sebuah masalah sekiranya pembelian tersebut dibuat secara tidak terkawal semata-mata untuk kepuasan bermain.
Anak guna wang simpanan pelajaran untuk online game
Baru-baru ini, aktres Zarina Zainuddin telah kehilangan kata-kata setelah anak bongsunya, Adam, 15 membelanjakan lebih RM10,000 sehingga wang simpannya hanya berbaki RM3.

Menurut laporan Harian Metro, Zarina telah menyediakan sejumlah wang sebanyak RM23,000 untuk kegunaan masa depan pembelajaran anaknya. Kad bank tersebut itu pula diberikan untuk mempermudah pembelian data internet atau makanan atas talian.
Tetapi tak terjangkau dek akal anaknya akan menghabiskan wang tersebut semata-mata untuk online game.
“Selama ini, saya memang beri dia kad bank untuk mudahkan dia membeli data internet atau makanan dalam talian. Saya tak terfikir langsung yang dia akan menggunakan wang yang saya kumpul dalam akaun peribadinya untuk membeli permainan video itu.
“Menggigil satu badan apabila dapat tahu wang itu ‘lesap’. Adam mengaku dia membeli tiga permainan video dalam talian yang setiap satunya berharga RM3,000 hingga RM5,000.”

Perkongsian video mengenai situasi itu dikecam netizen
Sebelumnya dia telah berkongsi sebuah video mengenai situasi tersebut di Instagram tetapi dipadam kerana dianggap menjatuhkan air muka dan membuka aib anaknya.
Baginya ia bukanlah untuk membuka aib anak, tetapi semata-mata sebagai iktibar dan teladan buat ibu bapa di luar sana. Apatah lagi, perbuatan anaknya itu bukanlah sesuatu perkara yang memalukan.

“Saya beritahu Adam yang saya nak dia menghargai apa yang saya lakukan untuknya selama ini. Sebagai ibu saya sangat terkesan dengan benda ini tapi orang luar tak faham perasaan saya. Mereka ingat saya muat naik video untuk tujuan nak malukan dia.
“Nak malu apa? Dia bukan mencuri atau merogol anak orang. Dia cuma beli permainan video menggunakan duit dia sendiri dengan jumlah yang begitu besar. Dia mencalarkan kepercayaan saya.”