“Dia Yang Hempas Pasu” – Yana Samsudin Tak Gentar Disaman Aliff Syukri, Nafi Pecahkan Pasu RM400,000
Menurut Yana, perselisihan antara dia dan suaminya bersama Aliff Syukri adalah kejadian sebenar dan bukan satu kontroversi murahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Sabtu (15 April) yang lalu usahawan kontroversi, Datuk Seri Alif Syukri telah memuat naik satu video memaparkan situasi pergaduhan antaranya bersama dengan pelakon, Fadzil Zahari yang juga suami kepada aktres, Yana Samsudin.
Menerusi video tersebut, kelihatan Yana Samsudin ketika itu sedang cuba menenangkan suaminya dari bergelut dengan usahawan tersebut.
Malah menerusi di ruangan kapsyen Aliff Syukri turut meminta agar pasangan selebriti itu untuk membayar semula ganti rugi dipercayai barangan perhiasan rumahnya yang telah dipecahkan oleh mereka.
Dia dalam masa sama turut mendakwa akan menyaman pelakon berkenaan sekiranya tidak mendapat respon di dalam masa 48 jam selepas video itu disiarkan di Instagram.
Penularan video tersebut mendapat pelbagai reaksi di mana majoriti merasakan ia hanyalah sekadar konten murah memandangkan Aliff sebelum ini kerap berbuat perkara sama.
Kejadian perselisihan faham Yana, Fadzil dan Aliff Syukri bukan kontroversi murahan
Terbaharu, Yana Samsudin atau nama penuhnya Norliana Samsudin mendakwa perselisihan faham bersama usahawan tersebut adalah kejadian sebenar dan bukan satu kontroversi murahan.
Namun aktres berkenaan menjelaskan kejadian itu bukan baru berlaku sebaliknya terjadi dua minggu lalu sewaktu dia sedang mengacarakan sebuah program raya yang diterbitkan oleh Astro pada dua minggu lepas.
“Apa yang berlaku bukan lakonan atau kontorversi murahan seperti sangkaan ramai, sebaliknya insiden pergaduhan ini memang berlaku.
“Saya dan suami, Fadzil Zahari tak sangka video ini tular selepas dua minggu insiden berlalu. Kami terkejut kerana percaya produser, Alif Farhan sudah menyelesaikan isu ini dengan Aliff memandangkan kejadian berlaku ketika rakaman.
“Produser beritahu akan bertanggungjawab dan menyelesaikannya. Namun, sebaliknya video pergaduhan tular dan Aliff menuntut saya membayar ganti rugi bernilai RM400,000, jika tidak berdepan tindakan saman.
“Jujurnya, saya tidak gentar dengan gertakan Aliff. Kerana prinsip saya, berani kerana benar,” katanya dipetik BH Online.
Aliff Syukri tunjuk set pinggan mangkuk dan pasu mahal sebelum terjatuh
Mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan, Yana mendakwa dia hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pengacara dengan menemubual usahawan terbabit berhubung persiapan Aidilfitri dan sebagainya.
“Ketika itulah Aliff mula menunjukkan barangan rumah termasuk set pinggan mangkuk jenama dan pasu mahal dimiliki. Pasu terletak dalam almari dan memiliki sijil, jadi saya memang tahu pasu ini barangan berharga dan takkan berani menyentuhnya.
“Aliff memegang pasu dan tunjuk kepada saya. Dia suruh saya pegang pasu, tetapi saya tak nak sentuh. Masa nak berikan pasu, saya tak sambut. Ketika itulah pasu terlepas daripada genggamannya dan terjatuh.
“Saya pelik kenapa barangan berharga nak suruh saya sentuh. Saya takut. Jadi, tuduhan saya pecahkan pasu seperti tidak masuk akal, sedangkan saya tak sentuh pun,” dakwa pelakon itu.
Dakwa Aliff mula mengamuk selepas pasu pecah, keluarkna perkataan menghina
Jelas aktres itu, usahawan berkenaan mula berang seperti orang hilang akal sebaik sahaja pasu tersebut pecah.
