Neelofa & PU Riz Selamat Timang Anak Pertama, Pilih Nama Muhammad Bilal
Neelofa menerusi satu ciapan di Twitter turut mengumumkan nama anak pertamanya itu iaitu Muhammad Bilal bin Muhammad Haris.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tahniah kami ucapkan kepada pasangan selebriti Neelofa dan PU Riz yang selamat menimang putera sulung mereka.
Difahamkan Neelofa selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka itu pada 29 Januari 3.44 petang.
Berita gembira tersebut dikongsikan PU Riz menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Neelofa sebentar tadi.
“Puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya, isteri saya, Noor Neelofa Mohd Noor telah selamat melahirkan Putera sulung kami pada 29 Januari 2022 jam 3.44 petang.
“Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan, kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” kata PU Riz atau nama penuhnya, Muhammad Haris bin Mohd Ismail.
PU Riz dalam masa sama turut memohon titipan doa orang ramai agar putera sulung mereka itu mampu menjadi insan yang berguna dan memberikan kebaikan kepada agama dan negara di masa akan datang.
“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua. Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata
“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu, mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” kata pendakwah itu lagi.
Pilih nama Muhammad Bilal Bin Muhammad Haris
Malah Neelofa menerusi satu ciapan di Twitter turut berkongsi perkara berkenaan sambil mengumumkan nama anak pertamanya itu sebagai Muhammad Bilal bin Muhammad Haris.
Terdahulu Neelofa dan PU Riz selamat disatukan sebagai suami isteri pada 21 Mac 2021.