fbpx
Now Reading
Kes Dadah: Hukuman Penjara Diketepikan, Farid Kamil Hanya Didenda RM5,000
Farid kamil kena bayar denda RM5,000

Kes Dadah: Hukuman Penjara Diketepikan, Farid Kamil Hanya Didenda RM5,000

Farid Kamil kemudian membayar denda yang diberikan kepadanya dan meluahkan rasa syukur atas keputusan yang diberikan oleh pihak mahkamah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil Zahari hari ini terlepas dari hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengenakan denda terhadapnya sebanyak RM5,000 bagi kesalahan dalam menggunakan dadah pada empat tahun yang lepas.

Memetik laporan Bernama, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said telah membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan akhir pelakon berkenaan sebagai perayu bagi mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Hakim Kamaludin bagaimanapun telah mengekalkan pengawasan selama dua tahun terhadapnya di bawah pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selain memerintahkan Farid untuk dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal untuk membayar denda.

Farid dah bayar denda RM5,000

Farid yang berusia 41 tahun itu lalu membayar denda tersebut.

Menurut Hakim keputusan tersebut dilakukan selepas mahkamah bersetuju dengan peguam yang mewakili Farid bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam melakukan pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan kepada aktor berkenaan.

Jelasnya tiada satu penjelasan yang konkrit boleh menyatakan bahawa hukuman berkenaan adalah setimpal dengan kesalahan yang dibuat pada ketika itu serta tiada aspek pemberatan contoh tiada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikna serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” jelasnya.

Selain Farid, beberapa ahli keluarganya turut menghadiri prosiding itu seperti isteri, Diana Danielle dan adik kandungnya, Fadzil Zahari.

Luah rasa syukur dengan keputusan mahkamah

Pelakon itu ketika ditemui media selepas selesai membayar denda turut meluahkan rasa syukurnya dengan keputusan hari ini yang dikatakan sebagai yang terbaik buatnya.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” ujarnya.

Dia dalam masa sama turut berterima kasih kepada peguam-peguam yang telah mewakilinya bagi kes tersebut.

Antara peguam yang mewakili Farid adalah Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula mewakili pihak pendakwaan,

Sebelum ini, Farid Kamil telah dijatuhkan hukuman penjara selepas pelakon itu didapati bersalah menggunakan dadah jenis THC iaitu ’11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ pada 15 Mei 2019 yang lalu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.