Telemovie Disebar Secara Haram Di YouTube, Floor 88 Buat Laporan Polis Selepas Rugi Cecah RM2.6 Juta
Selain membuat laporan polis, kumpulan Floor 88 juga membuat aduan kepada MCMC dan KPDNHEP untuk tindakan lanjut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kumpulan Floor 88 membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang didakwa telah menyebarkan karya telemovie mereka yang bertajuk ‘Bas Terakhir Malam Raya’ secara haram di YouTube.
Pelakon dan pemuzik, Eric Fuzi yang merupakan salah seorang ahli kumpulan terbabit berkata, mereka terpaksa mengambil tindakan kerana ia telah menyebabkan kerugian besar kepada seluruh produksi syarikat.
Anggaran kerugian cecah RM2.6 juta
Menurutnya, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung adalah sekitar RM2.6 juta susulan penayangan telemovie itu di YouTube secara percuma.
“Hari ini kami membuat laporan polis untuk pihak berkuasa dan agensi berkaitan mengambil tindakan kepada pemilik akaun terbabit yang dipercayai menggunakan nama Jari Hantu,” katanya semalam yang ketika ditemui Harian Metro.
Tersebar di 3 akaun YouTube dan Telegram
Difahamkan, telemovie ini tidak hanya tersebar di satu akaun YouTube sahaja, malah melibatkan dua akaun yang lain selain ia turut dimuat naik ke dalam aplikasi Telegram.
“Pada awalnya kami mengenal pasti akaun pertama yang memuat naik video itu dan terus membuat report (laporan) dan berjaya delete (hapus) sejurus laporan.
“Tetapi akaun kedua itu mengambil masa enam hari untuk delete,” katanya lagi.
Aduan juga dibuat kepada MCMC dan KPDNHEP untuk tindakan lanjut
Jelas Eric lagi, mereka juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ayie selaku vokalis kumpulan Floor 88 pula berkata, pihaknya turut terkesan dengan kejadian yang berlaku ini.
“Kami ada tiga produksi, SilentKaiju Studio, MotioFixio Studio Sdn Bhd dan Floor 88 Holding sendiri. Jadi kami amat terkejut dengan apa yang berlaku ini. Saya harap si pelaku dikenakan balasan yang sepatutnya.”
Ayie, Vokalis Floor 88
Walau bagaimanapun, telemovie Bas Terakhir Malam Raya ini tetap mendapat komen yang positif daripada penonton di akaun YouTube itu.
Sebagai info, telemovie Bas Terakhir Malam Raya ini turut dibintangi oleh Joey Daud, Sasa Rizal, Datuk Syafinaz Selamat, Amir Masdi dan ramai lagi.