“Aliff marah sebab saya tak sambut pasu. Dia yang hempas pasu, saya pula dipersalahkan. Dia mula membebel dan mengeluarkan perkataan menghina. Itu yang membuatkan Fadzil hilang sabar dan mula bergaduh dengannya.
“Memang kejadian Fadzil bergaduh dengannya benar-benar berlaku, bukan lakonan. Dalam video yang tular, saya memang agak kebingungan sebab terkejut. Saya juga cuba menenangkan keadaan dan suami pula ‘naik angin’.
“Ramai mempertikaikan wajah saya tidak seperti orang dalam ketakutan. Kenapa nak takut, sedangkan saya tak pecahkan pasu,” dakwa Yana lagi.
Tak gentar jika disaman Aliff Syukri
Menurut Yana, dia turut mendakwa bahawa dirinya tidak gentar jika disaman oleh Aliff disebabkan mempunyai bukti semasa rakaman dibuat.
“Ketika kejadian, rakaman sedang berlangsung. Jadi, sudah tentu video rakaman jadi bukti saya tidak bersalah dan tidak memecahkan pasu. Jika Aliff nak saman, saya tak kisah. Saya takkan bayar ganti rugi RM400,000 sebab terang-terangan bukan saya yang menghempaskan pasu.
“Dalam rakaman kita boleh nampak Aliff seperti sengaja melepaskan pasu, jadi kenapa saya harus dipersalahkan?” dakwa aktres itu lagi.
Alami kecederaan tangan bahagian kiri kerana percikan pasu terhempas
Kata Yana, disebabkan insiden itu dia turut mengalami kecederaan apabila percikan dari pasu tersebut terkena tangan bahagian kiri serta berdarah.
“Sepatutnya saya yang marah dan tidak puas hati. Saya menjayakan rakaman, tetapi saya pula tercedera. Jari manis terluka dan percikan darah terkena pada baju Aliff. Hampir dua minggu saya tersiksa sebab tak boleh memasak, malah mandi pun dalam keadaan sukar.
“Alhamdulillah, sekarang luka sudah semakin sembuh,” jelasnya lagi.
Dakwa Yana lagi, dia tidak mahu terpalit dengan kontroversi murahan tersebut. Malah dia menegaskan jika dia mahukan program tersebut tular tentu dia terlebih dahulu sudah memuat naik mengenai kejadian berkenaan di media sosial sebaliknya dia tidak melakukannya.
“Ramai tuduh kami berpakat dengan Aliff melakukan gimik murahan. Adakah sebelum ini saya pernah terjebak dengan gimik seperti ini? Jika mahukan program ini tular, saya terlebih dahulu muat naik insiden berlaku dalam media sosial, tetapi saya tak buat.
“Saya tak sangka Aliff muat naik video pergaduhan dan menuntut ganti rugi dan berikan saya tempoh 48 jam,” maklum pelakon filem ‘Adnan Sempit’ itu.
Ujarnya, dia bersedia berdepan dengan tindakan saman yang ingin dikemukan Aliff dan enggan membuat pembayaran ganti rugi kepada usahawan terbabit.
Alif Farhan bertanggungjawab dan mohon maaf
Sementara itu penerbit dan pengacara rancangan tersebut, Alif Farhan memaklumkan dia bertanggungjawab memohon maaf kepada kedua belah pihak iaitu Aliff Syukri serta Yana dan Fadzil atas kejadian tersebut.
“Ia berpunca dari sedikit salah faham semasa pengambaran program Raya sebelum ini. Kepada rakan wartawan, saya terpaksa berdiam diri daripada mengulas lebih lanjut tentang hal ini.
“Ini untuk elakkan daripada mengeruhkan lagi keadaan. Hal ini masih lagi dalam perbincangan dan doakan supaya kedua pihak dapat mencapai kedaimaian,” katanya di Instagram.