Awal Ashaari Didakwa Lakukan Khianat, Rosakkan Palang Pagar Di Kawasan Perumahan
Awal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pelakon dan pengacara terkenal, Awal Ashaari menjadi sebutan peminat dunia hiburan selepas dilaporkan berdepan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar di sebuah kawasan perumahan di Damansara.
Menurut laporan Berita Harian, dia yang berdepan pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah pada pagi Selasa.
Mengikut kertas pertuduhan, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, didakwa melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara pada 16 April, sekitar jam 11.30 pagi.
Perbuatan suami kepada pelakon, Scha Alyahya itu menyebabkan pihak pengurusan menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM 600.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam yang mewakili Awal, Datuk M Reza Hassan dan Hamizah Sobree bagaimanapaun memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guaman mereka menyara isteri dan dua anak serta menanggung ibu bapanya yang sudah berusia dan pendapatannya tidak konsisten.
Mahkamah membenarkan Awal diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 15 Julai ini untuk sebutan semula kes.