Fazura Fail Cerai Terhadap Fattah Amin Selepas 7 Tahun Bina Rumah Tangga
Menurut media tempatan Fazura memfailkan permohonan cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (13 September) industri hiburan dikejutkan dengan berita pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin, 33, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Menurut Berita Harian berita tersebut turut disahkan oleh sumber yang tidak mahu dirinya didedahkan.
“Iya, Fazura sudah failkan perceraian sebelum tengah hari tadi. Dia tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya, urusan memfailkan perceraian itu dibuat peguam yang mewakilinya.
“Buat masa ini, punca perceraian tidak didedahkan,” ujar sumber tersebut.
Dalam pada itu, semakan kami di laman akaun media sosial Fazura tidak menemui sebarang kemaskini berhubung perkara tersebut.
Namun dia dilihat memuat naik satu hantaran di IG Story yang tertulis ‘Jika sesuatu yang kau senangi tak terjadi, maka senangilah apa yang terjadi.’
Fazura sebelum ini menafikan rumah tangga bergolak
Sebelum ini, desas-desus mengenai keretakan rumah tangga pasangan terbabit turut hangat diperkatakan di media sosial, ada yang mengatakan mereka tidak lagi meninggalkan komen mahupun ‘like’ dalam hantaran akaun masing-masing.
Walau bagaimanapun, pada 22 Julai lalu Fazura, 41, menafikan spekulasi mengenai rumah tangga yang dikatakan bergolak dan memaklumkan hubungan mereka berada dalam keadaan baik.
“Saya faham peminat ambil berat sebab sudah lama tak nampak kami bersama. Jujurnya, saya memang hadkan ‘posting’ mempamerkan kemesraan dalam media sosial.
“Saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin. Adalah tidak adil untuk tunjukkan kebahagiaan dengan suami, sedangkan rakyat Palestin sedang menderita ketika ini.
“Bukan setakat gambar bersama Fattah, malah gambar bersama anak, Fatima pun saya fikir panjang sebelum kongsi dalam media sosial.
“Jadi, kalau ada spekulasi mengatakan rumah tangga kami bermasalah, itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okay sahaja,” ujar aktres itu.
Pasangan tersebut telah berkahwin pada 27 November 2017, hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang berusia 4 tahun.