
Fattah Amin Nafi Curang & Tak Beri Nafkah, Peguam Dedah Fazura Boleh Dipenjara Jika Langgar Perjanjian
Jelas peguam mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong kedua-dua mereka telah menandatangani perjanjian di mana mereka perlu menjaga aib dan tidak memburukkan antara satu sama lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (7 Oktober) industri seni tanah air dikejutkan dengan berita perpisahan antara dua selebriti terkenal iaitu Fattah Amin dan pasangannya Nur Fazura yang sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di Subang Bestari.
Walau bagaimanapun selepas sah penceraian dua pelakon terkenal itu, Fazura ketika ditemuramah oleh media mendakwa terdapat tiga punca perpisahan dia bersama Fattah.
Dakwa aktres tersebut, Fattah telah mengabaikan nafkah kepadanya dan anak perempuan Nur Fatima Aisya, tiada kesefahaman serta berlaku curang terhadapnya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin & Fazura Sah Bercerai Talak Satu Selepas 7 Tahun Bina Rumah Tangga
Fattah Amin nafi curang dengan Fazura
Terkejut dengan kenyataan dikeluarkan bekas isteri, Fattah Amin kemudiannya tampil menafikan dakwaan tersebut.
“Saya nafikan, malah peguam dia pun sudah cakap tiada kes curang, kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan.
“Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya.
“Sedangkan kami sudah ada perjanjian bersama sebelum lafazkan talak,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Sudah tangani perjanjian tidak aibkan mana-mana pihak, terkejut dengan kenyataan Fazura
Jelas Fattah, dia dan Fazura telah menandatangi perjanjian di mana kedua-duanya tidak akan mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan mana-mana pihak. Pelakon itu turut mengakui terkejut apabila bekas isterinya membuat kenyataan sedemikian.
“Perjanjian kami, masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik. Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz cerai.
“Saya agak terkejut ada kenyataan sebegitu daripada Fazura. Saya sedih sebenarnya.”
Fattah dakwa tiada persefahaman punca penceraian, ada bukti penyata bank beri nafkah
Sewaktu ditanya oleh pihak wartawan apakah punca kepada penceraian mereka, Fattah mengatakan mereka tidak mempunyai persefahaman.
Dalam satu lagi laporan yang dikeluarkan akhbar berkenaan, Fattah juga menafikan dakwaan tidak memberikan nafkah.
Ujarnya, dia ada bukti transaksi bank bahawa dia memberikan nafkah kepada aktres itu.
“Janganlah main sentimen ini. Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan.
“Kalau rasa tak cukup, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana sebagaimana yang kita semua tahu, nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan mengikut kemampuan,” jelas Fattah.
Fazura sebelum ini turut mendedahkan yang dia ada memberikan hadiah kereta mewah berjenama Range Rover kepada Fattah.
Namun Fattah menafikan ia adalah hadiah sebaliknya kenderaan tersebut dibayar menerusi penolakan gaji kerana bekerja dengan syarikat milik bekas isterinya.
“Dia (Fazura) hadiahkan kepada saya? Salah itu. Itu daripada syarikat kerana saya bekerja dengan syarikat Fazura.
“Semua orang tahu saya bekerja dengan syarikatnya. Gaji saya ditolak untuk membayar kereta Range Rover. Janganlah ungkit perkara tidak sepatutnya,” katanya lagi.
Boleh failkan permohonan menghina mahkamah
Dalam pada itu, peguam mewakili Fattah iaitu Zulkifli Che Yong mendedahkan antara perjanjian ditandatangani pasangan itu adalah perlu menjaga aib, dan tidak memburukkan satu sama lain.
Malah peguam berkenaan juga sering menasihatkan Fattah dalam setiap kenyataan yang akan dikeluarkan agar tidak melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.
Menurutnya jika ada pihak yang melanggar perjanjian itu, pihak yang menjadi mangsa boleh memfailkan permohonan menghina mahkamah, dipetik Berita Harian.
Akan nilai dakwaan dikeluarkan Fazura sebelum ambil tindakan
Ujarnya lagi, pihaknya akan menilai sebarang kenyataan mahupun dakwaan yang dikeluarkan Fazura sebelum mengambil apa-apa tindakan.
“Masing-masing ada alasan, tetapi berdasarkan perjanjian, tidak boleh diaibkan. Saya belum menilai kenyataan pihak sana (Fazura).
“Anak guam saya (Fattah) perlu menilai dahulu apa kenyataan yang berbentuk tohmahan atau mengaibkan dan sekiranya berlaku ia satu pelanggaran terhadap perjanjian.”
Fattah akan teliti dan bincang pelanggaran yang dilakukan
Manakala aktor berkenaan pula apabila ditanya adakah akan mengambil tindakan terhadap dakwaan bekas isterinya? Dia menjelaskan akan membincang dan meneliti pelanggaran yang dilakukan aktres itu.
Menurut laporan mStar, Fazura juga boleh berdepan hukuman penjara jika disabit melanggar perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya.
Menurut peguam itu mahkamah boleh mengeluarkan notis penjara kerana tidak laksanakan perintah yang sudah ditandatangani.