fbpx
Now Reading
Didakwa Buat Kritikan Mengaibkan, Penerbit Gadis Jolobu The Movie Bakal Saman ZhafVlog

Didakwa Buat Kritikan Mengaibkan, Penerbit Gadis Jolobu The Movie Bakal Saman ZhafVlog

Dedah Saraleana, apa yang menimbulkan kemarahannya adalah lontaran bahasa yang digunakan YouTuber berkenaan. Justeru dia dan pengarah seharusnya mempertahankan maruah dan karya mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kecewa dan terguris dengan kritikan YouTuber dan pengulas filem, ZhafVlog, pasukan produksi filem Gadis Jolobu The Movie difahamkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Memetik laporan BH, Pengasas Zebra Studio yang juga Penerbit Eksekutif Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi berkata, pihakya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap YouTuber itu.

Meskipun artikel tersebut tidak menyebut sebarang nama, ramai yakin individu yang dimaksudkan adalah ZhafVlog yang sebelum ini lantang mengkritik filem tersebut di laman Twitter antaranya menggelar karya berkenaan sebagai ‘infinity sh*t.’

Dedah Saraleana, apa yang menimbulkan kemarahannya adalah lontaran bahasa yang digunakan YouTuber berkenaan yang disifatkannya sebagai mengaibkan. Justeru dia dan pengarah seharusnya mempertahankan maruah dan karya mereka.

“Saya tidak tahu siapa YouTuber ini? Adakah mempunyai kelayakan mengkritik filem?

“Kalau YouTuber ini pengkritik filem berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh mempertimbangkan kritikan diberikan.

“Tetapi, lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.

“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai, tidak lama lagi,” katanya dipetik dari BH.

Boleh ulas tapi cara beradab dan guna bahasa sesuai

Mengakui kewujudan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa sahaja membuat ulasan filem, Saraleana bagaimanapun merasakan ia haruslah dilakukan secara beradab dan dengan bahasa yang sesuai.

“Seharusnya, kritikan diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan bajet berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Saya mungkin penerbit baharu, tetapi saya tidak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baharu yang mungkin tiada sokongan seperti saya.

“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem menjadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ini layak memberi kritikan filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?

“Caranya salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah. Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi,” katanya.

Optimis selepas dapat respon baik dari Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Saraleana bagaimanapun optimis selepas pihaknya menerima mesej positif dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli menghadiri tayangan filem itu di GSC Pall Mall, Seremban, Negeri Sembilan, pada Sabtu 6 Ogos.

Difahamkan selain baginda berdua, tayangan filem tersebut turut dihadiri Tunku Zain Al Abidin yang merupakan anakanda baginda dan kerabat diraja yang lain.

“Saya kelakar ulasan YouTuber ini, sedangkan kami tidak menerima komen negatif daripada Tuanku Muhriz dan kerabat diraja lain.

“Tidak hanya itu, majlis tayangan turut dihadiri ratusan penonton dari Negeri Sembilan. Selepas menonton, tidak pula saya menerima komen filem Gadis Jolobu membawa imej buruk, mengandungi adegan lucah dan sebagainya.

“Malah, anakanda Tuanku Muhriz iaitu Tunku Zain Al Abidin menyatakan filem ini berbeza, mempunyai arah tuju dan tidak menyimpang elemen adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau.

Jawab isu poster tiru filem Hollywood

Mengulas mengenai poster Gadis Jolobu yang didakwa meniru filem komedi Amerika Syarikat, Neighbors 2: Sorority Rising, Saraleana menjelaskan ia adalah satu proses kreatif, dan langsung tidak berkaitan dengan hak cipta.

“Jika meniru, sudah pasti timbul masalah hak cipta, tetapi inikan industri kreatif.

“Kita juga tahu ada pengarah mengambil inspirasi dari filem lain, tetapi bukannya meniru,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.