fbpx

Pengarah Nafi La Luna Filem Liberal & Menghina Islam

Terdahulu penulis tempatan, Zabidi Mohamed mendakwa filem arahan pengarah dari Singapura, M Raihan Halim itu memaparkan elemen penghinaan kepada agama Islam dan Melayu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai filem komedi, La Luna yang tersenarai 10 filem paling ditonton di platform penstriman digital, Netflix.

Meskipun mendapat reaksi positif, ada yang mendakwa filem kerjasama penerbit dari Malaysia dan Singapura ini tidak sesuai dengan audiens tempatan.

Baca artikel berkaitan:Lakonan & Skrip Berkualiti” – La Luna Berada Di Carta 10 Filem Paling Ditonton Di Netflix

Penulis tempatan dakwa Laluna papar elemen hina Islam & Melayu

Ia menjadi lebih panas apabila penulis, Zabidi Mohamed mendakwa filem arahan pengarah dari Singapura, M Raihan Halim itu memaparkan elemen penghinaan kepada agama Islam dan Melayu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Zabidi turut mendakwa filem yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Iedil Dzuhrie Alaudin, Namron, Nadiya Nisaa, dan ramai lagi itu turut menyuntik pemikiran liberal secara halus.

“Tidak saya nafikan ada golongan agamawan Islam dan asatizah tanah air yang terbabit dalam salah laku sivil dan jenayah.

“Tetapi untuk menggambarkan konflik pertembungan pemikiran antara golongan agamawan dan golongan fahaman liberal adalah niat nyata penerbit serta pengarahnya untuk meremeh-remeh, memperleceh, memperolok, memperlekeh dan merendah-rendahkan agama Islam,” katanya.

Dia bagaimanapun meminta orang ramai untuk menonton dahulu La Luna agar semua dapat menilai apa yang cuba disampaikannya.

“Tetapi untuk berkata setuju atau tidak saya galakkan semua menonton filem ini dahulu untuk kita berlaku adil pada diri sendiri dalam menilai.

“Dengan menonton kita boleh ‘baca’ corak atau polar bagaimana puak-puak liberal dalam industri filem tanahair ini secara halus menghina agama Islam dan menghina bangsa Melayu,” kata Zabidi.

Kenyataan Zabidi cetus perdebatan

Kenyataan yang dikeluarkan Zabidi mencetuskan pedebatan hangat di media sosial di mana ada yang bersetuju dan ada juga segelintir yang tidak senada dengan beliau.

Menurut seorang pengguna media sosial, watak antagonis Pak Hassan yang dilakonkan Wan Hanafi Su bukanlah sebagai seorang imam namun ketua kampung yang berlagak alim.

Jelasnya watak agamawan di dalam naskah itu adakah Ustaz Fauzi (Iedil Zuhri) yang berjaya menarik semula penduduk Kampung Bras Basah dari terpesong.

Namun ada juga yang berpendapat memang wujud unsur liberal di dalam filem itu sebaik mereka menontonnya.

Tiada unsur liberal tapi bangkitkan isu penunggang agama

Terbaharu Raihan menyangkal dakwaan yang dilontarkan Zabidi berhubung wujudnya unsur liberal dan anti Islam di dalam filem tersebut.

Menurut pengarah dari Singapura itu, naskah berkenaan dihasilkan dengan niat baik iaitu membincangkan isu penunggang agama.

Saya menghargai pandangan dan ulasan yang dikongsikan beliau secara terperinci. Sebagai pengkarya, saya berbesar hati menerima apa sahaja maklum balas.

“Cuma, saya ingin menegaskan La Luna tidak mempunyai elemen liberal mahupun anti agama Islam seperti didakwa.

“Filem ini menceritakan bagaimana seorang individu menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ini cerita tentang istilah penunggang agama,” katanya dipetik Utusan.

Tiada respon negatif tentang Islam di luar negara

Dakwanya lagi, meskipun filem berkenaan sudah ditayangkan di beberapa negara antaranya Jepun, Belanda, Singapura, dan Indonesia, pihaknya tidak pernah menerima sebarang respons negatif mengenai agama Islam.

Sebaliknya ada yang mengaitkan filem berkenaan dengan sistem patriarki dan isu rumah tangga.

“Setiap negara memberi respons yang pelbagai. Contohnya ketika La Luna ditayangkan di Jepun, masyarakat di sana memandangkan filem ini sebagai kritikan terhadap patriarki. Manakala di Belanda, orang di sana memandang La Luna sebagai filem yang mengangkat isu keganasan rumah tangga. Bagi masyarakat di negara luar termasuk eropah, La Luna bukanlah sebuah filem tentang agama Islam.”

Pengarah La Luna, M Raihan Halim

Dia dalam masa sama turut meminta orang ramai agar menyelami karakter Salihin (Shaheizy Sam).

“Itulah watak utama dan paling penting dalam filem ini. Bagaimana Salihin membuka hati dan perasaan memahami pandangan yang berbeza dari kedua-dua pihak.

“Itulah yang sepatutnya kita lakukan iaitu cuba mendengar perspektif yang mungkin berbeza daripada fahaman kita,” kata Raihan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.