fbpx
Now Reading
Perdayakan Wanita & Lakukan Penderaan Seksual, R Kelly Dihukum Penjara 30 Tahun

Perdayakan Wanita & Lakukan Penderaan Seksual, R Kelly Dihukum Penjara 30 Tahun

Hakim Ann Donnelly berkata, keputusan itu diambil bagi melindungi orang ramai dari tingkah laku kejam seperti itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sekitar September tahun lalu, penyanyi R&B terkenal, R. Kelly telah didapati bersalah oleh mahkamah di New York atas pertuduhan mengeksploitasikan statusnya sebagai selebriti berpengaruh untuk melakukan aktiviti jenayah seksual membabitkan wanita dan kanak-kanak selama hampir dua dekad.

Juri mendapati Kelly adalah ketua kepada rangkaian pemerasan dan penganiayaan bertujuan mengumpan wanita dan kanak-kanak untuk kepuasan seksnya.

Barisan juri yang mengambil masa dua hari untuk membuat keputusan itu kemudiannya mengarahkan tarikh untuk menjatuhkan hukuman adalah pada bulan Jun 2022.

Terbaharu semalam (29 Jun), Kelly atau nama penuhnya Robert Sylvester Kelly, telah pun dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun di atas semua pertuduhan itu.

Hakim Ann Donnelly berkata, keputusan itu diambil bagi melindungi orang ramai dari tingkah laku kejam seperti itu.

“Kamu mengajar mereka bahawa cinta adalah perhambaan dan keganasan,” katanya.

Namun peguam Kelly Jennifer Bonjean mendedahkan penyanyi tersebut akan membuat rayuan di atas keputusan tersebut. Dia sebelum ini telah memohon agar hukuman ringan diberikan kepada Kelly dengan maksimum kira-kira 17 tahun penjara.

Dia memberitahu hakim bahawa anak guamnya itu adalah hasil didikan salah termasuk didera secara seksual ketika kecil.

Mangsa luah rasa syukur

Seorang dari 11 mangsa, Lizzette Martinez yang ditemui media di luar mahkamah persekutuan di Brooklyn menzahirkan rasa syukurnya dengan hukuman tersebut.

“Saya bersyukur Robert Sylvester Kelly tiada dan akan berjauhan (kerana) dia tidak akan boleh membahayakan orang lain,” kata mangsa tersebut.

Peguam bagi Daerah Timur New York, Breon Peace turut memuji keputusan tersebut kerana ianya adalah terbaik untuk kesemua mangsa yang telah memberi keterangan mengenai “penderaan ngeri dan sadis yang mereka alami”.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.