
Blockout2024: “Tidak Perlu Sampai Memaki & Memalukan”- Siti Nurhaliza
Jelas penyanyi nombor satu negara itu, sekiranya seseorang mahu menegur, ia harus dilakukan dengan beradab seiring dengan tujuan asal kempen tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak beberapa hari yang lalu, hangat di media sosial kempen Blockout2024 sebagai salah satu cara menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kempen yang memboikot artis atau pempengaruh yang dikatakan kurang berkongsi tentang keadaan di Palestin atau bersikap tidak acuh dilihat berjaya apabila bilangan pengikut artis terlibat menunjukkan penurunan.
Namun, apa yang menjadi perhatian adalah tindakan segelintir individu yang dilihat tersasar daripada objektif asal kempen tersebut.
Ini kerana ada segelintir daripada mereka dilihat mengeluarkan kata-kata kesat kepada artis yang tersenarai. Malah, ada yang bertindak melampaui batas dengan memalukan golongan selebriti itu.
Siti Nurhaliza Selar Tindakan Segelintir Pihak
Mengulas mengenai isu hangat itu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyelar tindakan segelintir pihak yang memaki dan memalukan selebriti tempatan yang tersenarai dalam kempen Blockout 2024.
Jelas pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu, sekiranya seseorang mahu menegur, ia harus dilakukan dengan beradab seiring dengan tujuan asal kempen tersebut.
“Tidak baguslah cara tersebut. Agama Islam ajar jika mahu mengajar atau menegur orang mestilah beradab.
“Kalau tidak suka diam. Boleh buat sesuatu (Blockout 2024) tetapi tidak perlu sampai memalukan dan memaki orang.
“Kita mahu buat perkara yang mempertahankan agama, jadi harus ikut cara agama kita. Seperti saya kata, tak suka boleh block dan diam,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Enggan Beri Komen Terhadap Selebriti Yang Tersenarai, Sambut Baik Kempen Boikot Barang Israel
Walau bagaimanapun, Siti enggan mengulas dan memberi komen tentang artis yang tersenarai dalam kempen tersebut.
“Kempen ini adalah trend dari luar negara dan telah masuk ke Malaysia. Cuma saya tidak mahu sentuh tentang artis lain sebab masing-masing mempunyai alasan dan sebab tersendiri,” ujar Siti.
Pada masa yang sama, Siti menyambut baik kempen memboikot produk antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Israel kerana ia dilihat memberi ruang kepada produk tempatan untuk berkembang.
“Semua orang ada pilihan masing-masing. Jika tanya saya sebagai seorang usahawan baguslah, sekurang-kurangnya produk tempatan akan mendapat sokongan secara tidak langsung boleh berkembang,” ujarnya.
Beri Sokongan Terhadap Palestin Melalui Yayasan Nurjiwa
Jelas Siti lagi, beliau bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah lama memberikan sokongan melalui Yayasan Nurjiwa.
Malah, bantuan dan sokongan itu telah diberi sebelum wilayah Gaza bergolak sejak 7 Oktober lalu.
“Apa yang saya lakukan adalah salah satu usaha. Sebagai orang Islam kita dituntut mempertahankan agama dan saudara Islam yang ditindas dengan kekejaman.
“Menerusi platform Yayasan Nurjiwa kami mempunyai kemampuan untuk salur bantuan ke Gaza. Itu saya dan suami cuba lakukan untuk agama dan jihad kita,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Blockout2024: Naim Daniel Buat Laporan Polis, Dedah Ibu Bapa Diugut Bunuh
Baca Artikel Berkaitan: Blockout2024: Selepas Dibidas Awal Ashaari, Ini Respon Balas Wardina Safiyyah
Baca Artikel Berkaitan: “All Eyes On Rafah, Who’s That?” – Ning Baizura Teruk Dikecam, Didakwa Tak Cakna Isu Di Palestin [Video]