Gagal Bayar Pinjaman Mara Hampir RM1 Juta, Kediaman Che Ta Di Kota Damansara Diserbu
Difahamkan, Che Ta dan suaminya Zain Saidin tiada di rumah ketika serbuan dilakukan oleh pihak Mara di rumah mereka.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Majlis Amanah Raya (Mara) telah menyerbu kediaman pelakon wanita tempatan Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, di Kota Damansara pada pagi hari ini (10 Disember).
Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, tindakan itu dilakukan selepas aktres itu gagal menjelaskan pinjaman Mara bernilai hampir RM1 juta.
Serbuan yang dilakukan itu bagi membolehkan pihak Mara menyerahkan writ dan menilai barangan dalam rumah terbabit untuk tujuan penyitaan.
Difahamkan, Che Ta dan suaminya Zain Saidin tiada di rumah ketika serbuan dilakukan dan hanya kelibat ibunya sahaja yang dilihat berada di pintu rumah kediaman mewah berkenaan.
Dalam pada itu, anak sulung Che Ta iaitu Ammar Effendi dilihat memasuki rumah berkenaan selepas satu jam penilaian dilakukan oleh pihak Mara.
Barang Sitaan Akan Dilelong Dalam Waktu Terdekat
Memetik laporan Berita Harian, barangan bernilai RM100,000 yang disita dalam rumah pelakon tersebut akan dilelong dalam masa terdekat ini.
Walau bagaimanapun, peguam Mara terbabit yang enggan dikenali memaklumkan bahawa pihak mereka akan terus mengambil barangan pada petang ini.
“Buat masa ni nilai barangan masih tidak mencukupi, Mara akan lakukan lelongan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam tempoh dua minggu.
“Pihak kami akan tunggu perintah mahkamah, jika ada rundingan. Kebanyakan barang yang disita hari ini adalah barangan rumah sahaja,” katanya.
Belum Ada Sebarang Respon Dari Che Ta Berhubung Isu Ini
Beberapa media seperti Harian Metro dan Berita Harian memaklumkan mereka cuba untuk mendapatkan maklum balas dari pelakon terbabit melibatkan isu ini.
Namun, masih belum ada sebarang respon yang diberikan pihaknya.
Berdasarkan pemerhatian kami di akaun media sosial Che Ta dan Zain, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan bagi menjelaskan tentang perkara ini.
Latar Belakang Che Ta
Rozita Che Wan atau nama gelarannya Che Ta dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 9 Mac 1974.
Sebelum bergelar pelakon, anak kedua daripada tujuh beradik ini telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai pramugari pada tahun 1992.
Che Ta merupakan seorang pengacara serta pelakon terkenal di Malaysia yang pernah tercalon dalam beberapa anugerah seperti:
- Anugerah Bintang Popular Berita Harian
- Pelakon TV Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2011
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2008
Selain bergelar anak seni, Che Ta juga dikenali sebagai seorang usahawan. Antara perniagaan yang dilakukannya adalah produk wanita menerusi ByRCW Sdn Bhd.
Malah, Che Ta juga pernah memenangi Anugerah Usahawan Selebriti 2023.