fbpx
Now Reading
Nak Jadi Juri Program Nyanyian Perlu Menang Satu Anugerah Sepanjang Hidup, Kata Azwan Ali

Nak Jadi Juri Program Nyanyian Perlu Menang Satu Anugerah Sepanjang Hidup, Kata Azwan Ali

Malah Diva AA juga tidak bersetuju dengan segelintir rancangan hiburan yang tidak menghormati kedudukan sebenar kerusi juri sebaliknya lebih gemar meniru rancangan dari luar negara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu pemilihan seseorang juri dan cara penjurian sesebuah program realiti nyanyian sering menjadi topik perbualan banyak pihak.

Jika dahulu sesebuah pertandingan nyanyian itu akan menjadi tumpuan dengan kekuatan hos dan para pesertanya, kini juri turut menjadi faktor utama dalam menaikkan rating program tersebut.

Cuma kaedahnya berbeza di mana ada program yang begitu ‘ketat’ dengan memilih juri dari kalangan penggiat industri muzik dan ada juga yang mengambil juri dari kalangan rakan selebriti yang tiada pengalaman menyanyi.

Bahkan ada juga dakwaan yang mengatakan juri juga kini diberi tanggungjawab seperti hos untuk menaikkan rating dengan mencipta ‘drama’ agar kewujudan program berkenaan menjadi viral hingga lebih diketahui orang ramai.

Ini menyebabkan wujudnya kelemahan dari aspek perkongsian ilmu muzik atau nyanyian
sebenar sebaliknya mereka ‘menampalnya’ dengan memilih juri yang ‘kelakar’ sebagai juri jemputan atau juri yang berperwatakan seperti seorang cikgu disiplin.

Anugerah untuk buktikan kualiti vokal mereka sebagai juri

Menurut pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Diva AA, kriteria pemiihan juri untuk program nyanyian sepatutnya di kalangan individu yang pernah memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah sepanjang bergelar penyanyi.

Dengan ini mereka sekurang-kurangnya mempunyai pencapaian untuk menunjukkan kualiti vokal mereka apabila sudah diiktiraf dan mendapat penghargaan menerusi penganjuran anugerah berprestij di negara ini.

“Sepatutnya kredibiliti atau kelayakan menjadi juri mestilah pernah menang satu anugerah sepanjang karier mereka.

“Sekurang-kurangnya vokal mereka sudah dinilai dan diiktiraf sekiranya program tersebut berkaitan dengan nyanyian, barulah layak menilai peserta bertanding.

“Adakah sikap juri yang suka mengamuk dan terjerit-jerit ini menjadi ‘nyawa’ kepada stesen televisyen?” soalnya.

Dia dalam masa sama turut menzahirkan kekecewaaan dengan kewujudan ramai juri ‘sampah’ yang semakin menguasai program realiti TV.

Walhal negara kita mempunyai ramai penyanyi hebat seperti Datuk Aishah dan Datuk Francissca Peter yang sudah terbukti dengan pelbagai anugerah vokal namun amat jarang dilihat muncul di kaca TV sebagai juri.

“Balik-balik muka yang sama muncul dalam televisyen, sedangkan penyanyi yang mahir mengenai vokal juga ramai dan boleh memberikan komentar mengenai persembahan nyanyian,” katanya.

Malah Diva AA juga tidak bersetuju dengan segelintir rancangan hiburan yang tidak menghormati kedudukan sebenar kerusi juri sebaliknya lebih gemar meniru rancangan dari luar negara.

“Ini bukan rancangan realiti kartun yang sumbat siapa sahaja jadi juri sehingga terpekik-pekik dan terkinja-kinja. Ini trend negara mana? Kehormatan juri itu terletak pada kerusinya dan mereka perlu hormat dengan kedudukan tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama mengecam juri program realiti TV. Dia pada 2021 pernah mengecam sikap beberapa juri sebuah program nyanyian terbitan televisyen swasta dan menyifatkannya sebagai ‘sampah’.

Namun tidak sampai beberapa hari, Azwan dan individu berkenaan akhirnya dilihat bergambar bersama memberikan petanda bahawa mereka sudah berdamai.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.