“I Screwed Up”- Harith Iskander Buka Mulut Isu Tuntutan Cerai, Tampil Beri Penjelasan [Video]
Jelas Harith, dia bersama Jezamine telah pun berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya namun tidak berjaya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, hangat mengenai kisah rumah tangga pelawak komedi berdiri atau stand up comedy terkenal tanah air, Harith Iskander dan isterinya, Dr Jezamine Lim.
Ia mula kecoh diperkatakan apabila mediua melaporkan Jezamine telah memfailkan permohonan cerai terhadap Harith sekitar bulan Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Berita itu nyata mengejutkan ramai pihak khususnya peminat. Meskipun mengesahkan perkara tersebut, tiada sebarang komen lanjut yang dikeluarkan oleh pasangan berkenaan.
Namun, Harith memberi jaminan akan menberi penjelasan berhubung isu tuntutan cerai itu dalam masa terdekat.
Harith Iskander Buka Mulut, Jelaskan Apa Yang Terjadi
Terbaharu, Harith yang turut dikenali dengan gelaran ‘Godfather of The Stand-Up Comedy’ tampil membuka mulut berhubung status rumah tangganya bersama Jezamine.
Menerusi satu temubual bersama BuzzKini/TheRakyatPost yang dihoskan Daphne Iking, Harith mengesahkan proses penceraian itu dan ia berpunca darinya.
“Saya buat silap, sepanjang perhubungan ini saya banyak buat kesilapan, Jezamine seorang isteri yang hebat dan bersungguh dalam memastikan ia (rumah tangga) berjaya,” kata Harith.
Mereka berdua menegaskan tiada keganasan rumah tangga yang berlaku seperti yang diandaikan oleh setengah pihak hingga menjadi punca kepada konflik rumah tangga mereka.
Malah ketika diajukan mengenai punca sebenar pergolakan rumah tangga mereka, Harith berkata, “Saya seorang lelaki, saya bodoh. Saya bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya saya lakukan. Saya tidak akan katakan ‘saya buat ini, tidak buat itu’. Saya sudah buat banyak perkara ‘bodoh’ yang lelaki biasa lakukan dan kamu akan merasakan saya sepatutnya lebih tahu pada usia sebegini.”
“Sepanjang tempoh itu, Jezamine mendepaninya dengan baik,” kata Harith lagi.
Walau bagaimanapun, dia tidak mendedahkan secara terperinci apa yang dimaksudkannya.
Gagal Temui Penyelesaian, Kekalkan Hubungan Baik Dengan Bekas Isteri
Tambah Harith lagi, keputusan (untuk memfailkan permohonan cerai) itu bukan dilakukan secara tiba-tiba atau dalam masa singkat, sebaliknya dia dan Jezamine telah cuba mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka namun ianya tidak membuahkan hasil.
“Ia satu situasi yang sukar dan kami telah cuba pelbagai cara, berjumpa dengan kaunselor, luahkan kepada rakan dan sebagainya.
“Ia bukanlah satu keputusan yang tiba-tiba. Perkara itu telah lama difikirkan,” kata Harith lagi.
Ini sekaligus menolak tuduhan dan persepsi tidak baik oleh segelintir pihak terhadap Jezamine selepas dia dilapor memfailkan permohonan cerai.
Malah, kedua-duanya secara berseloroh berkata mereka terpaksa ‘bertelagah’ tentang siapa yang perlu hadir ke mahkamah untuk memulakan proses cerai berkenaan bagi mengelakkan berita itu tersebar luas dan diketahui umum.
“Kalau saya yang pergi ke mahkamah dengan peguam saya, nanti mesti orang terus cam muka saya. Kemudian Jezamine buat keputusan untuk dia yang pergi ke mahkamah kerana kurang potensi untuk orang ramai mengenalinya.
“(Namun) Jezamine yang terima kesannya selepas berita tentang dia memfailkan penceraian tersebar. (Walhal) ia adalah keputusan bersama,” jelas Harith.
Anak Fokus Utama
Pada masa yang sama, Harith menegaskan dia dan Jezamine akan terus menjaga hubungan persahabatan mereka demi menjalankan tanggungjawab kepada ketiga-tiga cahaya mata mereka itu.
Malah, dia dan Jezamine akan tinggal berdekatan antara satu sama lain bagi memudahkan urusan terutamanya berkaitan dengan anak.
Sepanjang temu bual tersebut, kedua-dua mereka juga dilihat mesra dan saling bergurau senda sekaligus membuktikan bahawa hubungan mereka masih dalam keadaan baik walaupun berdepan ujian.
Mulakan Lembaran Baru
Dalam pada itu, Jezamine mengakui ia bukanlah satu perkara yang mudah dalam mengimbangi kerjaya dan menjadi seorang ibu.
Namun, Jezamine memberi jaminan bahawa dia masih lagi mempunyai ‘semangat’ dan tetap menyokong kerjaya Harith.
“Bagi saya, walaupun sudah berasingan untuk beberapa ketika tetapi kami masih lagi kerja bersama, buat semua perkara bersama. Saya perlu lalui proses dan perjalanan ini demi kerjaya Harith dan anak-anak,” katanya.
“Saya masih bersemangat untuk apa yang dia (Harith) lakukan,” kata Jezamine.
Malah, Jezamine menjelaskan dia akan terus kekal sebagai pengurus Harith walaupun jika tidak lagi bergelar isteri kepada lelaki yang pernah dinobatkan sebagai Manusia Paling Lucu Di Dunia itu.
Mohon Beri Ruang & Tidak Buat Sebarang Spekulasi
Menerusi temu bual itu juga, Harith dan Jezamine memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kisah penceraiannya itu.
Malah, mereka turut memohon agar orang ramai memberi ruang dan menghormati privasi khususnya untuk anak-anak mereka berhadapan dengan situasi sedemikian.
“Saya mohon ruang dan privasi daripada semua kerana anak-anak saya sangat sensitif, mereka sangat bijak.
“Sejujurnya, saya cuba untuk elakkan mereka daripada menggunakan telefon namun kawan-kawan mereka juga turut menggunakan internet, saya tak dapat hentikan perkara itu.
“Sekurang-kurangnya untuk sebulan ini, saya mahu mereka berada dalam keadaan baik. Itu keutamaan saya,” kata Jezamine.
Untuk info, Harith dan Jezamine telah mendirikan rumah pada 12 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka, pasangan itu dikurniakan tiga orang anak.
Tonton video temubual penuh di bawah: