fbpx

Terengganu Haramkan Tayangan Filem Pulau, Penerbit Rugi Besar & Sudah Buat Rayuan

Tambah Fred Chong, kontroversi yang melanda filem tersebut juga membuatkan pihaknya berdepan dengan kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kontroversi membabitkan filem Pulau nampaknya memasuki episod baru apabila kerajaan negeri Terengganu dilaporkan sudah mengharamkan penayangan filem tersebut di sana.

Perkara itu disahkan penerbit filem Pulau, Fred Chong, dalam satu sidang media secara maya, lapor Harian Metro.

Menurut Fred, pengharaman filem arahan Euho itu yang bakal menemui penonton seluruh negara pada 9 Mac ini akan memberi kesan besar buat mereka.

Malah dia bimbang sekiranya ada negeri lain yang akan mengambil tindakan sama seperti kerajaan negeri Terengganu.

“Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu.

“Semalam Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana.

“Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Difahamkan keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan surat makluman tersebut telah dihantar kepada pihak pawagam TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu pada minggu lalu.

“Pihak TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari supaya filem Pulau tidak ditayangkan di tiga pawagam itu di sana. Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Penerbit sudah buat rayuan kepada kerajaan Terengganu

Namun pihak penerbit sudah pun menghantar surat rayuan dan mencadangkan supaya pihak terlibat agar menonton dan menilai terlebih dulu filem Pulau sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.”

“Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.

“Sekiranya saya mendapat maklum balas daripada pihak sana, saya sanggup ke sana pada Isnin ini untuk menayangkan filem itu kepada mereka,” katanya.

Berdepan kerugian besar, penaja tarik diri

Tambah Fred lagi,  kontroversi yang melanda filem tersebut juga membuatkan pihaknya berdepan dengan kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka.

“Kos penghasilan filem ini mencecah hampir RM4 juta dan kami semua meletakkan sepenuh kerja keras kami dalam menghasilkannya. Jadi, apa yang berlaku memberi kesan kepada pihak kami terutamanya sebagai syarikat produksi. Malah, nak bayar kepada stesen radio supaya memainkan lagu OST Pulau pun, kami tak mampu.

“Kalau melihat semua rangka pemasaran untuk filem-filem saya yang terdahulu, kami memang memberikan pemasaran yang sangat mewah dari papan iklan sehinggalah malam gala yang lengkap dengan acara karpet merah.

“Namun, untuk Pulau takkan ada semua itu kerana penaja juga sudah menarik balik tajaan sebanyak RM500,000. Niat kami untuk membawa industri perfileman kita ke peringkat yang lebih tinggi kini musnah.

“Kepada netizen yang menulis komen kecaman dan memboikot, saya rayu anda semua supaya menonton filem ini terlebih dulu sebelum menilainya,” katanya lagi.

Terdahulu Lembaga Penapis Filem (LPF) menjelaskan bahawa filem kontroversi itu bukanlah filem lucah seperti yang didakwa segelintir pihak. Sebaliknya ia merupakan sebuah filem seram.

Namun LPF mendapati terdapat perbezaaan antara kandungan treler yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang telah dikemukakan untuk tujuan penapisan.

Penjelasan LPF dan pihak produksi bagaimanapun tidak dapat diterima ramai rakyat Malaysia termasuk Badan budan kerajaan (NGO) dan golongan agamawan hingga ada yang mencadangkan agar filem tersebut diboikot dan diharamkan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.