fbpx
Now Reading
Siti Nurhaliza Teruja Dipilih Nyanyi Lagu ‘Menjaga Cintamu’ Untuk OST Filem Anwar: The Untold Story

Siti Nurhaliza Teruja Dipilih Nyanyi Lagu ‘Menjaga Cintamu’ Untuk OST Filem Anwar: The Untold Story

Kata Siti Nurhaliza, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer hebat iaitu Andi Rianto selain turut tertarik dengan mesej disampaikan dalam lagu Menjaga Cintamu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Filem Anwar: The Untold Story yang dilakonkan oleh Farid Kamil sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan tentang kisah benar mengenai kehidupan Perdana Menteri ke-10 Malaysia semasa menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1991-1998.

Selain Farid Kamil, filem ini turut dibintangi oleh Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir), Saskia Chadwich (Nurul Izzah) serta ramai lagi.

Yang menariknya, lagu OST bagi filem yang memakan belanja sehingga RM10 juta ini juga turut dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza tak lepaskan peluang semasa dilamar nyanyi lagu OST filem

Siti Nurhaliza yang mendapat lamaran untuk menyanyikan lagu bertajuk Menjaga Cintamu berpendapat ia mempunyai mesej cinta, kesetiaan serta pengorbanan wanita yang cukup menyentuh perasaannya.

Malah dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menyanyikan lagu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara semasa mendapat lamaran dari produser dan pengarah filem berkenaan.

Lagu beri gambaran kesetiaan dan pengorbanan Datuk Seri Dr Wan Azizah

Kata pelantun lagu Anta Permana itu, lagu tersebut memberikan gambaran mengenai kesetiaan serta pengorbanan dilakukan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya terima tawaran menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini. Ia bukan hanya gambaran kesetiaan Dr Wan Azizah, tetapi secara amnya, untuk wanita yang setia mencintai pasangan.

“Saya amat tertarik dengan mesej dalam lagu ini. Saya faham lirik lagu Menjaga Cintamu ini lebih kepada pengorbanan seorang isteri dan cinta yang tiada tolok bandingan.

“Secara kebetulan, saya dalam tempoh menerbitkan album baharu,” ujarnya dipetik Berita Harian Online.

Sudah lama simpan hasrat mahu bekerjasama dengan Andi

Menurut penyanyi itu, sudah sekian lama dia menyimpan hasrat untuk berkerjasama dengan komposer itu.

“Sejujurnya, saya sudah lama menyimpan hasrat bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi. Jadi, peluang ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang dan sangat bermakna.

“Saya berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi kerana memberikan kepercayaan kepada saya menyanyikan lagu Menjaga Cintamu.

“Saya adalah penyanyi dan tugasan saya memang menyanyi. Pada masa sama, saya juga memiliki peminat di Indonesia.

“Saya jarang menolak menyanyikan lagu OST. Apabila wakil penerbit datang berbincang dengan pengurusan, mereka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.

“Saya juga mendapat penerangan mengenai filem Anwar: The Untold Story. Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Rakaman mengambil masa sejam dan akui gementar

Penyanyi yang mesra dipanggil Siti itu juga tidak melepaskan peluang berkongsi pengalamannya ketika rakaman dibuat selain memaklumkan proses itu mengambil masa sejam dan Andi yang menjaga vokal dan menerbitkannya.

Mengakui gementar kerana itu kali pertama menyanyikan lagu ciptaan Andi, Siti turut memaklumkan dia berdepan cabaran semasa menyanyikan lagu tersebut kerana suara dalam proses pulih dari kesan virus Covid-19.

Namun, dia telah berusaha sepenuhnya agar lagu disampaikan dengan baik dan memberitahu proses rakaman dibuat di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito.

Bersyukur selalu nyanyi lagu komposer Indonesia, mudah fahami cara bekerja

Menceritakan tentang perbezaan bekerja dengan komposer hebat dari negara jiran itu, Siti menyifatkan setiap kali masuk ke studio ia merupakan pengalaman sangat berharga buat dirinya.

“Saya bersyukur sering menyanyikan lagu-lagu komposer Indonesia. Jadi, sedikit sebanyak saya sudah memahami cara mereka bekerja. Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik, begitu juga Andi.

“Saya merakamkan lagu Menjaga Cintamu selama sejam. Andi terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih.

“Namun, lagu Menjaga Cintamu memang mudah menyerap dalam hati, jadi saya dapat menyanyikan dalam tempoh singkat.”

Sebagai rekod, filem Anwar: The Untold Story yang turut dilakonkan oleh Farid Kamil sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan tentang kisah benar perjalaanan kehidupan Perdana Menteri ke-10 Malaysia semasa menjadi Menteri Kewangan pada 1991-1998.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.