fbpx
Now Reading
Permintaan Terlalu Tinggi, Pengarah Sahkan Squid Game Akan Kembali Untuk Musim Ke-2

Permintaan Terlalu Tinggi, Pengarah Sahkan Squid Game Akan Kembali Untuk Musim Ke-2

Meskipun belum ada pengumuman rasmi dari Netflix, kami yakin mereka tidak akan menolak untuk menerbitkan Squid Game bagi musim kedua.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Drama bersiri sensasi dari Korea Selatan yang ditayangkan di Netflix sejak bulan September, Squid Game benar-benar menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Jalan ceritanya yang tidak klise selain dibarisi pelakon yang begitu mantap membuatkan drama thriller ini berjaya menjadi rancangan asal Netflix paling popular, sekaligus menaikkan nama pengarahnya, Hwang Dong-Hyuk.

Terbaharu selepas beberapa kali memberikan bayangan, Hwang Dong-Hyuk akhirnya mengesahkan Squid Game bakal kembali untuk musim kedua.

Beliau yang juga penulis untuk drama tersebut menjelaskan keputusan berkenaan diambil ekoran dari desakan dan permintaan perminat yang begitu tinggi.

Foto : Netflix

“Saya berasakan anda (peminat) tidak memberi kami banyak pilihan.

“Banyak tekanan, permintaan dan sokongan daripada peminat untuk musim kedua, maka boleh saya katakan di sini memang akan ada musim kedua,” kata Dong-Hyuk dipetik dari AP.

Masih dalam proses perancangan

Mengakui masih terlalu awal untuk memberikan sebarang tarikh, pengarah tersebut bagaimanapun berjanji yang watak Gi Hun yang dilakonkan Lee Jung-jae akan kembali menggegarkan orang ramai.

“Ia ada di dalam kepala saya sekarang. Saya sedang dalam proses perancangan. Tetapi saya rasa masih terlalu awal untuk (mengumumkan) bila dan bagaimana ia akan dihasilkan.

“Tapi saya berjanji. Watak utamanya, Gi Hun (lakonan Lee Jung-jae) akan kembali dan lakukan sesuatu untuk dunia,” katanya sewaktu di satu acara di NeueHouse, Los Angeles.

Meskipun belum ada pengumuman rasmi dari Netflix berhubung kenyataan Dong-Hyuk, kami yakin perkhidmatan penstriman antarabangsa itu sama sekali tidak akan menolak untuk menerbitkan naskah berkenaan.

Sebagai rekod, Dong-Hyuk sebelum ini ada berkongsi bahawa skrip Squid Game musim pertama sebenarnya sudah lama disiapkan iaitu pada tahun 2009. Ia bagaimanapun terpaksa ‘diperam’ memandangkan konsep drama thriller pada waktu itu agak sukar diterima.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.