Difitnah Potong Gaji Pekerja, Aeril Zafrel Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Portal Hiburan
Jelas Aeril Zafrel, dakwaan dikeluarkan portal berkenaan adalah tidak benar kerana dia tidak pernah membayar gaji pekerja lambat malah turut memberi bonus, zakat, dan duit raya kepada stafnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Baru-baru ini pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel meluahkan perasaan tidak puas hati kepada sebuah portal hiburan berhubung artikel yang mendakwa pelakon berkenaan menolak gaji pekerja di syarikatnya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pelakon berkenaan di Instagram, dia telah bertanya dari manakah portal tersebut mendapat maklumat berhubung perkara itu.
Ini kerana, aktor tersebut tidak melakukan perkara berkenaan sebaliknya memberikan bonus pada tahun lalu.
Tidak lama kemudian, Aeril sekali lagi memuat naik satu hantaran memaklumkan portal berkenaan telah memadam artikel terbabit. Namun tegasnya ia tidak boleh diselesaikan semudah itu.
“Kau delete (buang)? Ingat boleh setel (selesai) macam tu je?”
Aeril ambil tindakan undang-undang, hantar LOD pada portal berkenaan
Berikutan dari berlakunya perkara tersebut, Aeril memaklumkan bahawa di akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal hiburan berkenaan.
“Saya dah suruh peguam saya untuk hantar letter of demand (LOD) sebab kapsyen dan gambar memang dah mengundang fitnah,” jelas Aeril.
Difahamkan ia adalah kerana portal terbabit telah menggunakan gambarnya bersama isteri, Wawa Zainal dengan menggunakan kapsyen yang disifatkan sebagai fitnah disebabkan ia adalah dakwaan yang tidak betul.
Tahu selepas di ‘tag’ orang ramai dan makluman pekerja
Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, perkara tersebut diketahunya selepas dia di ‘tag’ oleh orang ramai di media sosial serta pekerja yang memaklumkan tentang hal terbabit.
“Memang fitnah. Sebab saya tak pernah bayar gaji staf lambat, malah siap bagi duit bonus, duit zakat, duit raya dekat staf tiap tahun,” jelasnya ketika dihubungi Harian Metro.
Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial oleh seorang individu yang bertanya kewajaran sebuah syarikat milik pasangan terkenal yang didakwa memotong gaji pekerjanya disebabkan syarikat tidak mencapai target jualan.
Dalam hantaran berkenaan turut menjelaskan bahawa pekerja sebelum ini tidak pernah menanda tangan sebarang dokumen rasmi menyatakan pekerja yang bekerja di bawah penilaian prestasi akan dipotong sebanyak 35%.