fbpx
Now Reading
Siri Animasi Ejen Ali Musim 3 Akan Ditayangkan Di Disney+ Hotstar Mulai 25 Jun

Siri Animasi Ejen Ali Musim 3 Akan Ditayangkan Di Disney+ Hotstar Mulai 25 Jun

Ejen Ali Musim 3 akan menyaksikan Ejen Ali dan rakan-rakannya iaitu barisan ejen muda dari Akademi MATA kembali disatukan dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Akhirnya selepas beberapa tahun menanti, siri animasi popular, Ejen Ali yang sarat dengan mesej positif dan aksi hebat akan kembali menemui peminat secara eksklusif di Disney+ Hotstar mulai 25 Jun ini.

Sebuah usahasama antara Disney+ Hotstar, Primeworks Studios dan WAU Animation, Ejen Ali Musim 3 akan menyaksikan Ejen Ali dan rakan-rakannya iaitu barisan ejen muda dari Akademi MATA kembali disatukan dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA. 

Sinopsis ringkas

Ali tekad untuk mengikuti jejak langkah ibunya selaku juara Arena MATA, namun menghadapi cabaran sukar untuk kekal bersaing tanpa bergantung pada alat gajet IRIS apabila bertemu dengan Ejen Antarabangsa yang jauh lebih berkemahiran tinggi. Ketika berlangsungnya pertandingan Arena, sebuah rancangan rahsia musuh dalam selimut muncul untuk menjatuhkan MATA dan berpotensi melumpuhkan bandaraya futuristik Cyberaya.

Kumpulan penjahat Numeros kembali untuk membalas dendam di atas kehilangan ketua mereka Uno, dan membuatkan Ejen terbaik MATA, Rizwan (Azman Zulkiply), bertindak berseorangan untuk membongkar komplot bahaya mereka.

Dalam sebuah langkah yang mengejutkan, Rizwan bekerjasama dengan bekas ahli Numeros, Dos (Nurul Radhiah Ibrahim) untuk membongkarkan rancangan licik Numeros.

Terkenal dengan dunia penceritaan yang inovatif dan animasi berkualiti tinggi, francais animasi Ejen Ali juga berjaya mengangkat pengaruh kepelbagaian budaya di Malaysia dengan mengetengahkan teknologi moden yang digabungkan pelbagai elemen tradisional Malaysia dan serumpun. Antaranya adalah penggunaan unsur gasing dan kerambit sebagai gajet yang baru, serta seni mempertahankan diri silat.   

“Langkah hebat untuk kongsi kandungan hebat tempatan kepada penonton seluruh dunia”

Menurut Ketua Kandungan dan Kreatif, Asia Tenggara & Indonesia Walt Disney, Ahmad Izham Omar, pihaknya sangat berbesar hati apabila berpeluang bekerjasama dengan WAU Animation untuk menghasilkan musim terbaru siri animasi popular Ejen Ali dan memperkenalkannya kepada penonton Disney+ Hotstar di serantau Asia Tenggara.

“Musim terbaru ini merupakan langkah kami untuk berkongsi pelbagai kandungan hebat tempatan dengan penonton di seluruh dunia. Kami juga sungguh teruja untuk melihat reaksi penonton dan khususnya peminat setia yang mengikuti misi Ejen Ali dan ejen-ejen baru apabila ia akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar pada bulan ini!”

Ketua Kandungan dan Kreatif, Asia Tenggara & Indonesia Walt Disney, Ahmad Izham Omar

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof pula optimis yang penonton Disney+ Hotstar akan terhibur dengan jalan penceritaan menarik di dalam Ejen Ali musim baharu ini.

“Kami berharap animasi tempatan yang menampilkan pelbagai suara dan rupa Asia ini akan memberi inspirasi kepada  penonton setia dan penonton baharu untuk menerokai kandungan meluas yang boleh didapati di Rangkaian Televisyen Media Prima, dan agar penonton di luar Malaysia turut terhibur dengan kandungan kami yang tersedia di Disney+ Hotstar,” kata Nini Yusof.

Penonton bakal disajikan aksi yang hebat serta efek visual yang menakjubkan dalam jalan penceritaan siri Ejen Ali musim ini. Noorhayati Maslini, Azi Shafian dan Azman Zulkiply kembali mendukung watak asal mereka, manakala Usamah Zaid, Pengarah dan Ketua Penulis Skrip, bersama Shafiq Isa, Pengarah Kreatif dan Suara, turut meminjamkan suara mereka bagi beberapa karakter di dalam siri ini.

 “Kami sangat teruja untuk melihat Ejen Ali berada di pentas dunia, terutamanya di platform Disney+ Hotstar yang mempunyai pengikut animasi yang setia. Seperti ramai, pandemik ini telah menyebabkan kami harus bekerja dari rumah untuk menjalankan produksi Musim 3 ini, dan saya percaya ini adalah bukti bahawa WAUriors yang hebat mampu mencapai kejayaan penting bersama-sama Disney+ Hotstar! Memandangkan animasi merupakan medium sejagat bagi orang ramai, terutamanya penonton muda, apabila mereka melihat karakter yang menyerupai mereka di layar skrin kami berharap kami berjaya memperkenalkan model yang positif untuk mereka contohi. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kami sehingga ke hari ini!”

Director Ejen Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.