fbpx
Now Reading
Isu Babak Panas, JAKIM Panggil Zul Ariffin & Produksi Drama ‘Perempuan Itu’

Isu Babak Panas, JAKIM Panggil Zul Ariffin & Produksi Drama ‘Perempuan Itu’

Mereka juga menyatakan pendirian kepada K-KOMM, KDN dan SKKM mahukan tindakan tegas diambil.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu adegan panas membabitkan aktor Zul Ariffin dan pelakon baharu, Siti Hariesa yang disifatkan bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya hidup masyarakat di negara ini akhirnya turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sehubungan itu mereka berdua dan produksi Perempuan Itu akan dipanggil oleh Jakim dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary kepada Sinar Harian pada Ahad, 20 Mac.

Akan adakan pertemuan dengan K-KOMM bincang isu ini dengan lebih terperinci

Selain itu, beliau turut memaklumkan yang pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

“Cuma dari sudut panduan agama (Islam) budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa masuk ke negara ini yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan budaya timur,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Tambah Ahmad Marzuk lagi, pemain industri drama dan filem serta hiburan di negara ini perlu sentiasa peka dengan perkara ini.

Ini kerana isu sebegini bukan sahaja telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat di negara ini malah dikhuatiri akan menjadi ikutan sekiranya gagal ditangani dengan sebaik mungkin.

JAKIM mahu tindakan tegas diambil

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hajah Hakimah Binti Mohammad Yusoff turut menegaskan drama seumpama ini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadhan.

Ini kerana ia jelas mempamerkan aksi dan adegan tidak bermoral serta melampaui batas yang dilarang oleh Islam.

Mereka turut menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

“JAKIM menggesa semua pihak samada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini kerana ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” kata beliau lagi menerusi satu kenyataan.

Terdahulu Zul Ariffin dan produksi Perempuan Itu dikecam hebat selepas tular video babak panas memperlihatkan pelakon berusia 35 tahun itu mendukung Siti Hariesa selain beberapa lagi aksi panas yang dianggap keterlaluan serta tidak sesuai untuk ditayangkan secara umum.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.